Mendepani Mahasiswa Al-Fateh Abad 21

0 comments


Seorang tokoh hebat,Sultan Muhammad Al Fateh menjadi sebutan atau fenomena baru dalam kalangan remaja pada dekad ini.Saya masih ingat lagi pertama kali saya mendengar nama tokoh ini ialah pada tahun 2008 keika kawan saya membaca sebuah novel terbitan PTS publication.Dan pada saat ini,nama beliau masih kedengaran,tak lapuk walaupun kisah beliau sudah lama berakhir beberapa kurun yang lalu.
Saya percaya apa yang hebatnya tentang tokoh ini ialah kejayaan beliau dan para tenteranya dalam menakluki Kota Konstantinople.Kejayaan ini sebenarnya telah dijanjikan oleh Allah SWT melalui sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Kota Konstantinople akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera ketika itu”

Disebabkan oleh hadis ini,ramai para sahabat berlumba-lumba untuk menjadi sebaik-baik raja dan tentera seperti yang dimaksudkan dalam hadis tersebut.Lantaran itu,berlakulah beberapa siri percubaan untuk menembus kota konstantinople yang sangat kukuh lagi tebal itu.Kubu pertahanan yang sangat kuat yang dibina di sekeliling kota tersebut boleh dikatakan kubu yang paling kebal dalam dunia pada kurun tersebut.Boleh jadi barangsiapa yang tak meng’iman’i dengan hadis nabi tadi,pasti akan mengatakan bahawa usaha untuk menawan kota tersebut merupakan kerja gila.Tetapi lihatlah betapa teguhnya iman para sahabat yang sentiasa yakin dengan janji Allah.

11 siri percubaan telah dilakukan namun kesemuanya gagal,membuktikan usaha untuk menakluk kota ini bukan sesuatu yang mudah.Hal ini sangat memerlukan strategi dan penelitian yang mendalam serta kritis.Lalu muncul Sultan Muhammad Al-Fateh memecahkan kebuntuan umat Islam sedunia ketika itu.Kota Konstantinople akhirnya jatuh ke tangan beliau.Beliaulah yang nabi maksudkan dengan sebaik-baik raja.
Begitulah ringkasan cerita yang menggambarkan kehebatan beliau dan tenteranya dalam misi menakluk Kota Konstantinople.Untuk mendapatkan cerita yang lebih mendalam,bolehlah dapatkan novel atau mana-mana buku yang dijual di pasaran.

Bercakap mengenai buku,suka untuk saya mengupas sedikit tentang sebuah buku yang mengkaji rahsia-rahsia di sebalik kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh iaitu buku yang berjudul Kuasa Kepimpinan Al-Fateh karya Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman.Dalam buku tersebut,pengarang telah mengemukakan 12 kuasa yang dimiliki oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dan dipercayai menjadi sumber kekuatan beliau dan tenteranya.


Salah satu daripada 12 kuasa tersebut ialah kuasa pengorbanan.Jika kita menyusuri sejarah kehidupan seharian Al-Fateh,kita akan dapati banyak pengorbanan dari sudut tenaga,masa,harta bahkan nyawa yang telah ditonjolkan oleh beliau.Antaranya ialah masa tidur beliau.Menurut kajian sejarah,sepanjang malam beliau menghabiskan masanya dengan memikirkan strategi-strategi untuk menembusi tembok Konstantinople yang cukup tebal.Pengorbanan yang cukup hebat ini menyebabkan beliau sering kali tidak cukup tidur.Bukan itu sahaja,di sebelah malam juga,beliau tidak pernah tinggal ibadah Qiamullail.Bayangkan betapa sedikitnya masa yang beliau ambil untuk memejamkan matanya.

Alhamdulillah,sikap pengorbanan Al-Fateh pada hari ini telah menjadi ikutan oleh kebanyakan mahasiswa pada era ini.Maka tidak hairanlah kalau golongan mahasiswa-mahasiswi selalu mengantuk dalam kelas atau kuliah dengan alasan tidak cukup tidur.Pengorbanan waktu malam yang cukup hebat.Malangnya,walaupun terdapat persamaan antara pengorbanan mahasiswa pada hari ini dengan Al-Fateh,terdapat juga perbezaan yang sangat jelas dan ketara terhadap kedua-dua pengorbanan ini.

