Menghayati Kebangkitan | Sempena Himpunan Kebangkitan Rakyat


Pemuda-pemudi khusunya buat mahasiswa-mahasiswi kampus sangat perlu untuk meluaskan pandangan serta pemikiran mereka pada hari ini.Lagi-lagi dalam keadaan negara yang kian berada di dalam keadaan yang begitu hangat sekali.Belum selesai sesuatu isu,timbul pula isu lain yang menjadi permainan serta percaturan dunia politik tanah air.

Semenjak kebangkitan Parti pembangkang dalam Pilihanraya Umum pada tahun 2008 yang lepas,sedikit sebanyak corak serta landskap masyarakat turut berubah.Apatah lagi dalam keadaan sekarang yang rata-ratanya tidak sabar menunggu menjelangnya pilihanraya Umum yang ke-13.

Meniti kembali sejarah 5 tahun yang lepas,banyak perkara yang berlaku.Kita pernah digegarkan dengan pelbagai peristiwa seperti perhimpunan Bersih 2.0 mahupun 3.0.Tidak cukup dengan itu,kita juga menyaksikan kebangkitan mahasiswa melalui peristiwa Adam Adli.Kebangkitan Felda,bantahan terhadap Lynas dan banyak lagi.Dan yang pastinya,kesemua peristiwa-peristiwa tersebut telah menghasilkan satu impak dan dipercayai juga kemuncak sebelum menjelangnya pilihanraya akan datang iaitu HIMPUNAN KEBANGKITAN RAKYAT  yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada esok hari.

Sudah pastinya perhimpunan yang akan berlangsung pada esok hari diharapkan mampu menimbulkan sedikit sebanyak perubahan kepada pentadbiran negara.Lihat sahaja kepada perkataan KEBANGKITAN pada tajuk perhimpunan tersebut,sudah pastinya ia menjadi simbolik kepada ke‘jemu’an rakyat kepada barisan kerajaan hari ini lantas menyebabkan rakyat bangkit menuntut  perubahan kepada pentadbiran negara.

Namun,cukup tertarik dengan kata-kata seseorang yang mengatakan bahawa :

“Kita jangan terlalu obses dengan perubahan , sebaliknya kita juga perlu berfikir apa yang kita nak ubah dan apa sumbangan kita sepanjang melalui  usaha  perubahan”

Kadang-kadang ia hanya menjadi satu semangat semata-mata tanpa difahami hakikat perubahan dan kebangkitan sebenarnya.Perubahan bukannya perhimpunan.Kebangkitan juga bukan bererti perhimpunan.Andai inilah yang kita fikirkan tentang perubahan serta kebangkitan maka tidak hairanlah keadaan sebelum perhimpunan mahupun selepas adalah sama.

Ya,perhimpunan merupakan satu platform atau medium yang sesuai untuk melontarkan suatu tuntutan,menyuarakan keadilan,menggambarkan kebangkitan tetapi ia tidak mampu untuk menterjemah hakikat kebangkitan itu sendiri.Perhimpunan merupakan salah satu cara untuk bangkit tetapi kebangkitan tidak semestinya melalui perhimpunan.

Pemuda-pemudi hari ini sepatutnya jelas akan hal ini kerana mereka merupakan generasi yang akan mangambil alih tampuk pentadbiran,bukannya suatu generasi yang akan terus ditadbir.Sudah menjadi suatu kebiasaan melihat golongan ini mengikuti perhimpunan-perhimpunan seperti ini.Yang pastinya ia bukan menjadi satu masalah tetapi yang menjadi persoalan ialah atas dasar apa mereka bertindak sedemikian.Atas dasar semangat ? ilmu ? kesedaran ? kebangkitan ? Tepuk dada Tanya iman kerana hanya diri masing-masing sahaja yang tahu.

Lantaran itu,pemuda-pemuda seharusnya meluaskan pandangan serta pemikiran mereka terhadap perkataan KEBANGKITAN ini.

BANGKIT DARIPADA TARBIAH BANTAL

“Ana sayang enta”… “rindu kat enti..”… “ukhuwah fillah”… “ jom bergandingan ke syurga” …  . Saya tidak menafikan bahawa tarbiyah merupakan suatu elemen yang begitu penting dalam usaha mengubah diri ke arah yang lebih baik tetapi saya juga tidak bersetuju andai mereka yang mengikuti usrah dan tarbiyah sering dimomok-momokkan dengan keindahan dan keseronokan bila berusrah tanpa ditekankan asas perjuangan serta sebab-sebab utama berusrah.Kesannya,lahirnya satu kelompok generasi yang berada dalam zon yang begitu selesa bila mana mereka cuma menggambarkan yang indah-indah sahaja bila ditarbiyah,berusrah tanpa mengetahui bahawa mereka mempunyai satu matlamat dan perjuangan yang hakikatnya begitu pahit untuk ditelan.

