Keyakinan Kepada Jemaah : Ibrah Daripada Sirah Saydatina Aisyah Radhiyallahu ‘Anha

0 comments
Suatu ketika dahulu , kehebatan Rasulullah SAW dalam memimpin para sahabat kaum muslimin pernah diuji dengan satu ujian yang cukup besar . Ujian ini bukan sekadar cabaran biasa akan tetapi menjadi konflik yang amat kontroversi apabila ia melibatkan isteri baginda SAW sendiri iaitu Saydatina Aisyah Radhiyallahu ‘Anha.

Dalam suatu rombongan Rasulullah SAW bersama isteri dan para sahabat ketika tempoh peristiwa  peperangan menentang yahudi Bani Al-Mustalliq ,mereka semua berhenti seketika di suatu tempat.Oleh itu,saydatina Aisyah mengambil kesempatan tersebut untuk keluar dari tunggangannya untuk turun membuang air.Malangnya , Saydatina Aisyah sedar bahawa loketnya telah tercicir setelah selesai membuang air lantas beliau kembali semula ke tempat yang pernah dilalui untuk mencari loket tersebut . 

Ahli rombongan ketika itu tidak menyedari bahawa Saydatina Aisyah telah pergi semula untuk mencari loket beliau dan beranggapan bahawa beliau sudah ada dalam tunggangannya lalu , ahli rombongan ketika itu terus bergerak dan meninggalkan beliau . Saydatina Aisyah terkejut apabila menyedari bahawa beliau telah ditinggalkan . Beliau membuat keputusan untuk menunggu di situ dengan harapan apabila ahli rombongan menyedari kekosongan tunggangan beliau itu , maka mereka semua akan berpatah balik untuk mendapatkannya.Oleh kerana terlalu lama menunggu , akhirnya Saydatina Aisyah terlelap seketika.

Dalam masa yang sama , terdapat seorang pemuda yang bernama Safwan Bin Mu’attal lalu di situ . Beliau merupakan salah seorang ahli rombongan yang telah terlewat rombongan itu sejak awal lagi , lalu mengekori rombongan itu dari belakang.Apabila menyedari keadaan Saydatina Aisyah isteri baginda ditinggalkan sedemikian , maka beliau menemani isteri Rasulullah SAW menuju rombongan itu dan akhirnya tiba di satu destinasi yang dinamakan Nahru Azzahirah,tempat Baginda SAW berehat bersama para tenteranya.

Apabila para sahabat menyedari kehadiran mereka berdua , maka ketika itu timbul cerita-cerita tidak enak tentang mereka berdua dalam kalangan ahli rombongan sendiri.Antara mereka yang menimbulkan fitnah tersebut ialah Ibnu Ubai Bin Salul , salah seorang munafiq yang sentiasa menunngu peluang untuk menjatuhkan imej dan martabat Rasulullah SAW.Berita mengenai Aisyah dan Safwan ini mendapat liputan hangat sehingga tersebar di Madinah setelah mereka pulang.

Ketika Rasulullah SAW dan para sahabat diuji sebegini , masyarakat Islam seakan-akan terpisah menjadi dua golongan iaitu satu golongan yang masih setia dan berbaik sangka kepada Rasulullah SAW manakala golongan yang lain pula mula meragui Rasulullah SAW.Rasulullah SAW mengambil tindakan berdiam diri ketika berita ini tersebar meluas sehinggalah Allah SWT menurunkan ayat pembelaan bagi Saydatina Aisyah sekali gus mengesahkan pendustaan yang dilakukan oleh Ibnu Ubai Bin Salul dan kelompoknya :

“Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu ialah segolongan dari kalangan kamu ; janganlah kamu menyangka ( berita yang dusta ) itu buruk bagi kamu , bahkan ia baik bagi kamu . Tiap-tiap seorang di antara mereka akan beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu , dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyebarkannya di antara mereka akan beroleh seksa yang besar ( di dunia dan akhirat ) . 

Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu , orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata ‘ ini ialah tuduhan dusta yang nyata’.Sepatutnya mereka yang menuduh membawa empat orang saksi membuktikan tuduhan itu.Oleh kerana mereka tidak mendatangkan empat orang saksi,maka mereka itu pada sisi hukum Allah ialah orang-orang yang berdusta.

Dan kalaulah tidak kerana adanya limpah kurnia Allah dan rahmatNya kepada kamu di dunia dan di akhirat  tentulah kamu dikenakan azab seksa yang besar disebabkan kamu turut campur dalam berita palsu itu iaitu semasa kamu bertanya atau menceritakan berita dusta itu dengan lidah kamu dan memperkatakan dengan mulut kamu akan sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan yang sah mengenainya dan kamu pula menyangkanya perkara kecil , padahal ia ada pada sisi hukum Allah adalah perkara yang besar dosanya.Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya,kamu segera berkata ‘ Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini ! Maha suci Engkau ( ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah SAW ) Ini adalah satu dusta besar yang mengejutkan . 

Allah memberi pengajaran kepada kamu supaya kamu tidak mengulangi perbuatan yang sedemikian ini selama-lamanya jika betul kamu orang-orang yang beriman.Dan Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keterangan (hukum-hukumNya) ; Kerana Allah Maha mengetahui , lagi Maha bijaksana " 

[ Surah Al-Nur : 11-18 ]

Ujian yang dilakarkan oleh Allah SWT dalam sirah baginda bersama para sahabat sebenarnya bukan untuk sekadar cerita tetapi ia memberikan suatu refleksi kepada keadaan umat tidak mengira masa dan tempat termasuklah sekarang.Kisah Saydatina Aisyah ini menunjukkan bagaimana realiti sebuah Jemaah tidak terlepas daripada ujian isu dan kontroversi sejak dahulu lagi.

Walaupun bentuk Jemaah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW sangat berbeza dengan Jemaah hari ini , tetapi ibrah kisah Saydatina Aisyah berhak dipelajari oleh mana-mana Jemaah sekali pun.

Dalam mendepani era masa kini,isu yang berlaku di sekeliling manusia berlaku sangat pantas tambah-tambah lagi ia dibantu dengan media-media yang sentiasa menunggu sesuatu isu sama ada untuk dimainkan atau dihebahkan.Belum lagi kita masuk soal ketelusan media – media . Perkara ini tidak dapat dinafikan mampu memberi efek atau impak negatif kepada ahli Jemaah atau gerakan.

Apabila timbul berita-berita atau isu negatif yang melibatkan sesuatu Jemaah sama ada melibatkan pimpinannya , figur-figurnya , organisasinya , dasarnya ataupun pelaksanaannya sendiri , kadang-kala ia menyebabkan ahli gerakan mula hilang kepercayaan dan meragui kredibiliti,ketelusan organisasi tersebut.Ada juga yang menyebabkan ahli keluar daripada Jemaah dek kerana terpengaruh dengan isu yang bermain di media.Tindakan ahli yang boleh dikatakan salah ialah bila mana membuat keputusan melulu tanpa mendapatkan penjelasan atau deklarasi dari mana-mana organisasi tersebut.Perkara ini sering terjadi kepada sebuah gerakan Islam di Malaysia.

Seharusnya , sebagai ahli gerakan , wajar untuk mencontohi tindakan sebahagian para sahabat yang terus berbaik sangka dengan Rasulullah SAW dan ahli keluarga apabila berita buruk mengenai Aisyah tersebar dengan meluas.Hal ini juga ada disebut dalam ayat Surah An-Nur sebentar tadi :

“..Sepatutnya semasa kamu mendengar tuduhan itu , orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan menaruh baik sangka kepada diri (orang-orang) mereka sendiri dan berkata ‘ ini ialah tuduhan dusta yang nyata’ ..”

“..Dan sepatutnya semasa kamu mendengarnya,kamu segera berkata ‘ Tidaklah layak bagi kami memperkatakan hal ini ! Maha suci Engkau ( ya Allah dari mencemarkan nama baik ahli rumah Rasulullah SAW..”

Setiap ahli gerakan tidak boleh goyah dengan isu-isu sekeliling , sebaliknya berbaik sangka dan menunggu jawapan , penjelasan , deklarasi daripada pimpinan Jemaah.Contohilah sifat Rasulullah SAW yang mengambil langkah berdiam diri sambil menunggu deklarasi pembelaan dari Allah SWT . Tidak wajar ahli gerakan bersifat cepat melatah dan terus membuat andaian melulu.Selagi mana tiada bukti yang jelas , maka yakinlah dengan kepimpinan Jemaah . Firman Allah SWT dalam surah Al-Hujurat yang berbunyi :

“ Wahai orang-orang yang beriman ! Jika datang seseorang yang fasiq kepada kamu membawa suatu berita , maka telitilah kebenarannya agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan ),yang akhirnya kamu menyesali perbuatan itu..”

[ Al-Hujurat : 6 ]

Wallahua’lam

Pemuda Yang Kehilangan Kuasa

2 comments
Berada dalam dunia sebagai seorang pemuda , tidak dapat dinafikan bahawa sememangnya pemuda mempunyai semangat yang luar biasa . Pada waktu inilah , mereka memiliki daya ereksi yang sangat kuat , momentum juang yang begitu tinggi sehinggakan pernah wujud satu hiperbola bagi menggambarkan semangat mereka ; sekiranya semangat pemuda ini diletakkan di atas unggun api yang kecil maka ia akan membakar sekali gus menghanguskan seluruh bumi , jika ia diletakkan di atas setitis air maka bumi akan ditenggelami dengan banjir yang besar. Peranan pemuda dalam masyarakat tidak dapat dinafikan lagi apabila mereka mendapat julukan ‘jurubicara masyarakat’ suatu ketika dahulu bagi golongan mahasiswa . Lihat sahaja kitaran hidup mereka hari ini , pilihanraya kampus yang diadakan bukan sahaja berlegar dalam kalangan mereka sahaja bahkan mendapat sepenuh perhatian oleh pihak-pihak penguasa.Tuntasnya , hidup seorang pemuda sangat hebat.