Mahasiswa pada masa kini gemar tidur lewat semata-mata untuk melakukan kerja yang KURANG berfaedah seperti melayan cerita-cerita,main permainan video,online dan sebagainya.Tambahan pula,ada yang sanggup menahan mata semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak dan sebagainya.Berbeza dengan Al-Fateh yang menahan matanya untuk memikirkan bagaimana hendak menembusi Kota Konstantinople.Bagi golongan yang suka menonton filem atau drama korea seperti Boys Over Flower,mungkin mereka sibuk memikirkan bagaimana kesudahannya kisah percintaan antara Gu Jun Pyo dengan Jan Di.Bagi golongan yang suka main permainan seperti Dota pula,mungkin selalu memikirkan bagaimana nak memastikan Krobelus atau mana-mana hero yang mereka pilih berjaya membunuh hero pihak lawan.Inilah golongan yang digelar Al-Fateh abad 21.

Pandangan peribadi saya mengatakan tidak salah untuk melakukan aktiviti-aktiviti tersebut tetapi berpada-padalah dan pastikan aktiviti tersebut dilakukan pada masa yang sesuai.Kalau tidak,nescaya akan menjejaskan pelbagai aspek dalam diri seorang mahasiswa.Saya pernah mempunyai rakan yang gemar melakukan tabiat ini,kesannya prestasi pelajarannya merosot pada semester kedua dan ketiga sedangkan pada semester yang pertama,pencapaiannya lebih baik daripada saya.

Suka juga untuk saya nasihatkan buat penggemar bola sepak di tengah malam buta,tak salah kalau nak tonton perlawanan tersebut tetapi jangan sampai Solat Subuh terlepas.Saya khuatir murka Allah menimpa kita kerana perkara yang wajib kita terlepas sedangkan perkara yang tak berapa penting mampu pula kita buat.Ramai yang mampu bangun di tengah malam untuk menonton bola sepak tetapi berapa ramai yang mampu bangkit untuk menitiskan air mata,beribadah kepada Allah walaupun hanya 2 rakaat Solat Tahajjud sahaja.Sebab itu,pakar motivasi ada menyatakan bahawa orang yang kuat bukanlah orang yang kuat dari sudut fizikal tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu bangun di tengah malam untuk beribadah.

Konklusinya,sama-samalah kita bermuhasabah semula peranan kita sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam yang menjadi harapan ummah untuk mengembalikan ketamadunan Islam yang pernah bersinar suatu ketika dahulu.Masyarakat di luar sana amat merindukan sentuhan tarbiyah daripada kita tetapi seandainya beginilah sikap kita,pasti mereka akan kecewa kepada kita.Jadikanlah tanggungjawab mahasiswa sebagai platform untuk menyumbang kepada Islam.Ramai mahasiswa pada hari ini hanya belajar semata-mata untuk memenuhi tuntutan kehidupan manusiawi.Lepas belajar,dapat ijazah,kerja kemudian kahwin sedangkan konsep belajar dalam Islam bukan begitu.Islam mendidik umatnya supaya belajar kerana Allah untuk membangunkan Islam.Ayuh bangkit sahabat-sahabat,kitalah peneraju ketamadunan Islam pada masa akan datang !

Peranan Huffaz Sebagai Agen Perubahan

3 comments

Saya masih teringat ketika saya menuntut di Bumi Barakah Darul Quran,kami diajar supaya menjadi insan yang mampu merubah dunia dalam seluruh aspek politik,ekonomi,pendidikan dan lain-lain.Slogan,”rela ditarbiyah untuk mentarbiyah” selalu diusung dalam mana-mana program sekalipun dengan tujuan untuk menyedarkan kami bahawa di Bumi Barakahlah tempat kami untuk mempersiapkan diri dengan pelbagai bekalan supaya mampu mendepani masyarakat yang pelbagai ragam di luar sana nanti.Bertepatan dengan firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran ayat 104,mafhumnya:

“Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan,menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah dari yang mungkar.Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung “

Juga Allah berfirman dalam surah yang sama pada ayat 110,mafhumnya :

“Kamu adalah sebaik-sebaik umat yang dilahirkan untuk manusia,(kerana kamu)menyuruh (berbuat) yang makruf,dan mencegah dari yang mungkar,dan beriman kepada Allah.Sekiranya ahli kitab beriman,tentulah itu lebih baik bagi mereka.Di antara mereka ada yang beriman,namun kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik”

