Cabaran Umat Retorik

Perkataan "retorik" telah lama berkumandang sekian lama di telinga-telinga pemuda-pemuda Islam.Bukan itu sahaja bahkan perkataan ini jugalah yang mahir dihafal serta diungkap bila mana timbulnya peluang untuk mereka bercakap di situ.

"Pemuda Islam hari ini retorik ! Kata nak tegakkan Islam tetapi malas,kuat tidur,asyik layan dota....bla..bla"

Ya,tiada sebarang masalah pun dengan ayat itu.Maksud ungkapan retorik secara konseptualnya boleh dikatakan sesuatu perbuatan yang tidak kena dengan percakapan seseorang itu.Seperti dalam contoh ayat tadi,jelas menunjukkan salah satu penggunaan perkataan tersebut.

Namun,perlu difahami serta dihayati bahawa unsur retorik bukan sahaja timbul melalui perkataan sahaja , bahkan turut juga melalui ikrar yang disimpan dalam hati.Seperti mana seseorang itu memperakui dalam hati bahawa dia beragama Islam tetapi tidak mengamalkan cara hidup berdasarkan Islam.Sama juga seperti mereka yang memperakui bahawa sistem-sistem yang timbul pada  hari ini adalah sistem yang berdasarkan sumber jahiliyah tetapi tetap mengikuti sistem tersebut.

Perbuatan seperti ini bukan sahaja telah melahirkan generasi yang retorik tetapi turut menyumbangkan kesan yang amat besar kepada pembangunan Islam itu sendiri.

Lawrance Browne dalam penulisannya yang berjudul "The Prospect Of Islam" telah menunjukkan kepada masyarakat dunia realiti umat Islam pada hari ini.Walaupun ada pihak yang mengatakan bahawa beliau menulis dengan tujuan untuk memburukkan Islam di seluruh dunia amnya dan Islam di India khususnya,namun pendapat saya mengatakan punca terjadi sedemikian bukan datang dari niat beliau tetapi berpunca daripada sikap umat Islam dalam menjadi cerminan Islam kepada masyarakat.Kegagalan umat Islam di India telah menyumbang idea kepada Lawrance Browne untuk menghasilkan penulisan tersebut.

“Kita telah memansuhkan undang-undang jenayah dan sivil Islam di India
kerana kita merasakan undang-undang ini adalah undang-undang zaman purba
yang tidak lagi boleh diguna pakai di zaman ini. Cuma untuk umat Islam kita
masih kekalkan undang-undang kekeluargaan (Personal Law). Tindakan kita ini
telah menyebabkan ummat Islam merasa disakiti, kerana tindakan ini meletakkan
umat Islam setaraf dengan ahli zimmi dalam sebuah negara Islam dalam abad
sebelum ini. Apabila masa berlalu dan keadaan berubah, umat Islam India bukan
sahaja selesa dengan undang-undang ini malah beberapa kerajaan Islam yang lain
telah mengikut jejak langkah kita. Ada di antara kerajaan Islam ini seperti Turki
dan Albania telah melakukan sedikit pindaan kepada undang-undang
perkahwinan, cerai dan pusaka hingga meletakkan undang-undang mereka
setanding dengan undang-undang kita. Tindakan seperti ini telah mendedahkan
kita kepada suatu hakikat yang sering dinafikan oleh umat Islam iaitu akidah
umat Islam yang menyatakan bahawa syariat Islam ini bersumberkan wahyu
Ilahi atau kitab yang diturunkan daripada langit tidak lain hanyalah kisah
khayalan atau mitos sahaja.” Inilah yang dinyatakan oleh penulis tersebut. 

Lihat,kerelaan umat Islam dalam mengikuti sistem jahiliyah ini telah menyebabkan Islam itu dipandang serong oleh masyarakat .Bukan itu sahaja,bahkan cara kita melalui kehidupan kita sendiri juga kadang-kala menyebabkan masyarakat bukan Islam salah faham terhadap hakikat agama Islam itu sendiri.Apabila perkara ini berlaku ( datang daripada tindakan kita sendiri ),maka tak usah kita mendabik dada mengatakan kepada mereka yang bukan Islam bahawa agama kita benar , cantik , mulia dan sebagainya kerana ia merupakan suatu perakuan yang retorik di mata mereka.

Bagaimana mereka tidak boleh berfikir sedemikian sedangkan kita sendiri yang mengakui bahawa agama kita benar melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan ajaran Islam itu sendiri.Maka,usaha dakwah kita akan pincang di situ.Hal ini sekali gus menjadikan kepercayaan mereka bahawa Islam itu tidak benar,ajaran sesat Rasulullah SAW terus bertapak dengan megah di hati mereka.Perlukah kita salahkan mereka ? Tepuk dada tanya selera.