Namun , sejak akhir ini ataupun mungkin sudah lama perkara ini berlaku , menjadi suatu penyakit kepada golongan ini apabila mereka sering dimomok-momokkan dengan kepentingan suatu kekuasaan ( baca : kuasa memerintah ) . Tanpa kuasa tersebut , mereka tidak boleh bertindak . Benar , ia tidak salah bahawa kuasa untuk memerintah atau mentadbir sangat penting kerana ia memberikan autoriti kepada kita tetapi bukanlah bermakna tanpanya ia melumpuhkan seluruh kuasa yang sedia ada pada diri pemuda.Penyakit ini tidak terlepas menimpa kepada ahli-ahli gerakan , kader-kader dakwah termasuklah ahli sebuah gerakan Islam yang terbesar di Malaysia.

Oleh kerana itu , golongan pemuda perlu kembali menyedari hakikat budaya dakwah yang perlu diadaptasikan dalam kehidupan . Golongan pemuda sebenarnya mempunyai kuasa dalaman yang tersendiri dalam menggerakkan dakwah , mereka tidak perlu melukut menagih kuasa luaran semata-mata. Dalam hal ini , Al-Fadhil Ustaz Hj Yahya Othman ada menyebut dalam kitabnya yang berjudul Amal Jamaie di bawah tajuk ‘Mewujudkan Budaya Dakwah Harakiyyah’ . Dakwah di sini bermaksud bukanlah semata-mata menyampaikan pidato , ceramah agama tetapi boleh ditampilkan dengan akhlak yang baik agar ia mampu menjadi contoh dan cerminan baik kepada masyarakat .

Menurut penulisan beliau , langkah untuk melakukan dakwah tidak semestinya tertumpu kepada  kuasa untuk memerintah tetapi sebaliknya kader-kader dakwah hanya memerlukan satu tasawwur , satu pandangan dan satu keazaman . Kader-kader dakwah perlu kembali kepada sirah bagaimana Rasulullah SAW memulakan dakwah . Firman Allah SWT yang berbunyi :

“Sesungguhnya pada diri Rasulullah SAW itu adalah teladan yang baik bagi siapa yang mengharapkan keredhaan Allah dan percaya kepada hari qiyamat”

[ Al-Ahzab – 21 ]

Setiap ahli gerakan perlu memulakan dakwah dalam lingkungan yang terdekat terlebih dahulu iaitu dengan ahli keluarga kerana kemampuan menyampaikan dakwah kepada mereka wujud dalam diri masing-masing. Keberadaan setiap ahli gerakan dalam keluarga masing-masing mampu untuk mempengaruhi ahli keluarga tidak mengira sama ada dakwah tersebut dilakukan dalam bentuk lisan mahupun perbuatan . Hayatilah kisah bagaimana Rasulullah SAW menyampaikan dakwah kepada isteri baginda terlebih dahulu sebelum terus kepada masyarakat.Persoalan penting yang perlu dileraikan oleh ahli gerakan dakwah ialah sejauh mana keberadaan mereka dalam keluarga mampu mempengaruhi ahli keluarga.

Begitu juga dengan masyarakat ( baca : rakan-rakan kampus dan masyarakat sekeliling tempat tinggal ) , setiap ahli gerakan tidak sepatutnya mengurung diri dalam bilik ataupun hanya bergaul dengan kelompok sendiri . Tarbiyah membawa suatu tujuan iaitu untuk memberdaya peranan ahli dalam masyarakat seterusnya meyebarkan dakwah dan bersiyasah dengan anggota masyarakat .  Tarbiyah bukan untuk diri sendiri tetapi juga untuk orang lain ; ditarbiyah untuk mentarbiyah . Setiap ahli gerakan sekali lagi perlu memikirkan bagaimana mereka ingin memposisikan diri mereka dengan baik dalam masyarakat agar masyarakat sentiasa menginginkan sentuhan-sentuhan luar biasa daripada mereka . Memposisi di sini bukanlah bererti dengan kuasa tetapi dengan pengaruh . Untuk mewujudkan pengaruh , maka setiap ahli gerakan perlu bersama dengan masyarakat dalam apa jua aktiviti seperti solat berjemaah , gotong royong , majlis tahlil dan sebagainya . Di sinilah sebenarnya medan yang perlu ditempuh oleh setiap ahli gerakan .

Sayangnya , anak muda pada hari ini lebih cenderung untuk berada dalam kelompok mereka sendiri tidak kisahlah sama ada dari blok ideologis mahupun islamis tanpa berasosiasi sesama mereka . Jemaah , pemikiran , kumpulan , persatuan masing-masing dianggap terlalu suci atau “sacred”.Mereka lebih suka hidup dengan buku semata-mata , wacana , dan forum . Mereka seharusnya perlu menyedari bahawa apa yang mereka lakukan hanyalah sia-sia sekiranya tiada suatu tindakan yang membumi yang dilakukan kepada masyarakat . Inilah ruang lingkup dakwah yang pada hakikatnya setiap pemuda itu mampu kuasai tetapi gagal dek kerana tidak memahami tujuan pentarbiyahan.Setiap ahli gerakan perlu menterjemahkan pelan tindakan dakwah dalam kalangan masyarakat .

Dalam usaha untuk memberdaya peranan diri masing-masing serta memposisikan diri dengan sebaik-baiknya , ilmu merupakan suatu elemen penting . Maka , golongan pemuda hari ini perlu berlumba-lumba menguasai ilmu terutamanya ilmu yang berkaitan dengan kemasyarakatan agar mereka tidak salah memposisikan diri mereka.

Mudah-mudahan , dengan penulisan ini , setiap kader dakwah kembali menyedari tentang kuasa dan ruang lingkup dakwah yang sedia ada agar ia tidak disia-siakan serta kita tidak hanya tertumpu kepada kuasa yang masih belum pasti bila masanya .

Wallahua’lam
Salam Afala Ta’qilun

Memahami Liberalisme

0 comments

Liberalisme merupakan suatu bentuk pemikiran yang bertunjangkan kebebasan sebagai konsepnya . Jika dikaji lebih mendalam tentang liberalisme , maka kita akan dapati bahawa terlalu banyak definisi dan pandangan terhadap ideologi ini berbeza mengikut tokoh-tokoh tertentu . Maka ,penulisan kali ini bukanlah sesuatu pencerahan apa itu liberalisme apatah lagi jika ingin difahami apa hakikat liberalisme itu , bagaimana rupanya dan sebagainya sebaliknya sebagai pandangan peribadi hasil kajian yang bagi penulis mash belum mendalam . Kaji dan terus mengkaji.

LIBERALISME DALAM LIPATAN REINASSANCE

Liberalisme sering kali dikaitkan dengan peristiwa yang berlaku di Eropah suatu ketika dahulu iaitu ketika masyarakat Eropah dilanda zaman kegelapan . Masyarakat eropah ketika itu berasa tertindas dan terkongkong dek kerana terikat dengan kuasa gereja yang dianggap maha agung ketika itu . Kediktatoran kuasa gereja yang ditampilkan ketika itu menyebabkan mana-mana idea mahupun kenyataan yang bercanggah dengan gereja dianggap salah dan sesat sehinggakan pelakunya itu dihukum seperti mana yang pernah terjadi kepada saintis terkemuka Gallilo Gallilei apabila beliau mengeluarkan idea heliosentrik.

Oleh hal yang demikian,muncul suatu golongan yang dinamakan protestan menentang penindasan kebebasan pemikiran manusia oleh kuasa gereja . Bagi mereka , manusia perlu bebas daripada kuasa gereja ( agama ) supaya menjadi lebih maju dan bertamadun .Sebelum mencapai tahap itu (memisahkan kehidupan daripada agama = sekularisme ) , unsur-unsur liberalisme dicucuk dalam kehidupan supaya masyarakat berani menentang kuasa gereja . Gerakan reformasi ini dipimpin oleh Martin Luther .  Kesannya , masyarakat eropah akhirnya keluar daripada kepompong ini dan mencetuskan suatu zaman iaitu Zaman Reinassance . Tamadun eropah yang dahulunya dipandang hina dan jijik akhirnya membangun ibarat cendawan tumbuh selepas hujan . Melihat perihal itu,maka tamadun lain menerima tempias liberalisme apabila mempercayai bahawa sesuatu ketamadunan itu menjadi lebih baik apabila tidak diikat dengan agama.

Ketamadunan Islam juga turut terlibat dengan tempias ini . Buktinya telah lahir beberapa tokoh –tokoh Islam yang mengetengahkan idea Islam Liberal ini seperti Ali Abdul Raziq . Lantaran daripada peristiwa ini,maka istilah liberal menjadi negatif dalam pemikiran masyarakat .

TAHAP KEBEBASAN

Walaubagaimana pun,masih ada beberapa tokoh yang cuba menjernihkan semula kefahaman terhadap ideologi ini . Bagi mereka , Liberalisme perlu dibezakan dengan Islam Liberal . Liberalisme merupakan satu bentuk pemikiran yang bersifat umum manakala Islam Liberal adalah kesan daripada sifat yang umum tadi . Sesetengah individu berpendapat bahawa kebebasan akal itu sendiri memerlukan batas dalam berfikir dan begitu juga sebaliknya.

Bahkan , ada juga yang mengatakan bahawa Islam itu sendiri sudah liberal sifatnya tetapi kebebasan yang diberikan bukanlah sesuatu yang bersifat mutlak . Maka,di sinilah pertembungan antara perbezaan kefahaman liberalisme . Bagi mereka yang berpendapat bahawa Islam itu meraikan kebebasan dalam berfikir , terdapat banyak ayat Al-Quranul Karim yang menyentuh tentang ini seperti yang dilakarkan menerusi firman Allah SWT

"Katakanlah (wahai Muhammad); Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya)"

 ( Surah Yunus 101 )

"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya  dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada".

( Surah Al Hajj 46).

Dan banyak lagi ayat Al-Quran yang menyarankan manusia supaya berfikir . Tidak kurang juga ayat-ayat cabaran daripada Allah SWT seperti  “Afala Ta’qilun “ ( Apakah kamu tidak berfikir ) yang membawa signifikannya berfikir dalam diri manusia . Inilah pertembungan yang sangat vital yang perlu difahami bahawa Islam tidak menolak Liberalisme selagi mana kebebasan tersebut berada di dalam lingkungan syariat . Permasalahan timbul apabila batas-batas syariat tidak dipatuhi , akal kepala lutut itu yang diagungkan .