Hari ini genap seminggu saya berada di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Petaling Jaya.Terngiang-ngiang di telinga saya slogan yang selalu menjadi fokus utama di Darul Quran suatu ketika dahulu.Kehidupan seminggu di sini sahaja sudah mencabar,apatah lagi 2 tahun yang akan saya hadapi,sudah pasti banyak pengalaman,ujian dan cabaran terpaksa saya tempuh.Sebagai seorang yang sudah biasa bersama rakan-rakan yang kurang memahami agama,saya tidak menghadapi kejutan budaya (culture shock).Cuma mungkin saya agak kekok untuk berada di sini setelah setahun setengah saya menuntut di Darul Quran.Melihat orang pakai seluar pendek di hadapan saya menjadi kebiasaan sewaktu di sekolah dulu.Begitu juga dengan masalah ikhtilat.Namun,apabila masuk ke Darul Quran,semuanya boleh dikatakan hampir tiada,boleh diibaratkan Darul Quran ini syurga dunia pada pengamatan saya.Dan kini,semuanya kembali seperti biasa.Belum sempat habis Ta’aruf Week di Centre Foundation for Studies International Islamic  University Malaysia ( CFS IIUM ) lagi,saya dah kembali lihat masalah-masalah pemuda-pemudi Islam yang dikatakan ‘torchbearers  for Ummah’.

Sebagai orang yang perlu mendepani realiti ini,saya tidak memandangnya sebagai satu perkara yang negatif. Sudah biah sedemikian rupa,nak buat macam mana.Niat post ini bukan ingin menuding jari kepada mana-mana pihak yang salah,bukan juga untuk menyalahkan biah yang sedia ada di CFS ini,tetapi sekadar untuk mengeluarkan pemikiran saya yang saya kira masih lemah lagi.Perlunya kita mengambil cakna dengan masyarakat sekeliling,ya,itulah yang saya dapat hasil pembacaan saya,boleh rujuk buku Fiqh Politik,Imam Hassan Al-Banna.Dalam buku tersebut juga,ada menyatakan bahawa ada satu ilmu khusus tentang cara-cara kita memandang dan meneliti masyarakat sekeliling kita tetap malangnya saya lupa apa nama ilmu tersebut.Utamanya di sini,penulisan saya kali ini adalah bersaskan pemikiran yang masih lemah serta ilmu ( yang saya nyatakan tadi ) yang masih belum cukup mendalam.Walaubagaimana pun,suka untuk saya menyebutkan kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil,penceramah dan penulis buku yang terkenal dalam kalangan kita era kini :

“Erti Hidup Pada Memberi…  ^_^”

Salah satu ciri khusus Islam ialah Waqieyyah yang bermaksud suasana secara neutralnya.Secara konseptualnya menyebut bahawa Islam itu ialah agama yang mengikut suasana.Hal ini bermakna setiap tindakan dalam Islam perlu mengikut Waqie atau suasana tempat tersebut.Sebagai contoh untuk memudahkan penjelasan saya ini,di suatu tempat pemakaian purdah adalah relevan dan tak menjadi masalah seperti di Malaysia tetapi menjadi masalah di tempat lain seperti Negara yang mengamalkan sekularisme seperti Turki.Mana-mana wanita yang memakai purdah dikatakan terroris di sana.Begitu juga dengan Darul Quran dan CFS,lain suasana lain caranya.

Mungkin di DQ dulu,kita bergelar ustaz-ustazah antara lelaki dan perempuan tetapi tidak di CFS,mungkin kita dulu di DQ kalau nak bercakap dengan berlainan jantina terpaksa menjaga jarak dan pertuturan kata tetapi di CFS mungkin keterbukaan itu perlu lebih lagi.Untuk memudahkan lagi mesej yang cuba saya sampaikan,hidup di DQ dengan cara DQ manakala hidup di CFS dengan cara CFS.

Tetapi timbul persoalan pula,andaikata kita (lepasan DQ) mengamalkan cara hidup yang sama seperti pelajar CFS yang lain,apa bezanya kita dengan mereka sedangkan kita huffaz?Adakah disebabkan suasana CFS sebegini,maka kita juga perlu mengikut suasana CFS secara total?Apa bezanya kita yang hafal Quran dengan mereka yang tidak menghafal Quran? Walhal kita dulu dididik,diasuh,diajar,ditarbiyah supaya menjadi agen perubahan kepada masyarakat di luar.Mana perginya slogan “rela ditarbiyah untuk mentarbiyah” yang selalu kita canangkan kepada adik-adik di DQ dahulu?