Saya akui bahawa kadang-kala kita terpaksa mengikuti sistem berkenaan kerana sistem itu yang telah digunapakai oleh pemerintah sejak sekian lama tetapi sedar tidak sedar bahawa perlunya niat untuk melakukan perubahan terhadap sistem-sistem tersebut.Mudah-mudahan generasi akan datang  tidak mewarisi sistem jahiliyah tersebut.

Dalam usaha melakukan perubahan,terdapat dua aspek yang cukup begitu penting untuk dipandang.Terdapat juga aspek-aspek lain yang patut diambil kira secara ringan tetapi tidak saya nyatakan dalam penulisan ini.Aspek pertama ialah Ahlu at-Taghyiriah iaitu ahli kepada perubahan atau dalam erti kata lain ialah agen perubahan.Dalam melalui sistem-sistem zaman kini,perlunya dilahirkan agen-agen tersebut dengan kefahaman serta ilmu sehingga akhirnya mampu membentuk suatu kumpulan yang benar-benar akan melakukan perubahan.

Agen-agen yang cukup sesuai untuk dipilih ialah daripada kalangan pelajar.Ini kerana golongan pelajar hari ini merupakan golongan yang terdedah kepada penyebaran ilmu.Golongan ini juga setiap hari melalui proses pertembungan,penapisan terhadap ilmu.Maka dengan kesempatan inilah,mereka juga harus difahamkan sedalam-dalamnya tentang hakikat sistem yang sedang mereka dan masyarakat lalui supaya tergerak hati mereka untuk mengubah sistem-sistem tersebut akan datang.Inilah antara tanggungjawab bagi seorang pelajar seperti mana yang telah dinukilkan oleh Syeikh Abul 'Ala Al-Maududi dalam penulisan beliau yang berjudul "Peranan Pelajar"

Kerana itu golongan pemuda pada hari ini sangat penting untuk dijadikan tunas kepada agen perubahan kelak.Malangnya,kebanyakan mereka hari ini masih tidak mengetahui akan hakikat ini bahkan yang lebih teruk daripada itu,mereka pula yang menjadi agen kepada kehancuran Islam.Tidak kiralah daripada golongan mana sekalipun.Tanpa penghayatan dan tarbiyah di dada,semuanya boleh menjadi sia-sia termasuklah golongan yang mendabik dada menghafal Kalamullah.Betullah kata orang,"Islam itu dihijab/diaibkan oleh umat Islam sendiri"

Perkara kedua yang perlu dipandang ialah Qabil At-Taghyiriah yakni jalan perubahan ataupun cara melakukan perubahan.Tanpa menganalisis,memilih jalan-jalan yang bertepatan ke arah perubahan maka usaha ke arah itu menjadi sia-sia.Hanya penat dan lelah yang diperoleh.Tidak mustahil juga perkara tersebut menyebabkan keadaan menjadi lebih teruk dan keruh.

Hari ini,pelbagai jalan dan cara yang timbul untuk merealisasikan perubahan.Malangnya kepelbagaian ini tidak diraikan tetapi menjadi isu yang usul untuk diperbincangkan walhal pada asalnya isu ini sangat furu'.Kesannya,lahirlah masyarakat yang saling bertengkar,saling cantas-mencantas,menjatuhkan sesama umat Islam.Tanpa disedari,musuh-musuh yang nyata dan tersembunyi terus memerhati dan mentertawakan kita sesama muslim. 

Allah SWT bersifat maha bijaksana.Bagaimana mungkin Pencipta yang maha bijaksana ini menjadikan sesuatu itu dengan tujuan keburukan.Begitu juga dengan manusia,dilahirkan dengan pelbagai pendapat serta pandangan.Maka perlunya sifat berlapang dada serta diraikan perbezaan tersebut.Dan sepatutnya,kepelbagaian itulah yang akan melahirkan suatu sinergi yang begitu utuh,mantap,jitu,unggul mahupun padu.

Bangkitlah wahai pemuda,sedarlah,bermuhasabah,teruskan melangkah lakukan perubahan.Semuanya bermula daripada diri kamu.Islam tidak memerlukan kamu untuk bertapak,tetapi kamu memerlukan Islam untuk terus bertapak dengan sempurna dan aman di atas muka bumi Allah SWT ini.WallahuA'lam.


2 comments:

shahrul eone said...

Assalamualaikum.. saya ingin bertanya bolehkah saya berkongsikan segala karya penulisan saudari di blog saya?.. saya sangat tertarik dengan hasil penulisan saudari yang dapat membawa kebaikan kepada orang lain.. kalau boleh tolong emelkan kepada saya kerana saya tidak selalu online.. terima kasih..
emel saya di shahrulizuan92@gmail.com

Fikri Zainol said...

Waalaikumussalam,tafaddhol,boleh sahaja dengan syarat kalau boleh disertakan sekali alamat blog ini untuk rujukan orang ramai serta kritikan yang bernas terhadap saya..InsyaAllah saya akan emailkan.Btw,saya lelaki ^^

Post a Comment