FALSAFAH  EKONOMI – POLITIK

Liberalisme juga dikatakan merupakan suatu sistem ekonomi politik . Mengapa ia dinamakan ekonomi – politik ? kerana daripada sistem ekonomi , ia kemudiannya mampu memberikan efek campur tangan dalam hal politik seterusnya memberi kesan kepada rupa masyarakat yang dibentuk . Sistem ekonomi liberalis kebiasaannya disebut sebagai sistem kapitalis . Antara tokoh yang memberikan sumbangan besar kepada sistem ekonomi liberalis ini ialah FA Hayek .

Persoalannya , bagaimanakah sistem ini mampu mengambil bahagian atau campur tangan dalam politik ? Dalam suatu buku pro-sosialis yang menghuraikan 11 jurus kapitalisme , ada menyebutkan bahawa ahli kapitalis / liberalis ini akan mula mencampur urusan politik apabila mereka ingin mengembangkan ekonomi mereka . Pada suatu tahap , mereka ( kapitalis/liberalis ) ini menyedari bahawa untuk mengembangkan ekonomi mereka di peringkat Negara mahupun antarabangsa ,mereka perlu menguasai sumber bahan mentah , maka di situ timbulnya keperluan untuk meletakkan ahli-ahli politik yang mendokong ideologi ini dalam plihanraya supaya penguasaan tersebut dapat disusun aturkan . Kita juga sering mendengar bahawa rupa masyarakat yang akan terbentuk kesan daripada ekonomi ini ialah yang kaya tetap terus kaya dan miskin terus dengan kemiskinan .

Namun , di sana sudah pastinya ada perbahasan dan penghujahan daripada pro-liberalis yang menafikan keburukan sistem ini . Sangat menarik untuk dibincangkan berkenaan pertembungan ekonomi sosialis dengan liberalis namun penulisan kali ini hanyalah sekadar untuk memberi gambaran awal tentang pertembungan ini maka selanjutnya , boleh dikaji dengan lebih mendalam.

Dalam sistem ekonomi liberalis , terdapat beberapa konsep yang sangat menarik untuk ditelaah juga dibincangkan seperti Kebebasan Individu , Kebertanggungjawaban , Ekonomi Pasar & Perdagangan Bebas , Tatanan Spontan ( Spontaneous Order ) , Kerajaan Terbatas , Non-intervention.

TUNTUTAN ASAS

Untuk mendalami liberalisme juga , kita perlu mengetahui beberapa tuntusan asas yang sentiasa diberikan penekanan .

1-      Kebebasan Maklumat
Kebebasan untuk mendapatkan maklumat (cth. Maklumat tentang belanjawan atau pemberian tender kerajaan.

2-      Kebebasan Beriktikad
Kebebasan menganut agama / aliran agama / mazhab agama / tidak beragama / faham / falsafah politik / ideologi politik

3-       Kebebasan Akademik
Kebebasan penuh untuk melakukan kajian / penyelidikan dalam bidang ilmiah

4-      Kebebasan Bersuara
Kebebasan meluahkan pandangan terutama menerusi media massa ( akhbar,TV,radio) , karya penulisan sastera dan bukan sastera , karya seni tampak ( lukisan ) dan seni persembahan ( teater , musik ).

5-      Kebebasan Berasosiasi
Juga disebut sebagai kebebasan berhimpun iaitu kebebasan untuk berkelompok , berpersatuan , berpertubuhan ( termasuk parti politik ) .


Rujukan
-          Sejarah Pemikiran 1 ( Sumber Ilmu , Perbandingan Ideologi dan Orde Baru Dunia ), Dr Sulaiman Noordin , Universiti Kebangsaan Malaysia
-          Liberalisme (Pengenalan ringkas dalam lakaran & gambar ) , Al-Mustaqeem M.Radhi , Sri Murniati , Institut Kajian Dasar
-          Kolektif Pop Zine Inqilab , Vol 5


Strategi Menghadapi Kemenangan Mengikut Acuan Surah An-Nasr

0 comments
Firman Allah SWT

“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan.Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dalam keadaan berbondong-bondong.Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya.Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat”

( Surah An-Nasr )

Di sebalik surah yang ringkas ini,ternyata masih ramai lagi antara manusia yang gagal memahami satu perkara yang cuba disampaikan oleh Allah SWT kepada mereka khususnya buat mereka yang bergelar sebagai ahli gerakan mahupun kader-kader dakwah.Oleh kerana itu,sikap bermalas-malasan dalam mengkaji dan menghayati isi kandungan kalamullah yang mulia ini sepatutnya tidak wujud bahkan perlu dicampak jauh daripada lubuk hati ahli gerakan.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah dan Penyayang,Tuhan pemilik kunci segala rahsia kemenangan mahupun kekalahan.

Sekiranya surah ini dikaji berdasarkan kitab Tafsir Fi Zilalil Quran,karangan Imam Syahid Sayyid Qutb,didapati sekurang-kurangnya terdapat 3 asbabun nuzul atau sebab-sebab mengapa surah ini diturunkan kepada Rasulullah SAW buat seluruh umat baginda.

Asbabun nuzul yang pertama dipetik daripada riwayat yang disampaikan oleh Imam Ahmad.Imam Ahmad menceritakan bagaimana Saydatina Aisyah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW selalu mengakhiri urusannya dengan mengucapkan

“ Subhanallah wa bihamdihi astaghfirullaha wa atubu ilaihi..Tuhanku telah memberitahu kepadaku bahawa aku akan melihat satu alamat dalam umatku.Dia memerintahkan aku supaya memujiNya dan memohon keampunan kepadaNya yang Maha Pengampun apabila aku melihat tanda-tanda tersebut.Dan aku telah melihat alamat itu iaitu apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan”

Menurut Ibn Kathir pula,surah ini diturunkan berikutan daripada peristiwa pembukaan Kota Makkah ( Fathul Makkah ).Di dalam tafsirnya,beliau menyebut bahawa kemenangan yang dimaksudkan di sini adalah merebut kembali kota Makkah.Suku-suku Arab menunggu penyelesaian terhadap konflik di antara kaum Quraisy dengan kaum Muslimin,sebelum menerima Islam dengan berkata , “Kalau dia,Muhammad menang ke atas kaumnya,maka dialah Nabi ” Maka setelah Allah memberi kemenangan tersebut kepada Nabi,mereka pun memeluk Islam dengan berbondong-bondong (beramai-ramai) .Belum sampai dua tahun selepas kemenangan ke atas Makkah maka seluruh Jazirah Arab telah dikuasai oleh Islam,dan segala kesyukuran kepada Allah,setiap suku Arab mengisytiharkan keIslaman mereka.

Walaubagaimanapun,berbeza pula asbabun nuzul yang diberikan oleh Ibn Abbas.Beliau meriwayatkan :

“ Umar menemui saya bersama tokoh-tokoh orang-orang lebih tua yang menyertai Badar,sebahagian dari mereka berasa tidak senang dan bertanya mengapa saya harus dibenarkan bersama mereka padahal saya masih terlalu muda tetapi umar berkata , ‘Sesungguhnya dia trmasuk orang-orang yang telah kamu ketahui ’.Umar bertanya bertanya kepada mereka, ‘Apa pendapat kamu tentang firman Allah SWT ; Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan ? ’Maka mereka menjawab, ‘Dia memerintahkan kita supaya memujiNya dan memohon keampunan dariNya ketika Dia menolong kita untuk kemenangan dan mengurniakan nikmatNya ke atas kita ’ .Kemudian Umar bertanya kepada saya pula sama ada setuju atau tidak dengan jawapan mereka lantas saya mengatakan , ‘Tidak,itulah alamat dari Allah kepada RasulNya menandakan dekatnya ajal baginda SAW bermakna apabila kemenangan dari Allah dan pertolongan telah sampai,ajalmu telah dekat,maka bertasbihlah kamu memujiNya dan mohonlah keampunan dariNya’ Umar berkata : Tidak kuketahui tentang surah itu melainkan apa yang telah kamu katakan ”

Konklusi yang boleh dibuat berdasarkan ketiga-tiga asbabun nuzul tadi ialah terdapat satu perkara yang cuba Allah ajarkan kepada kita iaitu bagaimana atau strategi menghadapi sesuatu  kemenangan.

STRATEGI PERTAMA

Dalam ayat yang pertama,Allah ajarkan kepada kita strategi yang pertama sebelum kita menjenguk ke luar pintu kemenangan.Ayat pertama inilah yang telah mengetengahkan satu konsep tentang apa yang berlaku dalam kehidupan ini,dan peranan Rasulullah serta para pengikutnya di dalam mengembangkan Islam serta balasan ke atas mereka yang telah menyelesaikan tugas itu.

‘ Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan ‘

Menurut Sayyid Qutb,ayat ini memberitahu kita bahawa sesuatu kemenangan itu hanyalah milik Allah SWT dan akan tiba menurut waktu yang telah ditetapkan olehNya dalam bentuk yang diaturkan olehNya.Sebagai ahli gerakan atau kader dakwah,kita seharusnya sedar lebih awal bahawa tugas untuk  menentukan bila tibanya kemenangan hanyalah milik Allah SWT,bukan milik kita kerana hakikat kemenangan itu daripada Allah SWT.Kebanyakan ahli gerakan mudah berasa futur,cepat berasa lemah dan sedih apabila kemenangan yang diimpikan itu tidak muncul dek kerana gagal memahami perkara ini.Inilah strategi asas yang perlu semua ahli gerakan kuasai.

Tugas sebagai ahli gerakan hanyalah perlu berusaha sebanyak mungkin serta disematkan matlamat yang murni dalam hati tanpa mengaitkannya dengan kepentingan peribadi.Dalam konteks peristiwa Fathul Makkah,oleh kerana matlamat ahli gerakannya ( Rasulullah SAW & para sahabat ) tidak lari daripada landasannya serta Allah telah menentukan kemenangan akan turun pada waktu itu,maka Rasulullah SAW dan para sahabatlah yang telah dipilih oleh Allah SWT sebagai alat kemenanganNya  

STRATEGI KEDUA

‘ Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya.Sesungguhnya Dia adalah Maha penerima taubat ’

Sebagai ahli gerakan juga,kita  perlu menguasai strategi yang kedua iaitu bertasbih dan bertaubat seperti yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam surah ini.Dalam peristiwa Fathul Makkah,selepas sahaja Allah memilih Rasulullah SAW bersama para sahabat sebagai pengusung kemenangan,mereka diperintahkan supaya bertasbih dan memuji Allah kerana telah diangkat sebagai pemegang amanah  terhadap agamaNya,kerana rahmat dan kasih sayangNya yang memberikan kemenangan,dan disebabkan kemenangan itu manusia berbondong-bondong memeluk agama Islam.