Pada pandangan saya,waqie itu perlu diikut dan dihormati tetapi tidak secara total.Walaupun kini kita sudah menjadi mahasiswa CFS tetapi tidak semestinya kita perlu hidup dengan cara CFS.Tidak semestinya juga kita perlu melupakan identiti kita sebagai mahasiswa DQ suatu ketika dahulu.Sebaliknya,kita perlu menggabungkan kedua-dua identiti ini supaya menjadi mahasiswa DQ-CFS seiiring dengan nama “Program Pensijilan Tahfiz DQ-UIAM”.Bagi saya,sebagai huffaz,kita WAJIB menunjukkan perbezaan dalam setiap tindak-tanduk kita,pemakaian kita,pergaulan kita sebab kita pengusung kalam Allah.Kalau tidak,status kita sebagai huffaz hanya dipandang di masjid  dan dalam bulan Ramadan sahaja.

Sebagai contoh,situasi pergaulan dengan berlainan jantina,walaupun kita hidup di CFS tetapi bagi saya cara kita bergaul perlulah mengikut cara pergaulan yang kita belajar di DQ cuma tidak perlulah mengikut kaedah atau cara DQ secara total atau bulat-bulat.Sebaliknya,harus disesuaikan dengan waqie CFS supaya penerimaan pelajar lain terhadap kita mudah secara tidak langsung mampu menarik mereka supaya mendekati kita.Begitu juga dalam aspek pemakaian,bagi saya ciri-ciri pemakaian juga perlu lebih kepada islamik sedikit,bermakna pemakaian seperti jeans amatlah tidak digalakkan walaupun dalam Islam tidak salah.Konsep Hasanatul Abrar Wa Sayyiatul Muqarrabin harus ditekankan dalam diri kita sebagai huffaz.

Pendekatan ini bagi saya tidak akan menjauhkan pelajar lain dengan kita seandainya kita pandai memainkan watak diri kita serta tidak terlalu melampau dalam menyampaikan dakwah (ghulu’).Mudah-mudahan dengan perbezaan yang kita tampilkan mampu mengubah suasana yang sedia ada di CFS secara tidak langsung membentuk jiwa masyarakat sekeliling kita.Inilah tanggungjawab kita sebagai huffaz,Quran itu taklifat bukannya tasyrif ke atas diri kita.Ia hanya akan menjadi kemuliaan apabila tiba di akhirat kelak.Huffaz seperti inilah yang kita mahukan,supaya boleh meneraju ketamadunan manusia akan dating.InsyaAllah.Teringat saya akan satu hadis nabi :

“Islam itu datang dalam keadaan yang asing dan akan kembali dalam keadaan yang asing,maka beruntunglah bagi orang-orang yang asing (ghuraba)”

Begitu juga dengan kita wahai huffaz sekalian,biarlah kita dipandang aneh dan pelik oleh masyarakat sekeliling kita kerana sudah dinyatakan dalam hadis sendiri bahawa barangsiapa yang membawa Islam di akhir zaman ini akan dipandang pelik seperti mana Islam mula bertapak dahulu.Jadi tidak hairan andai kita dipandang pelik oleh orang lain.

Suka juga saya sebutkan tentang satu prinsip iaitu,”berprinsip jangan jumud ,terbuka jangan hanyut”.Selalu kita dengar perihal prinsip ini,tetapi seandainya kita antara orang-orang yang tidak mampu menghadapi realiti survival kehidupan sebegini,maka bagi saya eloklah prinsip itu ditukar kepada,”biar aku jumud,asalkan aku tidak hanyut” kerana manusia itu pasti akan diuji.Maka,berhati-hatilah dalam memilih tindak-tanduk kita.Semoga Allah bersama kita agar kita sentiasa dibimbing dengan cahayaNya.Moga thabat wahai diriku dan sahabat-sahabat sekalian.

“Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa dan buah-buahan.Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”
:: Al-Baqarah,155 ::

Bermaruahlah Wahai Pejuang

3 comments
Milik Allah segala kekuasaan dan kerajaan.Dia lah yang berkuasa untuk memberikan sesiapa sahaja yang dikehendaki untuk mentadbir sesuatu pemerintahan itu.Sama ada mahu memuliakan atau pun menghinakan individu tersebut dengan kekuasaan yang diberikanNya.Teringat saya akan firman Allah SWT dalam surah Ali-Imran :

Katakanlah ( wahai Muhammad ) : Wahai Tuhan yang mempunyai kuasa pemerintahan!Engkaulah yang memberi kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang Engkau kehendaki,dan Engkaulah yang mencabut kuasa pemerintahan dari sesiapa yang Engkau kehendaki.Engkaulah juga yang memuliakan sesiapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang menghina sesiapa yang Engkau kehendaki.Dalam kekuasaan Engkaulah sahaja adanya segala kebaikan.Sesungguhnya Engkau Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.