Kita sudah bosan kelompok-kelompok sebegini.Mereka mengaku seronok ditarbiyah mengaku seronok mengikuti usrah tetapi tidak faham untuk apa mereka melalui semua proses itu.Perlu difahami buat pemuda-pemuda bahawa matlamat mereka melalui proses tersebut tidak lain tidak bukan hanyalah untuk diterjemahkan dalam medan yang sebenar.Kerana itu,bukti kejayaan tarbiyah diri seseorang itu bukan bila mana dia hebat berdiskusi dalam usrah,bukan bila mana dia lantang bersuara di mana-mana pentas tetapi akan terbukti dengan keberadaan dirinya dalam medan sebenar.Oleh sebab itu,mereka perlu BANGKIT daripada bayangan tarbiyah bantal dan tilam yang begitu empuk.Mahu tidak mahu,kita perlu terima bahawa jalan perjuangan ini begitu pahit untuk ditelan.Percayalah bahawa sayang kita pada sahabat,ukhuwah fillah kita serta harapan untuk bersama-sama ke syurga akan dibuktikan melalui medan sebenar.

PERJUANGAN BUKAN DI PERHIMPUNAN SEMATA-MATA

Kita juga sudah letih bila melihat pemuda-pemuda sibuk berhimpun tetapi tidak sibuk menuntut ilmu bila tiba masanya.Walhal,menuntut ilmu merupakan wasilah perjuangan yang lebih besar berbanding perhimpunan.
Rasulullah pernah mengingatkan kita bahawa kalau mahukan dunia dan akhirat,kita perlukan ilmu.
 Pesanan ini jelas menunjukkan ilmu merupakan satu alat yang penting untuk dunia mahupun akhirat.Sedihnya,pemuda-pemuda hari ini lebih cenderung untuk turun berhimpun berbanding  turun menuntut ilmu sama ada dalam pembelajaran formal ( kuliah di university-universiti) mahupun tidak formal.Kesannya,lahirlah satu laungan perubahan retorik daripada mulut mereka.Sebab itu,tiada sebarang perubahan berlaku kepada segolongan besar daripada mereka selepas menyertai mana-mana perhimpunan.

Jika beginilah sikap kita hari ini,maka jangan diimpikan perubahan akan berlaku bahkan tidak mustahil kemunduran yang akan berlaku.Hebatnya sesuatu tamadun itu kerana ilmunya bukan kerana semangatnya.Lupakah kita kepada kerajaan Abasiyyah yang suatu ketika dahulu pernah melalui satu zaman yang dinamakan zaman keemasan disebabkan berlakunya kepesatan ilmu yang luar biasa sehinggakan para ilmuan bersepah merata-rata tempat.Mereka yang ingin menjadi doktor terpaksa ditapis kerana terlalu ramai doktor ketika itu.

Oleh sebab itu,pemuda-pemuda perlu BANGKIT meninggalkan perangai sedemikian.Kita perlu membuka mata seluas-luasnya kepada erti kebangkitan yang sebenar.BANGKITlah daripada kemalasan dalam menuntut ilmu.

BANGKITLAH

Sempena tahun baru,azam baru,semangat baru,maka bangkitlah kita daripada terus melalui cara hidup yang sama.Berubahlah ke arah yang lebih baik.

Kita benar-benar berharap bahawa perhimpunan yang bakal berlangsung esok hari mampu membawa suatu impak perubahan kepada tanah air supaya ia menjadi lebih baik.

Di samping itu juga,diharapkan juga kepada pemuda-pemuda sedar dan bangkit daripada mimpi yang 
lena.Hayatilah erti kebangkitan yang sebenar.Ayuh kita BANGKIT !!!!


2 comments:

superserikandi said...

boleh jelaskan untuk berada di medan sebenar tu macam mana?

Fikri Zainol said...

Waalaikumussalam,terlalu umum untuk digambarkan kerana situasi tersebut boleh muncul dalam pelbagai keadaan.Yang pastinya,suatu keadaan yang menuntut praktikal terhadap input yang diperoleh .Wallahua'lam,sekadar pandangan

Post a Comment