Terdapat beberapa sebab mengapa strategi  kedua ini begitu vital dan signifikan kepada ahli gerakan menurut As-Syahid Sayyid Qutb.

1-Ketepikan segala noda-noda yang menyelinap di dalam jiwa

Sebagai Ahli gerakan,kita tidak akan terlepas daripada terdetik di dalam hati kita perkara-perkara yang jahat sama ada kesan daripada pautan nafsu sendiri ataupun bisikan syaitan-syaitan yang tidak pernah jemu menggoda manusia.Antara kemungkinan yang biasa terjadi kepada ahli gerakan ialah bila mana mereka berasa terlalu bangga dan gembira setelah memperoleh kemenangan sehingga lupa sumber hakikat kemenangan itu sendiri.

Sungguh,pada Rasulullah SAW itu terdapat contoh yang baik bagi umat manusia yang sudi membuka hati dan mata mereka untuk mengikuti  jalan-jalan Rasulullah SAW.Selepas sahaja Rasulullah SAW bersama para sahabat berjaya membuka semula kota Makkah,baginda masuk ke kota itu di atas belakang untanya dengan kepalanya tunduk ke bawah.Baginda SAW lupa terhadap kemenangan tersebut lalu dengan penuh kesyukuran baginda menundukkan kepalanya untuk memperoleh keampunan Allah SWT,meskipun baginda telah berjaya membuka semula kota yang penduduknya telah menzalimi baginda SAW suatu ketika dahulu.

2-Kemarahan atau putus asa dek kerana kemenangan yang lambat

Dalam menyusuri jalan perjuangan yang kita sendiri tidak tahu bila tiba penghujungnya,sudah pasti sedikit sebanyak akan muncul bibit-bibit marah dan putus asa.Kesabaran kita akan diuji oleh Allah SWT sepenuhnya.Bertepatanlah dengan firman Allah SWT yang menyebut :

“Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga padahal belum datang kepadamu cubaan sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu ? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta digoncangkan dengan bermacam-macam cubaan sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang beriman bersamanya : Bilakah tiba pertolongan Allah ? Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat ”

( Surah Al-Baqarah :124 )

Satu kisah yang wajar diteladani oleh seluruh ahli gerakan ialah kisah Abi Abdullah Khabab yang datang bertemu dengan Rasulullah SAW lantas mengadu kepada baginda

“Wahai Rasulullah SAW,apakah tuan tidak memohon kemenangan bagi pihak kita ?Adakah tuan tidak berdoa bagi pihak kita ? ”

Maka baginda SAW menjawab

“Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu , ditangkap seorang lelaki lantas digali lubang lalu ia ditanam di dalamnya , kemudian dibawa datang gergaji lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua dan disikat badannya dengan sikat besi sehingga meluruhkan daging dan tulangnya , namun demikian perkara itu tidak memalingkan mereka dari agamanya. Demi Allah, nescaya Allah menyempurnakan urusan agama ini(Islam) sehingga musafir dari sana’a ke Hadrat Maut tidak lagi takut melainkan hanya kepada Allah, akan tetapi kamu adalah golongan yang gopoh.” 

Khabab merupakan pejuang Islam yang disalai oleh musyrikin di atas bara api dan dikelar jasadnya sehingga masak dan luluh daging jasadnya.Seorang pemuda yang telah separuh mati memperjuangkan Islam,telah berkorban begitu banyak untuk Islam,yang telah mewaqafkan diri untuk Islam datang bertemu dan bertanya kepada Rasulullah SAW tentang perihal kemenangan Islam akan tetapi lihatlah bagaimana jawapan yang diberikan oleh Rasulullah,bahkan Rasulullah berkata bahawa beliau termasuk dalam golongan yang gopoh.Alangkah malunya sekiranya kita yang baru diuji dan diancam dengan ugutan keluarga,pemerintah,tugasan-tugasan dunia yang sekecil cuma sudah mahu berputus asa dan tidak sabar mengecapi kemenangan.

3-Kurang bersyukur akan nikmat Allah dan tidak memujiNya

Firman Allah SWT :

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya ”

( Surah An-Nahl : 18 )

4-Perasaan sombong dan tamak muncul di saat-saat kemenangan

Di saat kemenangan hampir tiba,maka ketika inilah perasaan sombong,angkuh dan tamak untuk berleluasa atau menang akan muncul di hati ahli gerakan sedangkan segigih mana sekalipun manusia berusaha dan bekerja,namun dia tetap lemah dan tidak berdaya sedikit pun.Semua faktor inilah yang akan menyedarkan kepada kita bahawa manusia tidak memiliki apa-apa kekuatan mahupun kuasa sebaliknya Allah yang memberi pertolongan .

Inilah kesempurnaan Al-Quran yang disampaikan oleh Allah SWT melalui Surah An-Nasr.Surah ini bukan sahaja mengajar kepada kita bagaimana persiapan yang perlu kita lakukan untuk memperoleh kemenangan bahkan turut mendorong kita agar sentiasa membebaskan diri kita daripada pautan kesombongan dan membebaskan jiwa kita untuk tunduk kepada Allah SWT kerana keredhaanNya menjadi matlamat utama kita.

Oleh hal yang demikian,sebagai ahli gerakan,perkara yang paling penting perlu difahami ialah musuh utama kita bukanlah mereka  yang cuba untuk menjatuhkan Islam tetapi diri kita sendiri yakni nafsu.Apabila,kita berjaya menentang nafsu durjana yang menjadi musuh utama dalam diri kita,maka mereka yang cuba untuk membawa manusia daripada cahaya ke arah kegelapan bukanlah musuh mahupun penghalang  yang terbesar buat kita walaupun mereka datang dengan perancangan dan persiapan yang pelbagai.Oleh sebab itu,kita sepatutnya menguatkan elemen dalaman terlebih dahulu.Maka,kemenangan yang kita impikan itu mestilah datang daripada kekuatan diri kita dan jangan sesekali kita berharap bahawa kemenangan kita itu datang daripada kelemahan musuh-musuh kita.Tegakkanlah Islam dalam diri kita,nescaya akan tertegaklah Islam di atas muka bumi ini.







Murnikan Kefahaman,Memaknakan Hijrah

0 comments

Tersentap selepas mendengar ulasan yang diberikan oleh seorang ustaz tentang hijrah.Seakan-akan tidak langsung wujud satu ruang pun untuk aku tidak bersetuju dengan beliau.Ya,masyarakat kita hari ini dihijabkan daripada makna hijrah yang sebenar.Tak kisahlah sama ada dalam ceramah atau luar ceramah,sama ada ketika sambutan maal hijrah ataupun hari biasa,kebiasaan yang akan terlintas di fikiran kita ialah hijrah itu berubah daripada buruk menjadi yang baik,yang baik kepada yang lebih baik,malas kepada rajin dan sebagainya.Mungkin kenyataan-kenyataan ini juga timbul hasil daripada kefahaman kita yang menyatakan bahawa tiada lagi hijrah selepas pembukaan Kota Mekah.

Memang tidak salah berkata sedemikian,tetapi jika hendak dibandingkan dengan tuntutan hijrah yang dilangsungkan oleh Rasulullah SAW dan para sahabat,alangkah jauh sekali.Maka,perlulah kita imbau dan teliti kembali ibrah daripada hijrah Baginda SAW dan para sahabat supaya dapat kita kaitkan ibrah tersebut dengan kehidupan kita secara lebih tepat lagi.

Hijrah pertama ialah peristiwa penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah.Ketika ini,Rasulullah tidak menyertai rombongan hijrah tersebut.Suasana dan keadaan umat Islam di bumi Makkah ketika itu sangat kritikal dan parah.Mereka ditindas dan diseksa dengan seksaan yang kita sendiri entah mampu atau tidak menghadapinya.Lupakah kita kepada peristiwa Sumayyah ? Masih ingatkah kita kekentalan Bilal Bin Rabah ketika mana badannya dihempap dengan batu yang begitu besar.Namun atas dasar aqidah yang kuat,mereka tetap terus bertahan dan ada di antara mereka menemui syahid.Atas sebab ini,Rasulullah SAW berasa amat bimbang kerana dikhuatiri aqidah para sahabat yang baru sahaja berjinak-jinak dengan Islam tercabut ekoran daripada penindasan yang maha dasyat.Lantas,Rasulullah SAW memberi arahan kepada para sahabat supaya berhijrah ke Habsyah dan bernaung di bawah Raja Najasyi yang memerintah Habsyah ketika itu agar mereka selamat.Daripada hijrah yang pertama ini,jelas misi atau tujuan utama hijrah ke Habsyah adalah untuk menyelamatkan aqidah para sahabat yang ketika itu aqidah mereka sebenarnya sudah begitu kuat walaupun mereka tidak melalui proses pentarbiyahan seperti kita, tak sempat mengaji sebarang kitab pun lagi tetapi dek kerana bimbangnya Rasulullah kepada para sahabat,lalu diutuskan juga untuk berhijrah.Maka,memang wajarlah kita cemburu kepada generasi jundullah yang terawal yang begitu mapan aqidahnya.

