Luqmanul Hakim : Titik Tolak Ke arah Pemuda Harapan






"....Peribadimu Luqmanul Hakim,cermin suluh peribadi mukmin,kerana kepintaran dan kecerdikan kau disegani.."





Apabila terlintas sahaja lirik ini di fikiran,serta merta mengingatkan kembali kepada post yang lepas yang mana telah mengkritik sikap pemuda-pemudi Islam pada hari ini.Mungkin menjadi tanda tanya kepada para pembaca apa kaitannya kisah Luqmanul Hakim ni dengan pemuda?Jawapannya ada pada lirik di atas.




"....cermin suluh peribadi MUKMIN.."



Ya,inilah yang cuba penulis tekankan.Hasrat untuk menjadi seorang pemuda atau pemudi yang berguna bukanlah satu perkara yang mudah.Bahkan hal ini memerlukan suatu arus transformasi yang diperlukan untuk mengubah seluruh aspek dalam tindak tanduk diri kita sama ada aspek ibadah,akhlak dan lain-lain lagi.Ini sesuai dengan tuntutan Sambutan Maal Hijrah yang penulis rasa baru sahaja berlalu beberapa minggu lepas yang mana sambutan ini bukan sahaja mengajak kita memperingati sejarah hijrah Nabi SAW dan kaum Muhajirin tetapi turut juga menyeru kepada Muslimin dan Muslimat melakukan perubahan dalam kehidupan.


Begitulah juga perihalnya dengan pemuda-pemudi masa kini.Oleh itu,satu karakter yang penulis bawakan pada post kali ini yang mana penulis rasa boleh dijadikan contoh kepada kita untuk merealisasikan kuasa pemuda yang bakal menerajui perubahan pada masa akan datang.Kenapa Luqmanul Hakim?Kerana penulis rasa dia bukan seorang pemuda yang biasa.Masakan tidak,walaupun bukan seorang Rasul tetapi Allah mencatat kisahnya di dalam Al-Quran Al-Karim.Nak menunjukkan sudah pasti pemuda ini bukan calang-calang pemuda.Jadi mungkin sedikit perkongsian di bawah ini mampu membimbing kita untuk meneladani pemuda yang bernama Luqmanul Hakim ini.




NILAI murni seperti berbudi pekerti mulia sepatutnya menjadi amalan hidup masyarakat Islam. Tiada rugi jika seseorang itu berpekerti mulia.Ini bukan saja akan dipandang mulia, malah orang ramai akan menyukainya.




Dalam nada yang sama, Luqman Al-Hakim ada memberikan nasihat, katanya; “Hai anakku! Aku akan mewasiatkanmu dengan beberapa budi pekerti yang sekiranya engkau berpegang padanya, nescaya engkau akan sentiasa menjadi tuan.

“Tunjukkanlah akhlakmu yang baik kepada saudaramu, sekalipun orang jauh.

“Kawallah kejahilan dirimu daripada orang yang mulia mahupun keji.

“Jagalah sahabat-handaimu dan hubungkanlah silaturahim dengan mereka serta jauhkan mereka daripada menerima perkataan buruk atau mendengar kata-kata zalim yang bertujuan membinasakan dan mengkhianati dirimu.

“Dan hendaklah, sahabat-handaimu itu dari kalangan orang yang apabila engkau berpisah dengan mereka dan mereka berpisah denganmu, maka engkau tidak akan memalukan mereka dan mereka pula tidak akan memalukanmu.”

Katanya lagi; “Dan jauhilah engkau daripada bercakap bohong dan berakhlak buruk. Hal itu kerana barang siapa berbohong, lenyaplah air mukanya. Daripada buruk akhlaknya banyak dukacitanya.

“Mengangkat batu-batan dari tempatnya lebih mudah daripada memahamkan apa yang tidak difahami.”

Umat Islam juga hendaklah menjauhi sifat terkeji seperti kata Luqman “Sifat kedekut, buruk akhlak dan banyak meminta keperluan daripada manusia ada sebahagian daripada tanda orang bodoh.”

Apakah ujian Allah pada hamba-Nya yang salih? Ketika ditanya soalan itu, Luqman berkata; “Hai anakku! Sesungguhnya emas itu diuji dengan api. Sementara hamba yang salih diuji dengan bala bencana.

“Jika Allah menyukai sesuatu kaum, maka Dia akan menguji mereka dengan bala bencana.

“Oleh demikian, sesiapa yang diredai-Nya, maka dia akan mendapat keredaan-Nya dan sesiapa pula yang dimurkai-Nya, maka dia akan mendapat kemurkaan-Nya.”

Bercakap mengenai kematian pula, Luqman berkata kepada anaknya: “Hai anakku! Ada satu perkara yang engkau tidak ketahui bilakah ia akan datang menemuimu. Maka, bersedialah untuk menghadapinya sebelum ia datang mengejutkanmu.”

Jelas, kematian itu pasti, tetapi ketibaannya tiada siapa yang mengetahuinya melainkan Allah. Kta hendaklah menyiapkan diri dengan amal ibadat sebagai bekalan di akhirat ini.

Katanya lagi; “Hai anakku! Sekiranya engkau masih lagi ragu-ragu terhadap kematian, maka janganlah engkau tidur. Seperti engkau tidur, maka begitu juga engkau akan mati.

“Dan sekiranya engkau masih lagi ragu terhadap hari kebangkitan, maka janganlah engkau bangun (daripada tidurmu). Seperti engkau bangun daripada tidurmu, maka begitulah juga engkau akan dibangkitkan selepas kematianmu.”

Luqman juga memberikan nasihat berguna ketika menghadapi makanan, katanya; “Hai anakku! Apabila perutmu penuh kekenyangan, maka fikiranmu akan tertidur, kebijaksanaanmu menjadi bisu dan anggota tubuhmu menjadi tidak berdaya untuk melakukan ibadat.”













0 comments:

Post a Comment