Dalam post kali ini,suka saya menyingkap kembali dua kisah para anbiya' yang saya rasa mampu menyedarkan kita,para pengusung panji perjuangan Islam era ini.

Ketika mana Batu Hajarul Aswad menjadi rebutan oleh para ketua kabilah arab,datang Rasulullah SAW memberikan idea supaya batu tersebut diletakkan di atas kain serban baginda yang mana setiap bucunya dipegang oleh setiap ketua kabilah.Idea baginda tersebut telah membuktikan kebijaksanaan baginda dalam menyelesaikan masalah lantas baginda digelar "Al-Amin".Lantaran daripada peristiwa itu,baginda sangat dikenali oleh penduduk kota Mekah ketika itu.Gelaran tersebut jugalah yang telah menjadikan baginda sukar dipandang hina oleh masyarakat sekeliling ketika itu.

Ringkas dan padat,kita ikuti pula kisah bagaimana Nabi Yusuf dipenjarakan hanya kerana tidak mahu menuruti nafsu serakah Sang Zulaikha.Ketika itu,nabi berdoa,"Ya Rabb,aku lebih suka dipenjara daripada mengikut kehendak dia".Maka,penjaralah jawapannya.Ketika dalam penjara,baginda telah mentakwil mimpi dua orang banduan yang bersamanya ketika itu (bukan tilik nasib macam bomoh tu,)Akhirnya,seorang daripada banduan tersebut dihukum bunuh manakala lagi seorang dibebaskan.Pemimpin Mesir ketika itu bermimpi sesuatu tetapi tak mampu ditafsir makna mimpi beliau ketika itu,lantas banduan  yang dibebaskan tadi menceritakan perihal baginda Nabi Yusuf kepada pemimpin tersebut.Nabi Yusuf Alaihi Salam berjaya mentakwil mimpi pemimpin Mesir tersebut lalu dijadikan salah seorang menteri oleh kerana kebijaksanaan anugerah Allah SWT yang dikurniakan kepadanya.

Hari ini pada tanggal 1 Jun 2012,telah berlaku pelantikan baru Ahli Jawatankuasa Masjid di kampung saya.Pelantikan kali ini benar-benar mencetuskan kontroversi politik di kampung saya.Tambah-tambah pula pentadbiran Selangor telah bertukar tangan daripada pihak kerajaan kepada pakatan.Proses pelantikan di setiap masjid adalah berdasarkan proses pencalonan dan pengundian yang dibuat oleh ahli karyah masjid tersebut.Selepas proses tersebut berjalan,nama-nama yang dipilih akan dihantar ke Jabatan Agama Islam untuk disahkan seterusnya diberikan watikah kepada ahli yang dilantik sebagai AJK.Anehnya,nama-nama yang dihantar oleh pihak masjid kampung saya kebanyakannya tiada dalam senarai pelantikan oleh Jabatan Agama Islam.Bertambah aneh pula,muncul beberapa nama baru yang tidak dicalonkan oleh ahli karyah dalam organisasi tersebut.Apabila diteliti nama-nama tersebut,barulah disedari bahawa kebanyakan AJK sebelum ini yang menyokong pihak kerajaan disingkirkan serta digantikan dengan AJK baru yang menyokong pihak pembangkang.

Pada pandangan saya,tidak salah seandainya pihak pengurusan Jabatan Agama Islam(yang dikuasai oleh pembangkang) berbuat demikian semata-mata untuk mengukuhkan kekuasaan parti dalam pentadbiran masjid tersebut.Tetapi perlu juga memandang kepada beberapa aspek juga.

