Khatam : Ingat Atau Amal ?

0 comments

Minggu ni minggu yang ramai daripada sahabat saya akan menghabiskan hafalan 30 juzuk Al-Quran atau lebih biasa kita dengar dengan ‘khatam Al-Quran’.Sudah tentu dalam minggu ini pasti masing-masing akan berlumba dan bersaing untuk menghabiskan hafalan.Bagus,satu amalan yang bagi saya dan sihat.Tiba-tiba saya teringat dengan pesan ustaz saya ketika mana saya malas untuk membaca hafalan saya di depan ustaz saya suatu ketika dahulu.Dia membacakan ayat daripada Surah Al-Baqarah,juzuk 2 yang mafhumnya :

“…..Berlumba-lumbalah kamu dalam kebaikan…”

Ayat inilah yang menyebabkan ramai daripada ahli halaqah saya dan termasuk diri saya sendiri juga bersungguh-sungguh untuk menamatkan hafalan ketika berada di semester yang lepas.Dan mungkin juga ayat ini menjadi penyebab sekali lagi minggu ini ramai daripada sahabat saya bersungguh-sungguh untuk menghabiskan 30 juzuk.

Kenapa tiba-tiba bercakap mengenai sahabat saya?bagaimana dengan saya sendiri?sudah khatam kah?sudah tentu belum.Saya antara orang yang sepatutnya menghabiskan hafalan terlebih awal berbanding mereka yang berlumba-lumba pada minggu ini.Minggu ini juga saya pun tak pasti saya nak menghabiskan atau tidak hafalan saya.Mungkin ayat yang pernah dibacakan oleh ustaz saya kali ini tidak mampu menjadi motivasi kepada saya.



Bukanlah tak mampu untuk menghabiskannya tetapi sebaliknya saya berasa takut.Mungkin antara pembaca atau penghafal Al-Quran menyangka saya takut untuk menghabiskan hafalan saya kerana saya takut untuk iadah tetapi sebaliknya tidak.Saya ada sebab tersendiri kenapa takut untuk menghabiskannya.Firman Allah S.W.T dalam Surah Fathir :

“..Kemudian kami wariskan kitab itu kepada orang-orang yang kami pilih antara hamba-hamba kami,lalu di antara mereka ada yang menzalimi diri sendiri,ada yang pertengahan dan ada pula yang dahulu berbuat kebaikan dengan izin Allah.Yang demikian itu adalah kurnia yang besar…”

Saya tertanya-tanya antara 3 golongan itu yang manakah layak untuk saya.Adakah yang dahulu berbuat kebaikan?atau pertengahan?atau mungkin juga boleh jadi menzalimi diri sendiri?Seandainya saya diberi peluang untuk menjawab pertanyaan itu,saya akan menjawab saya termasuk dalam kalangan MENZALIMI DIRI SENDIRI.

Mungkin sahabat-sahabat yang mengenali diri saya agak terkejut kenapa jawapan saya demikian.Bagaimana seorang perwakilan mahasiswa huffaz boleh masuk ke dalam golongan itu ? Bagaimana seorang mantan exco Badan Dakwah tergolong dalam golongan itu ?

Sahabat-sahabat,ketahuilah bukan jawatan itu yang menjadi kayu pengukur di sisi Allah tetapi sebaliknya taqwa.Jawapan saya ialah berlandaskan taqwa saya kepada Allah.Sehingga saat ini,saya masih tertanya-tanya berapa banyak ayat Al-Quran yang saya hafal daripada juzuk 1 sehingga juzuk 29 yang telah saya amalkan ? Sangat sedikit saya rasa.Bahkan ada juga larangan Allah yang terang-terang dalam AL-Quran saya lakukan.Lantas saya letakkan diri saya dalam golongan ketiga sebab saya tahu apa yang saya buat.Bagi saya menjadi seorang hafiz,sangat mencabar.Allah bukan nak lihat sangat pun berpa banyak ayat yang kita ingat,tetapi Allah nak lihat banyak mana ayat yang kita amalkan.Itu lebih penting.Walaupun ada hadis-hadis yang mengatakan orang yang menghafal Al-Quran tetapi kemudiannya lupa maka dia akan diberikan balasan,sebenarnya hadis-hadis itu dhoif martabatnya.Boleh nak amalkan sebagai perangsang untuk kita terus berusaha mengingat 30 juzuk Al-Quran itu,tidak menjadi masalah.Tetapi apa yang saya fikirkan sekarang ini ialah nak mengamalkan ayat-ayat tersebut sepenuhnya,bukan separuh atau sedikit kerana Islam itu syumul dalam seluruh aspek.

Ustaz saya sendiri pernah berpesan kepada saya,

”Apa yang penting ialah kamu amalkan ayat-ayat itu.Ingat tak ingat nombor 2 tetapi kita kena usaha juga untuk ingat.Macam ustaz,ustaz bolehlah dikatakan ingat Al-Quran tetapi ustaz sehingga hari ini tiada rasa ada apa-apa kelebihan pun ingat ayat Al-Quran ini.Jadi perkara yang utama perlu difokuskan ialah bagaimana nak amalkan.”

Oleh itu,saya masih tertanya-tanya adakah selepas saya menamatkan hafalan saya ini,saya mampu nak mengamalkannya sedangkan yang 29 juzuk yang sedang dipikul ini pun masih kucar-kacir untuk diamalkan.Sebab itu,saya berasa sangat takut.Bagaimana saya ingin menjawab di hadapan Allah S.W.T apabila tiba harinya nanti seandainya saya mengingkari ayat-ayat yang saya hafal.

Kepada sahabat-sahabat yang tidak menghafal Al-Quran,ketahuilah bahawa menghafal Al-Quran ini bukanlah satu kemuliaan dan kebanggaan bagi kami sebaliknya menjadi tanggungjawab dan amanat yang sangat berat kepada kami.Memang dah menjadi kebiasaan golongan yang menghafal Al-Quran ini disanjungi dalam kalangan masyarakat tetapi bagi saya pandangan Allah itu lebih penting supaya saya tidak terus tenggelam dengan sanjungan,pujian yang diberikan oleh masyarakat.

Kepada sahabat-sahabat huffaz pula,sama-samalah kita bermuhasabah semula.Semoga mereka yang berlumba-lumba minggu ini mampu mendepani cabaran akan datang.Kepada Rabbul Izzati yang melihat jari-jemari ini menaip,aku mengharapkan keredhaanMu dan pertolonganMu untuk aku terus berazam dengan kalamMu serta kau rahmatilah kami semua.

:: Huffaz Professional Peneraju Kegemilangan Ummah ::