Pemuda-pemudi khusunya buat mahasiswa-mahasiswi kampus
sangat perlu untuk meluaskan pandangan serta pemikiran mereka pada hari
ini.Lagi-lagi dalam keadaan negara yang kian berada di dalam keadaan yang
begitu hangat sekali.Belum selesai sesuatu isu,timbul pula isu lain yang
menjadi permainan serta percaturan dunia politik tanah air.
Semenjak kebangkitan Parti pembangkang dalam Pilihanraya
Umum pada tahun 2008 yang lepas,sedikit sebanyak corak serta landskap
masyarakat turut berubah.Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang rata-ratanya
tidak sabar menunggu menjelangnya pilihanraya Umum yang ke-13.
Meniti kembali sejarah 5 tahun yang lepas,banyak perkara
yang berlaku.Kita pernah digegarkan dengan pelbagai peristiwa seperti
perhimpunan Bersih 2.0 mahupun 3.0.Tidak cukup dengan itu,kita juga menyaksikan
kebangkitan mahasiswa melalui peristiwa Adam Adli.Kebangkitan Felda,bantahan
terhadap Lynas dan banyak lagi.Dan yang pastinya,kesemua peristiwa-peristiwa
tersebut telah menghasilkan satu impak dan dipercayai juga kemuncak sebelum
menjelangnya pilihanraya akan datang iaitu HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada
esok hari.
Sudah pastinya perhimpunan yang akan berlangsung pada esok
hari diharapkan mampu menimbulkan sedikit sebanyak perubahan kepada pentadbiran
negara.Lihat sahaja kepada perkataan KEBANGKITAN pada tajuk perhimpunan
tersebut,sudah pastinya ia menjadi simbolik kepada ke‘jemu’an rakyat kepada barisan
kerajaan hari ini lantas menyebabkan rakyat bangkit menuntut perubahan kepada pentadbiran negara.
Namun,cukup tertarik dengan kata-kata seseorang yang
mengatakan bahawa :
“Kita jangan terlalu obses dengan perubahan , sebaliknya
kita juga perlu berfikir apa yang kita nak ubah dan apa sumbangan kita sepanjang
melalui usaha perubahan”
Kadang-kadang ia hanya menjadi satu semangat semata-mata
tanpa difahami hakikat perubahan dan kebangkitan sebenarnya.Perubahan bukannya
perhimpunan.Kebangkitan juga bukan bererti perhimpunan.Andai inilah yang kita
fikirkan tentang perubahan serta kebangkitan maka tidak hairanlah keadaan
sebelum perhimpunan mahupun selepas adalah sama.
Ya,perhimpunan merupakan satu platform atau medium yang
sesuai untuk melontarkan suatu tuntutan,menyuarakan keadilan,menggambarkan
kebangkitan tetapi ia tidak mampu untuk menterjemah hakikat kebangkitan itu
sendiri.Perhimpunan merupakan salah satu cara untuk bangkit tetapi kebangkitan
tidak semestinya melalui perhimpunan.
Pemuda-pemudi hari ini sepatutnya jelas akan hal ini kerana
mereka merupakan generasi yang akan mangambil alih tampuk pentadbiran,bukannya
suatu generasi yang akan terus ditadbir.Sudah menjadi suatu kebiasaan melihat
golongan ini mengikuti perhimpunan-perhimpunan seperti ini.Yang pastinya ia
bukan menjadi satu masalah tetapi yang menjadi persoalan ialah atas dasar apa
mereka bertindak sedemikian.Atas dasar semangat ? ilmu ? kesedaran ?
kebangkitan ? Tepuk dada Tanya iman kerana hanya diri masing-masing sahaja yang
tahu.
Lantaran itu,pemuda-pemuda seharusnya meluaskan pandangan
serta pemikiran mereka terhadap perkataan KEBANGKITAN ini.
BANGKIT DARIPADA TARBIAH BANTAL
“Ana sayang enta”… “rindu kat enti..”… “ukhuwah fillah”… “ jom
bergandingan ke syurga” … . Saya tidak
menafikan bahawa tarbiyah merupakan suatu elemen yang begitu penting dalam
usaha mengubah diri ke arah yang lebih baik tetapi saya juga tidak bersetuju
andai mereka yang mengikuti usrah dan tarbiyah sering dimomok-momokkan dengan
keindahan dan keseronokan bila berusrah tanpa ditekankan asas perjuangan serta
sebab-sebab utama berusrah.Kesannya,lahirnya satu kelompok generasi yang berada
dalam zon yang begitu selesa bila mana mereka cuma menggambarkan yang
indah-indah sahaja bila ditarbiyah,berusrah tanpa mengetahui bahawa mereka
mempunyai satu matlamat dan perjuangan yang hakikatnya begitu pahit untuk
ditelan.
