Mehnah Apa Yang Sedang Menimpa Kita


Bismillahirrahmanirrahim..

Dengan nama Allah yang maha kuasa,
Dengan rasa penuh rendah diri,
Dengan rasa penuh kekesalan , kekecewaan ,keresahan dan kegelisahan
Dengan rasa hina dan dina
Berserta linangan air mata,
Diri ini menulis

Kadang-kadang kita terlupa terhadap satu perkara.Di mana perkara itu pernah kita lalui bersama,pernah kita tempuhi bersama.Segalanya dilakukan bersama dalam satu barisan yang sangat kukuh.Di sana kita pahatkan matlamat dan tujuan yang sama iaitu untuk menjadi Al-Quran yang bergerak di atas muka bumi ini.Lalu,kita mulakan langkah kita dengan penuh kepahitan dan kesukaran agar kita sama-sama mengerti bahawa perjuangan kita ini bukanlah satu perkara yang mudah.Bahkan perkara yang pertama itu bukanlah ujian yang sebenar kepada diri kita sebagai hamalatul quran tetapi sebagai gambaran yang kecil cuma.

Hari demi hari berlalu,kita diselang-selikan dengan suka dan duka,gembira dan sedih,ceria dan muram dan sebagainya.Sehinggakan ada di antara kita tak mampu meneruskan perjuangan ini.Ada di kalangan mereka tergolong dalam golongan yang dikatakan “Al-Musaqitun fi haza tariq”,ada juga yang mahu meneruskan jalan ini walaupun mereka sedar mereka tidak mampu tetapi alhamdulillah,ramai di kalangan kita akhirnya berjaya menggenggam segulung sijil.Lalu kita tinggalkan tasik itu dengan perasaan yang bercampur baur serta harapan yang tinggi menggunung.

Di sini,cerita baru bermula.Mungkin barangkali ramai antara kita sudah lupa perkara pertama itu.Perkara yang pernah kita tempuh bersama.Disebabkan kita lupa,mungkin Allah SWT ingin mengingatkan kepada kita semula terhadap dia.Itulah dia Mafatih Mahabbah yang pernah mengunci hati kita dalam satu ikatan yang begitu kuat.Itulah Mafatih Mahabbah yang pernah membuatkan kita rasa lemah,putus asa dan sedih.Tetapi itulah juga yang menjadi kunci kasih sayang antara kita semua.Barangkali oleh kerana kita lupa kepada kunci itu,maka Allah SWT ingin mengingatkannya semula kepada kita.

Ada apa pada nama ?

Itulah soalan yang membuatkan diri ini berfikir dan terus berfikir apabila ditanya berulang kali.Hamalatul Quran XII GEN,itulah nama kita tetapi mungkin disebabkan kerana kita lupa tentang kunci itu,maka kita tak dapat menghayati nama yang cukup berat ini.Apabila kita dilahirkan,ibu dan ayah kita bersusah payah memikirkan nama untuk kita dengan harapan agar nama tersebut mampu menjadi identiti peribadi kita.Begitu juga dengan nama Hamalatul Quran ini,sepatutnya menjadi identiti peribadi kita.

Maka perlu kita bermuhasabah semula bersama dengan lebih mendalam.Seandainya dasar lautan itulah paling dalam,maka muhasabah kita perlu lebih dalam lagi daripada itu.Iadah tidak dipegang.Ibadah tidak dijaga.Hubungan denganNya tidak dijaga.Bahkan kelalaian itulah yang sering dilebihkan.Menyebabkan kita terus lupa pada makna nama tersebut.Wajarkah kita memegang nama itu seandainya begini sikap kita ? Tepuk dada tanya iman.

Maka dengan sifat kasih sayang Allah SWT yang sangat mendalam kepada kita,diturunkan kepada kita satu ujian yang benar-benar berat kepada kita.Kita tidak boleh memandang kepada punca masalah tersebut sahaja,tetapi kita juga perlu merungkai hikmah di sebalik mehnah dan tribulasi yang Allah berikan.

Diri ini melihat ujian yang diturunkan kepada kita tidak lain tidak bukan untuk menegur sikap kita terhadap nama itu.Untuk mengingatkan kembali kita semua kepada kunci kasih sayang itu.Agar kita insaf,bermuhasabah lalu keluar dengan solusi yang satu.Keluar kembali dengan satu barisan yang begitu kukuh seperti dahulu.Ibarat roda yang berputar,Allah memutarkan kembali peristiwa satu tahun yang lalu cuma berbeza keadaannya.Allah SWT berfirman dalam Surah Ali Imran,ayat 103 :

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah,dan janganlah kamu bercerai-berai,dan ingatlah nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa jahiliyah) bermusuhan,lalu Allah mempersatukan hatimu,sehingga dengan kurniaNya kamu menjadi bersaudara,sedangkan (ketika itu) kamu berada di tepi jurang neraka,lalu Allah menyelamatkan kamu dari sana.Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu agar kamu dapat petunjuk.”

Duhai hati-hati yang merindukan kunci itu,
Percayalah bahawa Allah sedang mengaturkan hikmah yang amat besar buat kita melalui ujian yang amat berat ini.Kita mungkin akan berasa lemah,dan mungkin juga akan berputus asa dek kerana sudah tidak mampu memikul ujian ini tetapi bersabarlah dan teruskan doa kerana doa itu adalah senjata kita.Keluarlah dan susunlah semula barisan kita seperti mana pernah kita aturkan dahulu,agar kepayahan,kesengsaraan ini dikongsi bersama.Bermuhasabahlah semua,percaya dan yakinlah bahawa Allah menurunkan ujian seberat ini kepada kita tidak lain tidak bukan kerana Allah sayang kepada kita,kerana Allah tak nak kita terus lalai,kerana Allah nak menegur dan memperbetulkan kita.

Diri ini bukanlah insan yang sempurna untuk menulis kalam ini untuk menjadi tatapan dan renungan kalian.Tetapi oleh kerana kegelisahan dan kepiluan yang teramat telah terpahat di hati ini,jari ini tidak mampu ditahan untuk merungkaikan kalamnya.Pujuklah hati kalian agar berlapang dada,agar hati kita kembali menjadi satu,agar ujian ini dapat diselesaikan bersama dengan izin yang maha Esa.Jangan berputus asa,sama-sama kita harung,sama-sama kita tempuh,sama-sama kita mara ke hadapan,InsyaAllah ada jawapan sedang menanti kita di hujung sana.

:: Kuasa Pemuda Memimpin Arus Perubahan ::


Semalam aku kelukaan
Kecewa kehampaan
Mencalar ketabahan

Mimpi yang sering ku harapkan
Menjadi kenyataan
Namun tak kesampaian

Allah..
Ingin ku hentikan langkah ini
Bagaikan tak mampu untukku bertahan

Semangat tenggelam
Lemah daya
Haruskah aku mengerang
Namun jiwaku berbisik
Inilah dugaan



Dan mataku kini terbuka
Pada hikmah dugaan
Uji keimanan

Dan dilontarkannya ujian
Di luar kekuatan setiap diri insan

Allah..
Pimpinlah diriku untuk bangkit semula
Meneruskan langkah perjuangan ini
Cekalkan hati dan semangatku
Kurniakan ketabahan
Agar mimpi jadi nyata
PadaMu ku meminta

Daku mohon agung kudratMu
Wahai Tuhan yang satu
Segalanya dariMu....


Musafir Cinta Ilahi
MUK,G-04
6.24 pm

0 comments:

Post a Comment