Mendepani Mahasiswa Al-Fateh Abad 21



Seorang tokoh hebat,Sultan Muhammad Al Fateh menjadi sebutan atau fenomena baru dalam kalangan remaja pada dekad ini.Saya masih ingat lagi pertama kali saya mendengar nama tokoh ini ialah pada tahun 2008 keika kawan saya membaca sebuah novel terbitan PTS publication.Dan pada saat ini,nama beliau masih kedengaran,tak lapuk walaupun kisah beliau sudah lama berakhir beberapa kurun yang lalu.
Saya percaya apa yang hebatnya tentang tokoh ini ialah kejayaan beliau dan para tenteranya dalam menakluki Kota Konstantinople.Kejayaan ini sebenarnya telah dijanjikan oleh Allah SWT melalui sabda baginda Rasulullah SAW yang bermaksud :

“Kota Konstantinople akan dibuka oleh sebaik-baik raja dan sebaik-baik tentera ketika itu”

Disebabkan oleh hadis ini,ramai para sahabat berlumba-lumba untuk menjadi sebaik-baik raja dan tentera seperti yang dimaksudkan dalam hadis tersebut.Lantaran itu,berlakulah beberapa siri percubaan untuk menembus kota konstantinople yang sangat kukuh lagi tebal itu.Kubu pertahanan yang sangat kuat yang dibina di sekeliling kota tersebut boleh dikatakan kubu yang paling kebal dalam dunia pada kurun tersebut.Boleh jadi barangsiapa yang tak meng’iman’i dengan hadis nabi tadi,pasti akan mengatakan bahawa usaha untuk menawan kota tersebut merupakan kerja gila.Tetapi lihatlah betapa teguhnya iman para sahabat yang sentiasa yakin dengan janji Allah.

11 siri percubaan telah dilakukan namun kesemuanya gagal,membuktikan usaha untuk menakluk kota ini bukan sesuatu yang mudah.Hal ini sangat memerlukan strategi dan penelitian yang mendalam serta kritis.Lalu muncul Sultan Muhammad Al-Fateh memecahkan kebuntuan umat Islam sedunia ketika itu.Kota Konstantinople akhirnya jatuh ke tangan beliau.Beliaulah yang nabi maksudkan dengan sebaik-baik raja.
Begitulah ringkasan cerita yang menggambarkan kehebatan beliau dan tenteranya dalam misi menakluk Kota Konstantinople.Untuk mendapatkan cerita yang lebih mendalam,bolehlah dapatkan novel atau mana-mana buku yang dijual di pasaran.

Bercakap mengenai buku,suka untuk saya mengupas sedikit tentang sebuah buku yang mengkaji rahsia-rahsia di sebalik kejayaan Sultan Muhammad Al-Fateh iaitu buku yang berjudul Kuasa Kepimpinan Al-Fateh karya Ustaz Muhammad Syaari Abdul Rahman.Dalam buku tersebut,pengarang telah mengemukakan 12 kuasa yang dimiliki oleh Sultan Muhammad Al-Fateh dan dipercayai menjadi sumber kekuatan beliau dan tenteranya.


Salah satu daripada 12 kuasa tersebut ialah kuasa pengorbanan.Jika kita menyusuri sejarah kehidupan seharian Al-Fateh,kita akan dapati banyak pengorbanan dari sudut tenaga,masa,harta bahkan nyawa yang telah ditonjolkan oleh beliau.Antaranya ialah masa tidur beliau.Menurut kajian sejarah,sepanjang malam beliau menghabiskan masanya dengan memikirkan strategi-strategi untuk menembusi tembok Konstantinople yang cukup tebal.Pengorbanan yang cukup hebat ini menyebabkan beliau sering kali tidak cukup tidur.Bukan itu sahaja,di sebelah malam juga,beliau tidak pernah tinggal ibadah Qiamullail.Bayangkan betapa sedikitnya masa yang beliau ambil untuk memejamkan matanya.