Kita sudah bosan kelompok-kelompok sebegini.Mereka mengaku seronok
ditarbiyah mengaku seronok mengikuti usrah tetapi tidak faham untuk apa mereka
melalui semua proses itu.Perlu difahami buat pemuda-pemuda bahawa matlamat
mereka melalui proses tersebut tidak lain tidak bukan hanyalah untuk
diterjemahkan dalam medan yang sebenar.Kerana itu,bukti kejayaan tarbiyah diri
seseorang itu bukan bila mana dia hebat berdiskusi dalam usrah,bukan bila mana
dia lantang bersuara di mana-mana pentas tetapi akan terbukti dengan keberadaan
dirinya dalam medan sebenar.Oleh sebab itu,mereka perlu BANGKIT daripada
bayangan tarbiyah bantal dan tilam yang begitu empuk.Mahu tidak mahu,kita perlu
terima bahawa jalan perjuangan ini begitu pahit untuk ditelan.Percayalah bahawa
sayang kita pada sahabat,ukhuwah fillah kita serta harapan untuk bersama-sama
ke syurga akan dibuktikan melalui medan sebenar.
PERJUANGAN BUKAN DI PERHIMPUNAN SEMATA-MATA
Kita juga sudah letih bila melihat pemuda-pemuda sibuk
berhimpun tetapi tidak sibuk menuntut ilmu bila tiba masanya.Walhal,menuntut
ilmu merupakan wasilah perjuangan yang lebih besar berbanding perhimpunan.
Rasulullah pernah mengingatkan kita bahawa kalau mahukan
dunia dan akhirat,kita perlukan ilmu.
Pesanan ini jelas
menunjukkan ilmu merupakan satu alat yang penting untuk dunia mahupun
akhirat.Sedihnya,pemuda-pemuda hari ini lebih cenderung untuk turun berhimpun
berbanding turun menuntut ilmu sama ada
dalam pembelajaran formal ( kuliah di university-universiti) mahupun tidak
formal.Kesannya,lahirlah satu laungan perubahan retorik daripada mulut mereka.Sebab
itu,tiada sebarang perubahan berlaku kepada segolongan besar daripada mereka
selepas menyertai mana-mana perhimpunan.
Jika beginilah sikap kita hari ini,maka jangan diimpikan
perubahan akan berlaku bahkan tidak mustahil kemunduran yang akan berlaku.Hebatnya
sesuatu tamadun itu kerana ilmunya bukan kerana semangatnya.Lupakah kita kepada
kerajaan Abasiyyah yang suatu ketika dahulu pernah melalui satu zaman yang
dinamakan zaman keemasan disebabkan berlakunya kepesatan ilmu yang luar biasa
sehinggakan para ilmuan bersepah merata-rata tempat.Mereka yang ingin menjadi doktor
terpaksa ditapis kerana terlalu ramai doktor ketika itu.
Oleh sebab itu,pemuda-pemuda perlu BANGKIT meninggalkan
perangai sedemikian.Kita perlu membuka mata seluas-luasnya kepada erti
kebangkitan yang sebenar.BANGKITlah daripada kemalasan dalam menuntut ilmu.
BANGKITLAH
Sempena tahun baru,azam baru,semangat baru,maka bangkitlah
kita daripada terus melalui cara hidup yang sama.Berubahlah ke arah yang lebih
baik.
Kita benar-benar berharap bahawa perhimpunan yang bakal
berlangsung esok hari mampu membawa suatu impak perubahan kepada tanah air
supaya ia menjadi lebih baik.
Di samping itu juga,diharapkan juga kepada pemuda-pemuda
sedar dan bangkit daripada mimpi yang
lena.Hayatilah erti kebangkitan yang
sebenar.Ayuh kita BANGKIT !!!!
2 comments:
boleh jelaskan untuk berada di medan sebenar tu macam mana?
Waalaikumussalam,terlalu umum untuk digambarkan kerana situasi tersebut boleh muncul dalam pelbagai keadaan.Yang pastinya,suatu keadaan yang menuntut praktikal terhadap input yang diperoleh .Wallahua'lam,sekadar pandangan
Post a Comment