Misi hijrah kedua yakni hijrah ke bumi Taif adalah untuk menyebarkan dakwah selepas perasaan kecewa di bumi sendiri menyelebungi diri Rasulullah SAW.Rasulullah SAW pada suatu hari telah mengumpulkan penduduk kota Makkah di Bukit Soffa dan bertanya kepada mereka,"Wahai penduduk Makkah,kalau aku beritahu kamu di belakang bukit ini ada tentera yang datang ingin menghancurkan kamu,kamu percaya atau tidak ? " Lantas,orang pertama iaitu Abu Lahab yang merupakan bapa saudaranya sendiri tangkas memberitahu bahawa dia mempercayai baginda kerana ketika itu Rasulullah SAW digelar al-Amin bermaksud yang paling dipercayai,maka mustahil Rasulullah akan berdusta.Walaubagaimanapun,selepas sahaja Rasulullah memberitahu mereka bahawa "Tiada Tuhan Yang disembah melainkan Allah,dan bahawa aku adalah utusan Allah kepada kamu",Abu Lahab jugalah orang yang pertama menyatakan ketidakpercayaannya terhadap manusia yang digelar Al-Amin tersebut.Apabila Rasulullah SAW menyedari bahawa penduduk Makkah sukar untuk menerima dakwah baginda,maka baginda cuba membawa risalah mulia tersebut ke bumi Taif pula.

Walaubagaimanapun,pemimpin Kafir Quraisy telah mendahului Rasulullah SAW dengan menghantar utusan kepada bumi Taif yang menyatakan bahawa Rasulullah ini adalah seorang yang pendusta dan sebagainya.Kesannya,apabila tiba sahaja di bumi Taif,belum sempat lagi baginda menceritakan apa itu Islam kepada masyarakat Taif,baginda sudah dikeji,dicaci,dibaling dengan batu oleh pemuda-pemuda di situ sehinggakan apabila Rasulullah SAW pulang ke Makkah,digambarkan bahawa darah baginda yang mengalir di kaki kedengaran seperti tapak kaki yang kebasahan air.

Rasulullah SAW amat sedih lalu mengadu kepada Allah SWT melalui doa baginda yang mana doa tersebut telah menggegarkan ahli langit dan ahli bumi menurut ulama.Lalu,Allah SWT menghantar malaikat untuk menghempapkan bukit Taif ke atas penduduk Taif tetapi baginda berkata,"Tidak Malaikat,jangan engkau berbuat demikian,bahkan apa yang aku harapkan akan lahir daripada mereka satu generasi muda yang mengabdikan diri kepada Allah".Melalui ucapan Nabi inilah jelas sekali bahawa Rasulullah menginginkan dakwah tersebar kepada mereka walaupun hati Rasulullah amat sedih dek kerana tindakan penduduk Taif tersebut.

Kemuncak daripada beberapa siri hijrah ini ialah peristiwa hijrah ke Madinah yang melibatkan Rasulullah SAW bersama para sahabat.Di samping membawa kembali misi yang pernah dibawa ke Taif yakni menyampaikan dakwah,Rasulullah SAW tampil dengan misi yang baru iaitu untuk menegakkan negara Islam di Madinah.Sebenarnya,tiada masalah untuk Rasulullah menjadi pemimpin di Makkah ketika itu.Buktinya,beliau sendiri ditawar oleh bapa saudaranya dan beberapa pemimpin Arab Quraisy untuk menjadi pemimpin dan raja di Makkah.Tak cukup dengan itu,baginda juga ditawarkan dengan harta yang mewah dan bermacam-macam lagi tetapi disebabkan pemimpin Makkah ketika itu meletakkan syarat bahawa Nabi perlu tinggalkan dakwah,maka Rasulullah SAW terus menolak segala tawaran dan pelawaan sebentar tadi.Lantaran daripada peristiwa itu,Nabi mengatur langkahnya bersama para sahabat untuk mendirikan kerajaan yang menegakkan hukum-hukum Allah di Madinah.

Kesimpulannya,sepanjang kisah hijrah Nabi menuju ke arah membentuk kerajaan Islam di Madinah,kita dapat saksikan sendiri bagaimana hebatnya ujian dan cabaran yang dihadapi oleh Rasulullah bersama para sahabat.Baginda diugut bunuh,dikejar oleh suraqah dan sebagainya.Benarlah,bahawa untuk menegakkan Islam di negara kita,kita perlu tegakkan Islam dalam diri kita kerana musuh terbesar kepada kita adalah diri kita sendiri yakni nafsu.Apabila nafsu bermalas-malasan,sikap suka bertangguh,dan lain-lain jenis nafsu lagi kita dapat atasi,maka cabaran luar yang datang kepada kita bukanlah cabaran yang besar buat diri kita.Sehebat mana pun perancangan Yahudi dan Nasrani menjatuhkan Islam,selicik mana pun pemikiran-pemikiran durjana cuba menyelinap pemikiran masyarakat kita tetapi bila mana kita dapat atasi nafsu kita,mereka itu bukanlah batu penghalang yang besar buat kita.

Inilah janji Allah,Islam suatu hari nanti pasti akan tertegak.Walaupun Rasulullah ditentang,dihalang untuk menegakkan hukum-hukum Allah tetapi Rasulullah bersama para sahabat tetap terus thabat kerana meyakini bahawa masa depan hanyalah untuk Islam.Inilah intipati hijrah yang sepatutnya kita sedar dan hayati.Peristiwa hijrah Rasulullah SAW bukanlah menyeru manusia supaya berubah menjadi lebih rajin kerana sekiranya masyarakat Islam ingin menjadi rajin,mereka tidak perlu berhijrah ke mana-mana memandangkan masyarakat Makkah sendiri sangat rajin dalam berdaya saing sesama mereka.Seandainya umat Islam ketika itu mahu menjadi lebih pandai,mereka juga tidak perlu berhijrah ke Madinah kerana di Makkah itu sendiri berhimpunnya para pensyair yang cukup handal sasteranya.Maka,lihatlah apa tujuan hijrah Rasulullah itu sebenarnya dan manifestasikan dalam kehidupan kita pada hari ini.Untuk menegakkan hukum-hukum Allah,maka kita perlukan kuasa pemerintahan supaya dapat mentadbir urusan masyarakat berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah.Oleh yang demikian,strategi untuk mencapai matlamat tersebut sudah semestinya memerlukan satu perancangan yang hebat dan teliti.Islam takkan tertegak melalui individu walaupun dia berwibawa mana sekali pun tetapi Islam itu berjemaah.Memetik kata-kata Umar Al-Khattab :

"Bukanlah Islam itu kecuali dengan jemaah"
"Bukanlah jemaah itu kecuali dengan kepimpinan"
"Bukanlah Kepimpinan itu kecuali dengan ketaatan"

Inilah mesej yang sebenar dan terbesar yang cuba disampaikan dalam peristiwa hijrah.Hijrah Rasulullah bukan untuk berubah daripada malas kepada rajin,daripada buruk kepada baik tetapi berhijrah untuk menegakkan hukum-hukum Allah SWT.Kenapa perlu tegakkan hukum-hukum Allah ?

" Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT,maka mereka itulah orang-orang yang kafir "
" Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT,maka mereka itulah orang-orang yang zalim "
" Dan barangsiapa yang tidak berhukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah SWT,maka mereka itulah orang-orang yang fasiq "

[ Al-Maidah : 44,45,47 ]

WallahuA'lam

Tonton klip video ini :




8 RUKUN MAHASISWA

0 comments


8 RUKUN MAHASISWA OLEH REFORMIS MUDA

1.Faham
Selain daripada tahu,faham merupakan salah satu perkara yang penting.Setiap mahasiswa seharusnya tahu dan faham bahawa mereka mempunyai matlamat yang besar,peranan yang cukup penting kepada generasi akan datang.Hal ini kerana mahasiswa adalah antara golongan yang bukan sahaja bakal mewarisi segala-galanya daripada generasi hari ini,tetapi juga akan diberikan kepercayaan lebih untuk menguruskan perkara yang diwarisi itu.

Lantas,mahasiswa-mahasiswa hari ini perlu jelas bahawa penglibatan mereka di kampus bukan untuk suka-suka,bukan juga untuk menggenggam segulung ijazah sebelum berkahwin,tetapi mereka diberikan amanah dan kelebihan Allah SWT kerana dapat menempatkan diri mereka di mata masyarakat hari ini berbanding mereka yang tidak dapat menuntut di kampus-kampus.Buktinya,fenomena yang berlaku di tanah air hari ini  banyak yang melibatkan mahasiswa.Tidak cukup dengan itu,slogan-slogan berkenaan mahasiswa juga sudah mula bergendang di telinga masyarakat.Maka,memang wajarlah bahawa mahasiswa hari ini perlu sedar bahawa mereka menggalas tanggungjawab dan harapan berjuta-juta rakyat di sana.Platform mahasiswa tidak boleh dipandang sebagai satu kemegahan atau alat untuk mencapai kemahuan diri tetapi perlu dipandang sebagai amanah Allah SWT kepada masyarakat.

2.Kaji
Mahasiswa pada hari ini terdedah dengan pelbagai perkara yang positif mahupun negatif.Budaya-budaya kuning dan amalan jahiliyah moden telah lama meresap ke dalam jiwa anak muda semenjak jarum-jarum sekularisme mencucuk sistem pentadbiran negara dahulu kala lagi.Perisa-perisa ideologi dan pemikiran yang kian bertambah seperti liberalisme,kapitalisme,sosialisme,pluralism juga menjadikan golongan ini semakin parah.

Oleh itu,mahasiswa pada hari ini perlu bertindak dengan bijak apabila terperangkap dalam situasi sebegini.Tindakan yang bijak diduhului dengan proses mengkaji terhadap sesuatu perkara dengan lebih mendalam.Oleh itu,seharusnya mahasiswa hari ini bersyukur kerana mereka pada hari ini sangat terdedah dengan budaya ilmu yang begitu pesat sekali di kampus-kampus.Program-program yang berbentuk ilmiah seperti ceramah,forum,wacana,debat,dan diskusi merupakan wahana yang mampu menyampaikan maklumat kepada mereka.Maka,kesedaran terhadap peluang ini perlu diketahui oleh golongan mahasiswa.Jika mahasiswa hari ini mudah terikut-ikut,menerima maklumat tanpa mengkaji perkara tersebut,maka akan pincanglah gelaran mahasiswa pada dirinya.Mahasiswa hari ini seharusnya lebih takut dengan kebodohan dan ceteknya ilmu sendiri berbanding takut dilabel sebagai fikrah bercelaru  apabila tidak mengikut apa yang ramai orang lakukan.Firman Allah SWT :
 
     "Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (dan dipertanggunjgjawabkan ) tentang apa yang dilakukannya." (Al-Israa' 17:36)


3.Intelek
Kerana bergelar mahasiswa,maka setiap tindakannya perlulah bersifat intelek walaupun dalam proses untuk menentang perkara tersebut.Elemen intelek tidak dapat dipisahkan daripada mahasiswa kerana golongan inilah yang telah terdedah dengan pelbagai pertembungan idea,pendapat dan ilmu.Maka,tidak dapat dinafikan mereka juga harus menghadapi perkara tersebut dengan cerdik dan bijak.