Alhamdulillah,sikap pengorbanan Al-Fateh pada hari ini telah menjadi ikutan oleh kebanyakan mahasiswa pada era ini.Maka tidak hairanlah kalau golongan mahasiswa-mahasiswi selalu mengantuk dalam kelas atau kuliah dengan alasan tidak cukup tidur.Pengorbanan waktu malam yang cukup hebat.Malangnya,walaupun terdapat persamaan antara pengorbanan mahasiswa pada hari ini dengan Al-Fateh,terdapat juga perbezaan yang sangat jelas dan ketara terhadap kedua-dua pengorbanan ini.

Mahasiswa pada masa kini gemar tidur lewat semata-mata untuk melakukan kerja yang KURANG berfaedah seperti melayan cerita-cerita,main permainan video,online dan sebagainya.Tambahan pula,ada yang sanggup menahan mata semata-mata untuk menonton perlawanan bola sepak dan sebagainya.Berbeza dengan Al-Fateh yang menahan matanya untuk memikirkan bagaimana hendak menembusi Kota Konstantinople.Bagi golongan yang suka menonton filem atau drama korea seperti Boys Over Flower,mungkin mereka sibuk memikirkan bagaimana kesudahannya kisah percintaan antara Gu Jun Pyo dengan Jan Di.Bagi golongan yang suka main permainan seperti Dota pula,mungkin selalu memikirkan bagaimana nak memastikan Krobelus atau mana-mana hero yang mereka pilih berjaya membunuh hero pihak lawan.Inilah golongan yang digelar Al-Fateh abad 21.

Pandangan peribadi saya mengatakan tidak salah untuk melakukan aktiviti-aktiviti tersebut tetapi berpada-padalah dan pastikan aktiviti tersebut dilakukan pada masa yang sesuai.Kalau tidak,nescaya akan menjejaskan pelbagai aspek dalam diri seorang mahasiswa.Saya pernah mempunyai rakan yang gemar melakukan tabiat ini,kesannya prestasi pelajarannya merosot pada semester kedua dan ketiga sedangkan pada semester yang pertama,pencapaiannya lebih baik daripada saya.

Suka juga untuk saya nasihatkan buat penggemar bola sepak di tengah malam buta,tak salah kalau nak tonton perlawanan tersebut tetapi jangan sampai Solat Subuh terlepas.Saya khuatir murka Allah menimpa kita kerana perkara yang wajib kita terlepas sedangkan perkara yang tak berapa penting mampu pula kita buat.Ramai yang mampu bangun di tengah malam untuk menonton bola sepak tetapi berapa ramai yang mampu bangkit untuk menitiskan air mata,beribadah kepada Allah walaupun hanya 2 rakaat Solat Tahajjud sahaja.Sebab itu,pakar motivasi ada menyatakan bahawa orang yang kuat bukanlah orang yang kuat dari sudut fizikal tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu bangun di tengah malam untuk beribadah.

Konklusinya,sama-samalah kita bermuhasabah semula peranan kita sebagai mahasiswa-mahasiswi Islam yang menjadi harapan ummah untuk mengembalikan ketamadunan Islam yang pernah bersinar suatu ketika dahulu.Masyarakat di luar sana amat merindukan sentuhan tarbiyah daripada kita tetapi seandainya beginilah sikap kita,pasti mereka akan kecewa kepada kita.Jadikanlah tanggungjawab mahasiswa sebagai platform untuk menyumbang kepada Islam.Ramai mahasiswa pada hari ini hanya belajar semata-mata untuk memenuhi tuntutan kehidupan manusiawi.Lepas belajar,dapat ijazah,kerja kemudian kahwin sedangkan konsep belajar dalam Islam bukan begitu.Islam mendidik umatnya supaya belajar kerana Allah untuk membangunkan Islam.Ayuh bangkit sahabat-sahabat,kitalah peneraju ketamadunan Islam pada masa akan datang !

0 comments:

Post a Comment