Kerana Peribadinya Aku Terpesona,Kerana Budinya Aku Jatuh Cinta

Nuzul Quran merupakan salah satu peristiwa yang sangat penting terhadap umat Islam.Peristiwa yang mana menyaksikan Al-Quran diturunkan sekali gus daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah sepatutnya dijadikan iktibar dan penghayatan kepada semua manusia,bukan sahaja menyambut ketibaan peristiwa ini tetapi juga sebagai muhasabah terhadap penghayatan masing-masing terhadap Al-Quran.

Selama diri kita berpijak di atas muka bumi Allah ini,berapa banyak ayat yang sudah kita amalkan dalam kehidupan seharian kita ? Adakah kita benar-benar menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup kita ? Sedalam mana penghayatan kita terhadap isi kandungan,risalah yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T ?
Atau kita hanya menjadikan ia sebagai satu bacaan semata-mata sahaja ?

Peristiwa Nuzul Quran juga sepatutnya tidak membuatkan kita lupa terhadap insan yang mula-mula menerima risalah ini iaitu tidak lain tidak bukan Rasulullah SAW.Al-Quranlah yang menjadi sumber tarbiyah insan yang mulia ini sehinggakan dinyatakan kalau kita ingin melihat akhlak Al-Quran,lihatlah akhlak Rasulullah SAW.Insan inilah yang sewajarnya menjadi idola dan contoh tauladan  kita.Sesungguhnya,Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran,mafhumnya :

"Sesungguhnya pada Rasulullah itu,contoh yang terbaik buat kamu"

Maka tidak hairan Allah S.W.T mengiktiraf baginda S.A.W sebagai contoh yang terbaik,nak menunjukkan betapa hebatnya isi kandungan Al-Quran sehingga mampu membentuk peribadi mulia seorang Nabi.Tidak ada gunanya kalau kita setiap hari membaca Al-Quran,tetapi tidak berusaha untuk mentadabburnya.Tidak ada gunanya juga,kalau kita tidak cuba mengimplementasikan saranan-saranan Al-Quran dalam kehidupan kita.


Peristiwa Maulidurrasul yang seringkali disambut oleh hampir seluruh umat Islam telah menimbulkan persoalan,adakah sambutan tersebut hanya bertujuan untuk melahirkan rasa cinta terhadap sebatang tubuh sahaja ? Kalau itulah tujuan kita menyambut Maulidurrasul,maka perlu dimuhasabah semula tujuannya.Sepatutnya,kita bukan sahaja perlu mencintai batang tubuh insan yang mulia ini sahaja,bahkan juga risalah yang dibawa termasuklah Al-Quran,sifat peribadinya dan seluruh perkara yang diajarkan oleh baginda S.A.W.

Ya,kita manusia yang lemah,sudah tentu tidak mampu mencontohi peribadi baginda 100 % tetapi tidak salah kalau kita cuba untuk terus perbaiki diri dari semasa ke semasa.Allah melihat usaha kita,Allah tidak melihat hasil.Seandainya Allah melihat hasil,maka Nabi Nuh lah insan yang paling rugi kerana berdakwah beratus-ratus tahun tetapi hasilnya,hanya beberapa sahaja yang mengikuti dakwah baginda.Masih ingatkah kita satu cerita tentang seekor burung yang cuba memadamkan api dengan membawa air menggunakan paruhnya ? Ketika itu,dia diketawakan oleh burung-burung yang lain kerana tindakannya itu sia-sia tetapi apabila ditanya kepada burung tersebut tentang perihal tindakannya itu,maka dia menjawab,"sekurang-kurangnya aku ada bukti di hadapan Allah S.W.T nanti bahawa aku telah mencuba sedaya upaya untuk memadamkan api tersebut"


Maka,teruskanlah berusaha.Perbaiki akhlak kita dari semasa ke semasa.Usah dengar kata orang,biarlah mereka mengejek,mencaci,perli kita disebabkan kita ingin berubah.Hanya Allah sahaja yang mampu menilai.mengapa perlu digusarkan pandangan manusia terhadap kita sedangkan pandangan Allah itu yang penting ? Sama-sama bermuhasabah.Wallahua'lam,salam Afala Ta'qilun.

:: Bukanlah akhlak itu hasil iman dengan tiba-tiba tetapi iman yang hidup akan menggerakkan tuannya bermuhasabah akhlaknya lalu bermujahadah membaikinya ::

0 comments:

Post a Comment