Inilah yang menjadi titik perbezaan seseorang yang berilmu ataupun tidak.Ilmu hanya akan berperanan bila mana ia digunakan dan dimanifestasikan dalam kehidupan.Masyarakat hari ini mudah menilai seseorang melalui bagaimana dia bercakap,bergaul,membuat keputusan dan sebagainya.Maka,penilaian tersebut haruslah tertarik kearah intelek sekiranya diri itu bergelar seorang mahasiswa.Sekiranya ilmu dipandang pada keputusan peperiksaan,maka ia adalah satu kesilapan yang besar dan satu kerancuan yang perlu dijernihkan semula.

4.Amal
 Amal di sini bermaksud membenarkan apa yang dikatakan,apa yang dipelajari melalui tindakan.Masyarakat hari ini sudah banyak melahirkan generasi yang hebat berbicara,gagah berpidato,tangkas berhujah  tetapi sangat sedikit di antara mereka yang bergelar “Amilin”(mereka yang beramal).Kesannya,lahirlah satu generasi yang menerokai lautan ilmu hanya semata-mata untuk menonjolkan kehebatannya berbicara di khalyak ramai.Lantas,istilah “ Mahasiswa Retorik” bukan satu istilah yang begitu asing lagi dalam masyarakat.Perkara ini juga akhirnya merugikan masyarakat dek kerana keliru mereka yang bagaimana yang layak dan sesuai untuk mentadbir masyarakat.

5.Ikhlas
Setiap mahasiswa mestilah mengharapkan keredhaan Allah daripada semua perkataan , perbuatan ,  dan jihadnya dengan tidak mengharapkan keuntungan,pandangan,kemegahan atau gelaran.Dengan itu,golongan mahasiswa akan menjadi golongan yang memberikan manfaat bukan mengambil manfaat.Rasulullah SAW bersabda :

“Sebaik-baik manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain” Hadits dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ (no. 3289).

6.Jiwa Berkorban
Menggalas tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa,sudah semestinya menuntut semangat berkorban yang tidak putus-putus.Bagaimana seseorang itu mampu memberi manfaat kepada masyarakat tanpa ada jiwa berkorban.Berkorban di sini membawa maksud,kamu terpaksa melepaskan apa yang kamu sayangi dalam keadaan yang begitu berat sekali.

Berkorban tidak sama ertinya dengan sumbangan.Sebagai sebuah analogi,seseorang yang mempunyai RM10 memberi sedekah kepada pengemis dengan rasa senang hati kerana masih mempunyai harta yang lain tetapi bagi mereka yang berkorban,pasti akan bersedekah dalam keadaan yang berat kerana baginya RM10 tersebut merupakan keperluan baginya untuk hal-hal diri yang lain.

Berkorban bukan bermaksud kamu mengeluarkan harta sahaja,tetapi pengorbanan juga mendahagakan masa,tenaga,jiwa,dan nyawa kamu.Maka dengan itu,wajib bagi seorang mahasiswa mengetahui perkara yang lebih utama dan perlu didahulukan dalam setiap perkara agar setiap curahan masa dan tenaga tidak disalahgunakan kepada perkara-perkara yang tidak bermanfaat,apatah lagi yang merugikan diri sendiri.Kerana itu,fiqh muazzanat dan aulawiyyat sangat diperlukan bagi mereka yang bergelar mahasiswa.

7.Mengubah
Setiap mahasiswa harus mempunyai kesedaran untuk mengubah dan platform mahasiswa merupakan salah satu platform yang amat baik untuk laksanakan hal ini.Kita sedia maklum bahawa keadaan masyarakat hari ini begitu tenat sekali.Kehancuran ketamadunan bangsa dan agama berlaku sedikit demi sedikit secara perlahan-lahan.Ketamadunan manusia suatu ketika dahulu pernah mencapai kemuncaknya di saat Islam memerintah dunia.

Lantaran daripada peristiwa kejatuhan Turki Uthmaniyah pada tahun 1924,umat Islam seakan-akan telah menagalami mimpi yang begitu buruk dan ngeri.Umat yang pernah dijulang suatu ketika dahulu, kini diaib bukan kepalang .Ekoran peristiwa itu jugalah,sampah-sampah jahiliyah telah dikitar semula dan digunapakai dalam system kehidupan masyarakat hari ini.

Sebagai mahasiswa,mereka perlu sedar bahawa merekalah golongan yang perlu mengubah hal ini memandangkan mereka yang akan mewarisi dan menentukan corak pentadbiran negara dan masyarakat kelak.Peranan mahasiswa begitu jelas dan penting sekali dalam hal ini sehinggakan Imam Abul ‘Ala Al-Maududi menyatakan dalam risalahnya yang berjudul “Peranan Pelajar”, “Hidup kita tidak akan kekal sebagai satu umat Islam melainkan apabila kekalnya anak-anak muda kita yang sedang melalui peringkat pembentukan dan persediaan di pusat-pusat pengajian dan pendidikan ”.

8.Aktualisasi
Aktualisasi diri amat sukar dicapai.Maksud aktualisasi ialah sikap diri yang terbina kukuh untuk berbuat sesuatu yang diyakini.Mahasiswa yang mencapai tahap ini tidak akan berundur daripada melakukan apa-apa perkara yang difikirkannya betul.Dengan adanya sifat ini dalam diri mahasiswa,maka mahasiswa yang akan lahir bukanlah golongan mahasiswa yang mudah dijentik,diacah,digertak,diugut dan sebagainya.

Walaubagaimanapun,setap tindakan yang difikirkan haruslah melalui proses semak dan imbang yang mendalam sebelum benar-benar ingin lakukannya.Mahasiswa yang memiliki sifat inilah merupakan mereka yang sentiasa bersiap sedia menanti cabaran dan dugaan sama ada dalam bentuk kesenangan mahupun kepayahan.


  
:: Kuasa Mahasiswa Memimpin Arus Perubahan ::

Kebebasan Berfikir & Bersuara

0 comments

MUQADDIMAH

Hari ini,masyarakat sudah mula sedar  tentang hak masing-masing untuk bersuara.Walaupun diakui hak tersebut telah wujud sekian lama sama ada dari sudut peraturan undang-undang , lipatan sejarah dan sebagainya tetapi kesedaran itu lebih berputik pada era kini.

Dari sudut peraturan undang-undangnya,telah banyak sudut ini memperakui wujudnya hak ini seperti yang termaktub dalam Perkara 19 Perjanjian Antarabangsa  mengenai Hak Sivil dan Politikal , Perkara 10 dalam konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi manusia , Perkara 13 Konvensyen Amerika mengenai Hak Asasi Manusia serta Perkara 9 dalam Piagam Afrika mengenai Hak asasi manusia dan rakyat. [1]

Selain itu,terdapat juga dokumen awal yang memperakui hak ini seperti  Magna Carta British (1215) , Perisytiharan Hak – hak Manusia (1789) serta Dokumen Penting Revolusi Perancis.Manakala dalam sudut lipatan sejarah Islam pula,akan saya sentuh dalam bab kemudian. [1]

Kebebasan bersuara bererti seseorang itu bebas untuk melontarkan kata-katanya tanpa sebarang sekatan.Ada pendapat lain juga yang menyatakan tanpa sebarang batasan dan penapisan tetapi saya lebih memilih “sekatan” untuk diselitkan dalam definisi kerana sebenarnya wujud batasan dan penapisan dalam hal ini.

KEBEBASAN & DEMOKRASI MUTLAK

Demokrasi mutlak bererti  setiap sesuatu keputusan bergantung kepada suara majoriti semata-mata tanpa mengambil kira aspek lain.Dalam soal kenegaraan pula,keputusan untuk menentukan bakal kerajaan yang dipilih terletak kepada kuasa rakyat.Perkataan “mutlak”lah yang menjadikan sesuatu keputusan itu hanya bergantung kepada suara majoriti.

Oleh hal yang demikian,jika ingin melalui sistem demokrasi yang sebenar,kebebasan bersuara juga perlu dibenarkan seperti yang disebut oleh Alexander Meiklejohn.dia berhujah bahawa untuk melalui sistem ini,masyarakat perlu tahu isu-isu semasa yang penting.Untuk tahu pula,tidak harus ada batasan maklumat dan idea.Menurutnya juga,demokrasi yang sebenar tidak boleh dilaksanakan sekiranya pihak yang berkuasa memanipulasikan pengundi dengan menghalang maklumat dan menyekat kritikan. [1]

Adapun dalam Islam,sistem syura diketengahkan supaya  sesuatu keputusan itu mengambil kira juga aspek lain seperti hukum – hukum Allah dalam Al-Quran,Al-Hadith.Sistem syura tidak meletakkan suara majoriti di tempat pertama tetapi meletakkan nas-nas Al-Quran dan hadith di tempat pertama.Kemudian,melalui pula beberapa siri penghujahan dan perbincangan antara ulama dan mujtahidin.Di sini,mereka bebas memberikan ijtihad dan pendapat masing-masing.Maka jelas,Islam juga mengiktiraf kebebasan bersuara.Saya akan huraikan hal ini lebih lanjut pada bab kemudian.

Walaubagaimana pun,tidak dapat dinafikan juga bahawa terdapat masalah dalam sistem syura ini iaitu timbul perbezaan pendapat tetapi cantiknya Islam ini ,Al-Quran jugalah yang memberikan solusi kepada perkara ini seperti mana firman Allah SWT :

“..Apabila kamu berselisihan terhadap sesuatu perkara,maka kembalilah merujuk kepada Allah dan Rasulnya jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat..”

( Surah An-Nisa 59 )

Uniknya sistem syura ini juga berbanding demokrasi mutlak ialah apabila perintah & larangan Pencipta mengatasi suara majoriti yang dicipta.

