6 Ciri- Ciri Asas Ahli Gerakan Islam

#1 MENUNTUT ILMU
Ciri yang pertama ini merupakan ciri yang sangat penting buat ahli gerakan kerana tanpa komponen ini , segala tingkah laku ahli gerakan akan menjadi pincang dan sekadar omong kosong . Hari ini telah ramai lahir ahli gerakan Islam yang kuat melaungkan takbir , mahukan Islam tetapi diri sendiri tidak mengetahui bagaimana untuk menuju ke arah matlamat itu serta apakah konten-konten perjuangan .

Oleh hal yang demikian , setiap ahli gerakan seharusnya mempunyai daya ber'idealisme' supaya setiap konten-konten perjuangan itu diisi tidak kekosongan . Ahli gerakan seharusnya mengambil bahagian major masing-masing dalam pelbagai bidang seperti ekonomi , pendidikan misalnya di samping memperdalamkan lagi ilmu-ilmu sampingan.Oleh kerana itu , Allah SWT berfirman dalam Surah At Taubah , ayat 122 :

" Dan tidak sepatutnya orang-orang mukmin itu semuanyapergi ke medan perang , Mengapa sebahagian dari setiap golongan di antara mereka tidak pergi untuk memperdalamkan pengetahuan agama mereka dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali agar mereka dapat menjaga dirinya "

#2 MENJAGA IBADAH
Salah satu prasyarat untuk menjadi amilin di pandangan Allah SWT ialah sentiasa bermujahadah untuk taqarrub kepadaNya . Dalam perkara ini , ibadah merupakan alat untuk kita sebagai ahli gerakan memanifestasikan ubudiyah kepada Allah SWT . Ahli gerakan perlu jelas perbezaan antara ibadah dengan ubudiyah . Ubudiyah ialah rasa kehambaan manakala ibadah adalah alat untuk mencapai ubudiyah tersebut .

Realiti hari ini menunjukkan ramai yang rajin melakukan solat , baca al-Quran tetapi gagal mewujudkan rasa kehambaan dalam hati dek kerana gagal memahami tujuan dn konten ibadah tersebut . Kesannya , lahir ahli gerakan yang syok sendiri malah lagi memilukan apabila ada ahli gerakan yang mula mengungkit ( sudah buat ibadah itu dan ini ) apabila ditimpakan ujian yang besar.

#3 MEMBERI PERINGATAN
Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muddassir , ayat 2 :

" Bangunlah , lalu berilah peringatan "

Ayat Allah SWT ini memberikan satu refleksi kepada ahli gerakan bahawa ahli gerakan memikul satu beban yang cukup berat iaitu untuk menyampaikan dakwah atau seruan Islam mahupun islah . Ayat ini juga secara tidak langsung memberikan sindiran kepada ahli gerakan yang tidak mahu melakukan amal islami tetapi hanya mahu bergembira semata-mata dengan mengikuti tarbiyah atau jemaah tanpa mengetahui tuntutan-tuntutan tarbiyah . Bagi mereka , usrah atau aktiviti-aktiviti jemaah hanyalah tempat untuk mereka mendapatkan ketenangan dan suka-suka . Kesannya , mereka berada dalam zon selesa dek kerana dibuai mimpi indah bahawa usrah itu bulatan untuk bergembira sahaja . Oleh kerana itu , istilah bulatan gembira sebenarnya tidak tepat untuk disandarkan kepada usrah kerana gagal menepati tuntutan - tuntutan sebagai ahli gerakan.