PENGARUH DAN KELAYAKAN
AJK yang dilantik itu mestilah mempunyai pengaruh.Hal ini kerana pengaruh itulah yang akan menyumbang kepada kelayakan AJK tersebut itu.Orang akan menilai sama ada dia layak atau tidak menerusi pengaruh dahulu.Timbul persoalan,bagaimana pula mahu wujudkan pengaruh ? Mudah sahaja bagi saya kalau setakat nak jadi AJK masjid tu,hanya perlu rajin hadirkan diri ke masjid,bergaul dengan masyarakat dalam aktiviti seperti tahlil,marhaban,dan maulud,barulah masyarakat ada keyakinan untuk memilih kita sebagai AJK masjid.Usah mimpi seandainya pergi masjid pun malas,kenduri semua tak pergi tapi nak dipilih sebagai AJK.Kedua,ilmu agama juga perlu dituntut kerana orang akan mempertikaikan kelayakan kita dari sudut ilmu juga.Bagaimana nak jadi imam masjid kalau bacaan dalam solat pun tak betul dan sebagainya.Perkara inilah yang terjadi di masjid kampung saya.Kebanyakan AJK pembangkang yang dilantik tidak mampu membentuk pengaruh awal dalam kalangan masyarakat tetapi sebaliknya AJK di pihak kerajaan pula yang lebih mendapat tempat di mata dan hati masyarakat.Sudah tentu AJK tersebut akan dipertikaikan dari sudut ilmu dan pengaruh,tambah-tambah lagi AJK di pihak pembangkang langsung tidak dicalonkan oleh ahli karyah.Pada pandangan saya,pengaruh itu dulu baru kuasa,lihat bagaimana Rasulullah SAW membina pengaruh ketika peristiwa peletakan Hajarul Aswad,bagaimana Nabi Yusuf dilantik menjadi menteri,saya yakin tidak lain tidak bukan semuanya berpunca daripada kebijaksanaan mereka yang seterusnya telah membina pengaruh dan akhirnya mereka menjadi pemimpin masyarakat.

Tanpa mengira parti apa sekali pun,saya berasa siapa yang gagal memenuhi prasyarat ini tidak wajar menjadi AJK masjid.Mungkin kita nampak masjid itu apalah sangat pentadbirannya berbanding negara tetapi kita kena ingat bahawa masjidlah tempat pembentukan jiwa masyarakat,masjid jualah pentadbiran asas untuk membina sebuah negara.Saya khuatir kalau kita hanya mementingkan penguasaan kita terhadap sesuatu kawasan itu tanpa mengambil kira hal ini,kehancuran akan melanda kita semua.Sabda Rasulullah SAW :
 
"Apabila sesuatu amanah itu disia-siakan(diserahkan kepada yang bukan ahlinya),maka tunggulah detik-detik kehancuran"

Oleh kerana itu,pada pandangan saya,sekiranya kita benar-benar mahu membela Islam,maka kita perlu membuktikan dengan diri kita dahulu.Boleh rujuk post saya,"Bukan Untuk Pemimpin Sahaja".Tidak cukup kalau kita hanya melaungkan hidup Islam,pergi demonstrasi dalam masa yang sama asas tarbiyah dalam diri diabaikan.Kekurangan yang saya lihat dalam PAS ialah ahlinya kebanyakannya hanya fokus kepada kerajaan sahaja,bagaimana nak tumbangkan BN dan sebagainya,tetapi selalu memandangkan kecil tentang perkara asas seperti isu masjid kampung saya ini.Walhal,Islam itu syumul,satu cara hidup yang merangkumi seluruh aspek kehidupan bukan politik sahaja,tapi Islam itu juga perlu diterjemahkan melalui gaya hidup kita,supaya masyarakat mudah nampak dan tertarik betapa indahnya Islam itu.Walaupun ijtima' tarbawi telah diadakan tetapi kesannya saya lihat kurang memuaskan.

Berkenaan dengan kekurangan PAS ini,saya amat tertarik dengan uslub atau manhaj yang diketengahkan oleh jemaah-jemaah Islam yang lain seperti IKRAM,ABIM dan sebagainya.Walaupun saya tak tercenderung ke arah itu,tapi saya lihat alangkah bagusnya kalau PAS bersinergikan jemaah-jemaah ini,kerana ada pihak yang akan fokus kepada pembentukan daulah Islamiyah dan ada juga pihak  yang akan fokus terhadap pembentukan fardhu muslim.Ada pihak yang tidak setuju tentang taa'dud jamaah ini kerana dikhuatiri akan berlaku cantas mencantas antara jemaah seperti yang pernah berlaku beberapa kes sebelum ini tetapi saya melihat ia sebagai suatu yang positif cuma kefahaman yang jelas perlu diterapkan dalam kalangan ahli jemaah masing-masing.

Akhir kalam,berjuanglah dengan bermaruah,andai kita mahu jadi pemimpin,naiklah secara bermaruah,turunlah dengan cara bermaruah.Kalau tidak perkara sebaliknya akan berlaku kepada kita.Sekadar pandangan dan pemikiran yang lemah.WallahuA'lam.