Suatu peristiwa dalam perang Badar Kubra,di mana berlakunya perselisihan faham antara para sahabat tentang urusan tawanan perang.Ada yang berpendapat bahawa  perlu dibebaskan dengan bayaran fidyah dan ada juga yang meminta supaya dibunuh kesemua tawanan tersebut. [2]

Pandangan supaya dibebaskan mendapat persetujuan ramai atas sebab Negara Islam baru sahaja ingin membangun lalu memerlukan banyak dana untuk diperuntukkan namun,Saiyidina Umar serta segelintir sahabat-sahabat lain berpendapat sebaliknya dengan sebab membuktikan kekuasaan Allah SWT.Apabila berlaku sebegini,Rasulullah memilih pendapat majoriti tadi,namun Allah menegur  Rasulullah SAW dengan membenarkan tindakan Saiyidina Umar  melalui firmanNya yang bermaksud :

“..tidaklah patut bagi seorang Nabi mempunyai tawanan-tawanan sebelum dapat membunuh sebanyak-banyaknya di muka bumi.kamu menghendaki harta benda dunia ( yang tidak kekal ) sedang Allah menghendaki  ( untuk kamu pahala ) akhirat dan ingatlah Allah maha Kuasa lagi Bijaksana..”

( Al-Anfal 67 )

KEBEBASAN YANG DICEMARI

Hak untuk bebas bersuara tidak boleh diberikan kepada golongan tertentu sahaja.Hak ini seharusnya terbuka kepada semua individu tanpa mengira sama ada bangsa , agama , dan kaum.Begitu juga dari sudut posisi,hak bersuara tidak boleh dimutlakkan kepada golongan pemerintah atau pentadbir sahaja begitu juga dengan rakyat atau masyarakat.

Dalam beberapa perkara yang lepas , terdapat banyak contoh sekatan yang telah dilakukan terhadap hak untuk bersuara.Selain itu juga,terdapat beberapa pihak yang menyalahgunakan hak ini atas dasar kebebasan.Kesannya,wujudnya masyarakat yang huru-hara dan lahirnya golongan yang perasan cerdik dengan memanipulasikan hak tersebut.Ada beberapa peristiwa yang harus kita lihat yang menampilkan betapa hipokritnya barat terhadap hak ini walaupun mereka antara yang memperjuangkan hak bersuara sekali gus membuktikan bahawa hak untuk bersuara menjadi mitos

1. .Peristiwa Holocaust [3]

Peristwa Holocaust adalah peristiwa di mana dikatakan pembunuhan seramai 6 juta kaum Yahudi telah dilakukan oleh Nazi Jerman pada Perang Dunia 2 di Eropah. Menafikan peristiwa Holocaust adalah salah di sisi undang-undang di banyak negara seperti di antaranya adalah Austria, Belgium, Czech Republic, France, Germany, Israel, Lithuania, Poland, Romania, Slovakia dan Switzerland. Bukan tujuan kami untuk membuktikan bahawa peristiwa ini tidak pernah berlaku. Tetapi hakikatnya adalah beberapa orang yang mempersoalkan peristiwa tersebut telah dikenakan hukuman berat. Di antaranya adalah David Irving, seorang ahil sejarah yang dimasukkan ke dalam penjara di Austria selama 3 tahun sebab mempersoalkan peristiwa tersebut .

Richard Williamson, seorang paderi dari Britain dikenakan denda sebanyak Euro 12,000 ke atas kesalahan yang dilakukannya di sebuah siaran TV di Sweden yang mengatakan bahawa tidak lebih dari 300,000 orang Yahudi telah mati di dalam kem-kem tahanan Nazi semasa Perang Dunia 2 .

Ernst Zundel, seorang aktivis berhaluan kanan berbangsa Jerman tetapi menetap di Canada, telah dipenjarakan selama 5 tahun di Jerman, setelah pihak mahkamah di Jerman mendapati beliau bersalah kerana menafikan peristiwa Holocaust. Media penerbitan Zundel iaitu Samisdat Publishers bertanggungjawab ke atas penerbitan buku yang bertajuk “Did six million really die?” oleh pengarang Richard Harwood yang mempersoalkan adakah benar bahawa seramai 6 juta orang Yahudi dibunuh semasa Perang Dunia 2 .

2. Kritikan dan membongkarkan kejahatan Israel – Helen Thomas dan Irvine 11. [3]

Duta Israel iaitu Michael Oren membuat lawatan rasmi ke Amerika Syarikat dan beliau telah sempat memberikan ucapan di Universiti of California di Irvine pada bulan Februari 2010, di mana ucapan beliau telah diganggu oleh seramai 11 orang penuntut muslim yang memarahi duta tersebut di atas keganasan Israel ke atas Gaza. Akibatnya kesemua 11 orang penuntut didapati bersalah kerana berkelakuan tidak senonoh kerana menggangu ucapan duta tersebut. Mereka dikenakan denda sebanyak 56 jam khidmat masyarakat dan dikenakan pengawasan polis selama tiga tahun. Peristiwa 11 orang penuntut muslim di Universiti of California di Irvine, Amerika Syarikat yang menggunakan kebebasan bersuara mereka untuk mengkritik dan memarahi duta Israel disebabkan oleh jenayah perang Israel di Gaza dikenali sebagai “Irvine 11” .

Helen Thomas adalah seorang penulis dan juru-lapur yang paling lama berkhidmat di White House di Amerika Syarikat. Beliau telah mengeluarkan komen bahawa kaum Yahudi sepatutnya keluar dari wilayah Palestin dan kembali ke negara-negara asal mereka seperti Jerman dan Poland. Ramai di antara pegawai atasan di dalam pentadbiran Obama, pentadbiran Bush dan pentadbiran Clinton memberikan kenyataan bahawa Helen sepatutnya dipecat daripada jawatan beliau. Di atas tekanan yang dikenakan ke atasnya dari pelbagai pihak, maka Helen memohon maaf ke atas kenyataan beliau dan seterunsya meletak jawatan dari Rumah Putih .

3. Bradley Manning  [3]

Bradley Manning adalah seorang askar Amerika Syarikat yang dihantar untuk bertugas di Irak telah ditangkap pada bulan Mei 2010 kerana menghantarkan dokumen perang kepada WikiLeaks, termasuklah video serangan udara oleh askar AS ke atas Baghdad pada 2007 dan Garani di Afghanistan pada 2009, yang mendedahkan kebanyakkan mangsa yang terkorban akibat serangan tersebut adalah orang awam yang tidak mempunyai apa-apa senjata. Termasuklah juga banyak dokumen yang berkaitan dengan perang AS di Iraq dan Afghanistan. Beliau sekarang sedang ditahan dan diadili oleh mahkamah atas 34 pertuduhan yang boleh dipenjarakan sehingga 52 tahun.

4. Isu terkini di Malaysia – Sharifah Zohra Jabeen VS Bawani 

Saya sengaja mengambil isu ini walaupun Malaysia bukanlah sebahagian daripada barat.Walaubagaimana pun,tak dapat dinafikan juga hipokrasi tersebut berlaku berdekatan dengan kita.
Suatu forum yang bertajuk “SEIRINGKAH MAHASISWA DENGAN POLITIK” telah berlangsung di Universiti Utara Malaysia dan di akhir forum disediakan satu sessi QnA ( Question & Answer ).Maka,salah seorang pelajar universiti tersebut iaitu Cik Bawani telah mengambil peluang tersebut  untuk mengemukakan beberapa soalan,pendapat dan hujah kepada Puan Sharifah Zohra Jabeen yang mewakili Suara Wanita 1 Malaysia.

Cik Bawani telah membangkitkan isu pendidikan percuma dan sebagainya disertakan sekali hujah beliau.Namun,yang amat menyedihkan bila mana Puan Sharifah Zohra Jabeen memaksa Cik Bawani berhenti daripada terus bersuara dengan menarik mikrofon serta dengan arahan “let me speak” dan “listen” secara kerap kali.Dan amat bertambah malang sekali,bukan sahaja segala soalan yang dilontarkan oleh Cik Bawani tidak dapat dijawab,bahkan Puan Sharifah Zohra juga menimbulkan beberapa perbandingan yang merepek.Beliau menyangka  dengan ke ‘merepek’ an beliau telah berjaya mengatasi  hujah  CIk Bawani tetapi sebenarnya telah menunjukkan hipokrasi beliau dalam hak bersuara yang diberikan dalam majlis tersebut.

Sebaliknya,saya melihat wacana yang pernah diadakan di Kelantan suatu bentuk kebebasan suara yang amat cantik tanpa sebarang sekatan.Bertambah cantik pula,panel yang hadir bukan terdiri daripada wakil sesuatu pihak sahaja bahkan semua pihak ada baik yang pro mahupun kontra.Wacana tersebut telah menampilkan panel seperti Ustaz Fathul Bari (iLMU),Ustaz Fazli Hasan ( PAS ),Dr Mohd Asri Zainul Abidin (wakil akademik),dan Dr Mohd Ridhuan Tee (wakil akademik).

Saya amat tegaskan di sini bahawa isu yang timbul dalam kes Puan Sharifah Zohra bukanlah isu politik tetapi isu penyekatan kebebasan suara  dan juga pembodohan mahasiswa yang berlaku.Sesiapa yang masih belum menonton video tersebut,bolehlah melayari laman web You Tube.Banyak lagi juga contoh yang tidak disebutkan di sini seperti Isu Karikatur  Nabi Muhammad SAW,Filem Innocent Of Muslim.Semuanya  disebabkan oleh pencemaran yang berlaku ke atas kebebasan bersuara.Pencemaran bukan sahaja bererti berlaku penyekatan tetapi juga membawa maksud disalahgunakan atau disalah ertikan.

PENGIKTIRAFAN ISLAM DALAM KEBEBASAN BERSUARA 

Memang kita tidak boleh nafikan bahawa Islam juga meraikan kebebasan bersuara.Dalam ucapan Khalifah Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab juga jelas,adanya hak bersuara untuk rakyat.