#4 MENJAGA PENAMPILAN DAN LISAN
Dalam ayat berikutnya , Allah SWT mengajar secara tidak langsung supaya setiap ahli gerakan dakwah sentiasa menjaga penampilan di khalyak orang ramai sama ada melalui pemakaian , perbuatan mahupun lisan . Ayat keempat Surah Al-Muddassir menyebut :

" Dan bersihkanlah pakaianmu "

Setiap apa yang dilakukan oleh ahli gerakan sebenarnya memberi kesan kepada imej Islam . Oleh kerana itu aspek ini perlu diberikan penekanan supaya ia tidak menjadi fitnah kepada Islam serta memberdaya lagi tahap kesampaian dakwah kepada sesuatu individu mahupun masyarakat . Bagaimana seseorang itu mahu menyeru orang lain  andai kata gaya penampilannya sendiri tidak menang pada pandangan mata masyarakat.Sudah tentunya , masyarakat akan memandang rendah kepada daie tersebut .

Walaupun pada hakikatnya kita perlu mendengar kepada konten penyampaian seseorang , tanpa menilai penampilannya tetapi kita pada hari ini perlu sedar dan menerima hakikat bahawa mentaliti masyarakat kini sudah berubah serta mula mengambil kira sudut penampilan seseorang .

#5 MENJAUHI KEJAHATAN
Antara ciri yang tidak kurang pentingnya sebagai ahli gerakan ialah menjauhi segala kejahatan dan kemungkaran kerana perkara inilah yang akan menjadi duri dalam daging , gunting dalam lipatan , api dalam sekam dalam sesuatu amal kita . Kadang kala , kita berasa kita sudah melakukan macam-macam usaha untuk memenangkan / menyampaikan Islam tetapi hasilnya sangat mengecewakan bahkan ada yang berasa seperti tidak adil atau setimpal hasil yang Allah beri dengan usaha yang kita lakukan.

Inilah perkara yang perlu disemak semula apabila berlaku sedemikian . Mungkin dek kerana dosa yang kita lakukan sama ada disedari ataupun tidak , Allah menangguhkan kemenangan kerana kita perlu ingat bahawa kemenangan itu milik Allah SWT dan Dia jualah berhak memberikan kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki . Hayatilah semula peristiwa pembukaan Kota Konstantinople yang telah dicuba dan diusahakan oleh beberapa generasi sebelum generasi Muhammad Al-Fateh . Generasi yang melalui pertempuran tersebut bukanlah calang-calang generasi , ada dalam kalangan mereka merupakan sahabat Nabi SAW seperti Abu Ayyub Al-Ansari tetapi lihatlah , akhirnya Allah memilih generasi Muhammad Al-Fateh untuk membuka kota tersebut . Firman Allah SWT dalam Surah Al-Muddasir juga , ayat ke 5 :

" Dan tinggalkanlah segala perbuatan yang keji "

#6 BERSABAR DAN TIDAK MENGHARAPKAN BALASAN
Sebagai manusia , tidak salah untuk kita berharap sesuatu atas segala usaha kita bahkan Allah berjanji akan menyediakannya tetapi seeloknya sebagai ahli gerakan , buatlah sesuatu amal itu disebabkan kerana wujudnya rasa kehambaan dalam diri .

Kadang -kadang , keikhlasan seseorang ahli gerakan itu diuji untuk mendapatkan pujian dan balasan daripada orang lain atas idea-idea yang disumbangkan mahupun usaha-usaha yang dilakukan . Tetapi lihatlah dalam ayat berikutnya Surah Al-Muddasir , Allah SWT mengajar kita semua :

" Dan janganlah engkau ( Muhammad ) memberi ( dengan maksud ) memperoleh ( balasan ) yang lebih banyak "

Oleh hal yang demikian , sebagai ahli gerakan , seseorang itu tidak sepatutnya memikirkan dan mengharapkan apa yang dia mahukan daripada jamaah tetapi seharusnya memikirkan apa yang harus disumbangkan kepada jamaah untuk menegakkan syariat Allah di atas muka bumi ini .

Wallahua'lam

1 comments:

Muadz Azmi said...

Sifat benar adalah penyelamat seorang muslim. Benar ertinya hal yang sama ketika kita berseorangan atau di khalayak ramai.
tahnks Reformis

Post a Comment