Kepimpinan Lembu : Satu Kajian


Bermulanya saya berkecimpung dalam dunia penternakan lembu ialah pada  tahun 2011 iaitu semasa saya masih menuntut di bumi barakah Darul Quran.Apabila tiba waktu cuti,saya akan pulang ke kampung untuk membantu ayah saya dalam menguruskan lembu-lembu tersebut.Alhamdulillah,saya masih ingat lagi bagaimana ayah saya memulakan bidang ini.Ketika itu,ayah saya mulakan dengan bilangan sedikit sahaja iaitu dalam 7 atau 8 ekor sahaja dan dalam masa yang sama sebuah kandang pun tidak dibina lagi dan ayah saya tidak mempunyai nama lagi dalam bidang ini.Beberapa bulan kemudian,hasil bantuan rakan-rakan ayah saya serta dengan izin Allah S.W.T,hari ini ayah saya berjaya mengembangkan lagi bidang sampingannya ini.Bilangan lembu semakin bertambah dalam 50 ekor,dan sebuah kandang sudah dibina.

Pada mulanya,saya amat membenci untuk menjaga lembu-lembu ini.Masakan tidak,seorang mahasiswa yang selama ini hanya belajar di dalam kelas,tak pernah bergelumang dengan tahi lembu sudah tentu tidak biasa dengan situasi ini.Tambahan pula,seandainya lembu-lembu tersebut buat hal (marah),lagilah parah dibuatnya.Namun,Alhamdulillah setelah sekian lama membantu ayah saya di kandang,banyak perkara yang saya belajar tentang lembu seperti  jenis lembu,cara ikatan tali,cara menjinakkan lembu dan sebagainya.Bagi saya,amat bertuah untuk berkecimpung dalam bidang ini seawal usia yang muda.

Dan antara perkara yang saya belajar ialah bagaimana cara kita nak memindahkan lembu-lembu daripada ladang ke kandang.Untuk pengetahuan pembaca,lembu-lembu kami tidak diberi makan dedak tetapi diberi makan rumput-rumput yang terdapat di tanah terbiar sekitar kampung kami.Dan kebiasaannya,jarak antara tanah terbiar dengan kandang boleh dikatakan jauh.Ladang dijadikan tempat makan dan menambat lembu manakala kandang dijadikan tempat untuk menguruskan lembu seperti memberi rawatan,menukar tali,menjual dan sebagainya.

Bayangkan dalam sebuah tanah terbiar terdapat kesemua ekor lembu.Bagi orang yang tidak membiasakan diri dengan lembu sudah pasti akan melepaskan ikatan lembu daripada tambatan kemudian menariknya seekor demi seekor ke kandang.Tiada masalah pun sekiranya nak berbuat demikian tetapi ada cara yang lebih mudah lagi iaitu dengan melepaskan ikatan kesemua lembu daripada tambatan terlebih dahulu,kemudian kita cuma perlu menarik seekor sahaja ke kandang nescaya lembu-lembu lain akan mengikuti lembu yang ditarik tersebut.Sangat mudah.Usah risau, lembu-lembu yang dilepaskan tadi tidak akan lari daripada ladang tadi.Resmi lembu,mereka hidup berkawan.Mereka hidup dalam kelompok kumpulan.Mereka takkan hidup bersendirian.

Lama-kelamaan,saya terasa yang ada sesuatu Allah ilhamkan kepada saya untuk mengambil ibrah daripada kisah lembu tadi.Subhanallah,tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah,ayat 26,mafhumnya :

“…..Sesungguhnya Allah tidak segan membuat perumpamaan seekor nyamuk atau yang lebih kecil dari itu.Adapun orang-orang yang beriman,mereka tahu bahawa itu kebenaran daripada Tuhan.Tetapi mereka yang kafir berkata,’Apa maksud Allah dengan perumpamaan ini ? ‘Dengan (perumpaan ) itu banyak orang yang dibiarkanNya sesat dan dengan itu banyak pula orang yang diberikan petunjuk.Tetapi tidak ada yang Dia sesatkan dengan perumpamaan itu selain orang-orang fasik…..”

Sudah terang lagi bersuluh Allah mengatakan bahawa Dia tidak segan untuk menjadikan nyamuk yang kecil itu sebagai perumpamaan,apatah lagi sebesar lembu.