Khalifah Abu Bakar As-Siddiq pernah menegaskan dalam ucapan sulungnya,  "Wahai manusia! Sesungguhnya aku telah dipilih menjadi ketua kamu, pada hal aku bukanlah orang yang paling baik di kalangan kamu, oleh itu sekiranya aku betul, maka tolonglah aku, dan sekiranya aku terpesong, maka perbetulkanlah aku".[4]

Begitu juga Umar Al Khattab, “Apabila kamu nampak  aku melakukan penyelewengan, maka perbetulkanlah aku”.Maka bertepatanlah hal ini dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud, “Agama itu nasihat, para sahabat bertanya, untuk siapa? Rasulullah S.A.W menjawab: "Bagi Allah, bagi Rasul-Nya, bagi kitab-Nya, bagi pemimpin-pemimpin orang Islam dan orang ramai dalam kalangan mereka".[4]

Selain itu juga,kewujudan pelbagai mazhab dalam bidang feqah juga tidak dapat dikecualikan daripada bukti wujudnya kebebasan ulama feqah  dalam memberikan pendapat.

Proses bersuara semestinya perlu didahului dengan proses berfikir,maka Islam juga tidak menafikan hak berfikir dan menganalisis bahkan Islam sangat menganjurkan kebebasan ini juga.Syumulnya Islam juga,Islam tidak menyuruh manusia untuk berfikir dalam sesuatu perkara sahaja seperti ibadah tetapi juga turut mencakupi perkara-perkara lain seperti politik, ekonomi , ekosistem dan lain-lain lagi.Firman Allah SWT dalam Al-Quran :

“ dan bukti yang terang untuk mereka berfikir ialah malam; Kami hilangkan siang daripadanya, maka dengan serta-merta mereka berada dalam gelap-gelita;
 dan sebahagian dari bukti yang tersebut ialah matahari; ia beredar ke tempat yang ditetapkan baginya (paksinya) ; itu adalah takdir Tuhan Yang Maha Kuasa, lagi Maha mengetahui;
 dan bulan pula Kami takdirkan Dia beredar melalui beberapa peringkat, sehingga di akhir peredarannya kelihatan kembalinya pula ke peringkat awalnya - (berbentuk melengkung) seperti tandan yang kering.
 dengan ketentuan yang demikian, matahari tidak boleh mendahului bulan, dan malam pula tidak dapat mendahului siang; kerana tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edarannya masing-masing. ”

( Surah Yasin 37-40)

“ dan Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati yang berasal dari tanah;
kemudian Kami jadikan "pati" itu setitis air benih pada penetapan yang kukuh;
kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta”

( Surah Mukminun 12 – 14 )

 "Katakanlah (wahai Muhammad); Perhatikan dan fikirkanlah apa yang ada di langit dan di bumi dari segala kejadian yang menakjubkan, yang membuktikan keesaan Allah dan kekuasaanNya)"

( Surah Yunus 101 )


"Oleh itu, bukankah ada baiknya mereka mengembara di muka bumi supaya  dengan melihat kesan-kesan yang tersebut mereka menjadi orang-orang yang ada hati yang dengannya mereka dapat memahami, atau ada telinga yang dengannya mereka dapat mendengar? (Tetapi kalaulah mereka mengembara pun tidak juga berguna) kerana keadaan yang sebenarnya bukanlah mata kepala yang buta, tetapi yang buta itu ialah mata hati yang ada di dalam dada". 

( Surah Al Hajj 46).

Islam amat melarang umatnya memutuskan sesuatu keputusan dengan hanya menduga-duga,tanpa berfikir.Allah juga telah memerintahkan manusia supaya mencari kebenaran terhadap sesuatu perkara seperti yang disebut dalam firman Allah berikut :

"Katakanlah (wahai Muhammad); Aku hanyalah mengajar dan menasihati kamu dengan satu perkara sahaja, iaitu hendaklah kamu bersungguh-sungguh berusaha mencari kebenaran kerana Allah semata-mata, sama ada dengan cara berdua (dengan orang lain), atau seorang diri; kemudian hendaklah kamu berfikir sematang-matangnya (untuk mengetahui salah benarnya ajaranKu)". 

(Surah Saba : 46).

"Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-mata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu dari kebenaran (iqtikad)".

 (An Najm:28).

PENDEBATAN  “SOLID”

Pendebatan antara salah satu medium yang amat sesuai apabila telah berlakunya sesuatu pertembungan idea , percanggahan maklumat , perbezaan pendapat seperti yang disebutkan oleh  Thomas I. Emerson bahawa prinsip pendebatan terbuka adalah satu kaedah untuk mendapatkan nilai moral dan pada masa yang sama masyarakat yang stabil , menjamin keseimbangan antara pendapat terbuka & persetujuan ramai.

Di samping itu,pendebatan jugalah antara salah satu platform yang berkesan  kerana selain menjadi ruang untuk bebas bersuara & berpendapat , pendebatan juga memberi peluang kepada masyarakat untuk mendengar , menilai , mengkritik , memberi pendapat terhadap isi – isi yang terkandung dalam pendebatan tersebut . Kita juga perlu ingat,bahawa di akhir pendebatan bukanlah semestinya semua ahli akan bersetuju terhadap sesuatu pandangan . Boleh jadi ada yang bersetuju terhadap pendapat ini dan ada juga yang bersetuju utk memilih pendapat itu.

Suka untuk saya mengambil kata – kata Noam Chomsky,katanya “sekiranya anda percayakan kebebasan bersuara,anda haruslah percaya terhadap kebebasan suara untuk pendapat yang tidak anda suka”.Goebbels juga menyetujui pandangan ini.Satu peribahasa yang pernah dikeluarkan di Evelyn Beatrice Hall , “I disapprove of what you say , but I will defend to the death your right to say it” [1]

Namun,selaku orang yang mengiktiraf pendebatan sebagai satu platform yang baik seperti yang disebut di atas,kita juga perlu memastikan bahawa pendebatan yang berlaku mestilah berbentuk ‘solid’.Ramai yang akan bertanya mengapa saya menamakannya ia pendebatan solid ? Solid di sini memberikan simbolik kepada sesuatu yang kukuh dan tidak berubah bentuk.Begitu juga dengan pendebatan,haruslah kukuh dan tidak menyeleweng daripada bentuk pendebatan.Dalam sukan ragbi , terdapat satu istilah yang biasa disebut oleh pemain iaitu ‘tackle solid’ , nak menunjukkan betapa kukuhnya tackle yang dilakukan terhadap lawan.

Bagaimana sesuatu pendebatan boleh terkeluar daripada bentuknya dan menjadi tidak kukuh ? Hal ini akan berlaku apabila sesuatu pandangan dibidas oleh sesuatu hujah yang bukan sahaja tak mampu berlawan , bahkan ia tiada kaitan dan berada di luar lingkup pendebatan secara total.Banyak pendebatan sebegini yang telah berlaku.Kita sudah muak dan meluat bila pendebat mula mengalihkan tumpuan pendengar ke isu yang lain.Lain ditanya,lain dijawabnya.Walaubagaimana pun,dalam sesuatu keadaan tertentu di luar pendebatan,saya tidak menafikan  taktik tersebut diperlukan ( alihkan tumpuan ).Adapun dalam pendebatan , ia tidak sesuai dan bagi saya tidak mengapa jika kita mengakui bahawa kita memang sudah tiada sebarang hujah yang lebih kukuh daripada kita melarikan diri.

Pendebatan yang solid boleh dilahirkan apabila sesuatu idea atau pandangan itu ditentang dengan sesuatu idea , pandangan yang sama kuatnya ataupun lebih kuat.Selain itu,sifat hujah itu sendiri perlu sama atau lebih kuat daripada hujah yang lain.Sebagai contoh dalil dilawan dengan dalil,pandangan imam dilawan dengan pandangan imam yang lain.Maka akan lahirlah,satu pendebatan yang ilmiah dan menyeronokkan .Memetik kata-kata seorang Ulama Islam, “Akal yang jelas,asasnya bermula naqal yang sahih”.

KAEDAH & ADAB KEBEBASAN BERFIKIR & BERSUARA

1. Kebebasan hendaklah seiiring dan tidak bercanggah dengan ajaran Islam,bukannya mengikut kemahuan sendiri,apatah lagi nafsu.Batas halal & haram perlu dititikberatkan
2. Kebebasan tersebut tidak mempunyai sebarang mudharat & tidak mendatangkan mudharat
3. Kebebasan tidak boleh mengubah hukum yang telah qat’ie dalam Al-Quran dan hadith
4. Kebebasan tidak boleh  disalahgunakan sehinggakan menimbulkan perpecahan , tindas – menindas dalam masyarakat.
5. Dalam kebebasan bersuara & berfikir , manusia perlu menilai kebenaran dengan jujur.

Wallahua’lam

Rujukan :
[1]  Kebebasan Bersuara , Wikipedia Bahasa Melayu,ensiklopedia bebas,ms.wikipedia.org
[2] Kebebasan Dalam Islam , Syihabudin Ahmad , aljazary.blogspot.com
[3] Mitos Kebebasan Bersuara Barat , www.khilafah.com
[4] Konsep Kebebasan Menurut Islam , Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang , tarbawi.my
Lain – lain rujukan :
- Tafsir Pimpinan Ar-rahman Kepada PengertianAl-Quranul Karim , Syeikh Abdullah
- Ijtihad bukti Islam Hormati Kebebasan Berfikir elak kepincangan , Ustaz Zamanuddin Jusoh , www.mukmin.com.my
- Konsep Kebebasan Islam Disalah erti , Dr Engku Ahmad Zaki Ahmad Alwi , halaqah.net
- Kebebasan Berfikir & Beragama Dalam Islam , Ustaz Mahyudin Ismail , mahyudin2008.wordpress.com
- Islam & Kebebasan , Dr Yusuf Al-Qaradawi , tarbawi.my
- Konsep Kebebasan Beragama Dalam Islam , anakbapak8385.blogspot.com
- Kepentingan Penggunaan Akal & Tradisi Berfikir Dalam Neraca Islam , Ustaz Raja Ahmad Mukhlis , jomfaham.blogspot.com
- Agama & Kebebasan Berfikir ( Pandangan Awal ) , Kamal Arif Putera , lukisanhatilelaki.blogspot.com
- Al-Hurriyyah (Kebebasan) bersuara dalam Islam , Nurul Zahidah Mohd Zan , www.marufclub.com
- Adab – adab berfikir , mujahidahputeri.blogspot.com