Lembu-lembu akan mengikut mana-mana sahaja lembu yang ditarik ke kandang.Tak kisahlah lembu yang ditarik itu warna apa sekalipun,hitam atau putih sekalipun,lembu-lembu lain tetap akan mengikuti dari belakangnya juga.Begitu juga dengan jenis lembu,sama ada lembu tu lembu KK(Kedah-Kelantan) atau Bahman(saya tak pasti sama ada bahman atau brahman namanya),selagi mana lembu itu ditarik,yang lain tetap akan mengikutinya.Walaupun yang di belakang lembu itu,mungkin ada lembu-lembu yang lebih hebat,besar,atau cantik,mereka tetap mengikut dari belakang.Tidak akan cuba memintas lembu yang berada di hadapan.

Alangkah malunya manusia pada hari ini jika nak dibandingkan dengan lembu.Kegagalan dalam memahami konsep wala’ dalam kepimpinan menjadikan sesuatu organisasi atau persatuan pincang.Berapa ramai kita lihat pada hari ini,orang-orang yang selalu mengingkari arahan ketua mereka.Terlalu ramai.Bahkan ada juga yang melebihkan diri atau menunjuk pandainya daripada ketua sehinggakan membuat keputusan tanpa persetujuan ketua mereka.

Sahabat-sahabat sekalian,
Sehebat mana pun kita,kita kena faham bahawa apa-apa sekali pun kita perlu merujuk atau memberitahu segala perkara kepada ketua kita.Tidak kisahlah ketua kita tersebut macam mana rupanya,saiz badannya,kepintarannya,selagi mana dia seorang ketua,maka wajib kita memberi ketaatan kepada dia.Hal ini kerana ketaatan itu bukan kelebihan atau keistimewaan seorang pemimpin tetapi merupakan hak yang sepatutnya pemimpin itu dapat daripada ahli organisasi.

Hari ini saya lihat kita asyik berbicara mengenai pemimpin sahaja,ciri-ciri pemimpin berkesan,macam mana nak memimpin,hak dan tanggungjawab pemimpin,segalanya tentang pemimpin.Sehinggakan kalau pemimpin itu membuat sesuatu kesalahan,terus dikecam dan dicemuh seolah-olah tiada ruang kemaafan untuk golongan pemimpin ini.Lihat sahaja bahan-bahan bacaan pada hari ini,boleh dikatakan semuanya hanya menyentuh tentang pemimpin sahaja.Tetapi saya mahu bertanya,berapa banyak buku-buku yang menyentuh tentang tanggungjawab orang yang dipimpin kepada pemimpin.Berapa ramai antara kita hari ini yang berbicara tentang kesedaran terhadap tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh orang yang dipimpin kepada pemimpin mereka.Terlalu sedikit.Kita sering memandang kesalahan pemimpin tetapi jarang sekali memandang kesalahan pengikut.

Inilah antara penyumbang kepada kepincangan yang berlaku dalam kepimpinan pada hari ini.Kegagalan dalam memahami konsep wala’,tanggungjawab,hak dan adab kepada pemimpin menjadikan pengikut merasakan mereka sahaja betul dan baik.Suci tanpa sebarang dosa pada mereka.

Kesimpulannya,saya mengharapkan sama-sama kita bermuhasabah kembali dalam diri kita.Sekiranya kita antara orang yang melupakan perkara ini,maka eloklah kita mengubah semula persepsi kita dalam dunia kepimpinan.Lembu yang tiada akal fikiran mampu membuatnya,mengapa manusia pada hari ini perlu mengikut kesombongan dan ego dalam diri dengan cara menafikan hak seorang pemimpin ? Kita ada akal tetapi tidak mahu menggunakannya.Allah berfirman dalam surah Al’A’raf pada ayat 179 mafhumnya :

“…Dan sungguh,akan kami isi neraka jahanam dari kalangan jin dan manusia.Mereka memiliki hati tetapi tidak mahu menggunakannya untuk memahami ( ayat-ayat Allah ) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah),dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (Ayat-ayat Allah).MEREKA SEPERTI HAIWAN TERNAK,BAHKAN MEREKA LEBIH SESAT LAGI.Mereka itulah orang – orang yang lengah….”

Benarlah firman Allah S.W.T bahawa golongan seperti ini lebih teruk daripada haiwan.Lihat sahaja dalam kes tadi,lembu mampu membuatnya tetapi kita tak mampu nak membuatnya.Sangat memalukan.Sekadar muhasabah,sekian…Wallahua’lam…..

0 comments:

Post a Comment