8 RUKUN MAHASISWA OLEH REFORMIS MUDA
1.Faham
Selain
daripada tahu,faham merupakan salah satu perkara yang penting.Setiap mahasiswa
seharusnya tahu dan faham bahawa mereka mempunyai matlamat yang besar,peranan
yang cukup penting kepada generasi akan datang.Hal ini kerana mahasiswa adalah
antara golongan yang bukan sahaja bakal mewarisi segala-galanya daripada
generasi hari ini,tetapi juga akan diberikan kepercayaan lebih untuk
menguruskan perkara yang diwarisi itu.
Lantas,mahasiswa-mahasiswa
hari ini perlu jelas bahawa penglibatan mereka di kampus bukan untuk
suka-suka,bukan juga untuk menggenggam segulung ijazah sebelum berkahwin,tetapi
mereka diberikan amanah dan kelebihan Allah SWT kerana dapat menempatkan diri
mereka di mata masyarakat hari ini berbanding mereka yang tidak dapat menuntut
di kampus-kampus.Buktinya,fenomena yang berlaku di tanah air hari ini banyak yang melibatkan mahasiswa.Tidak cukup
dengan itu,slogan-slogan berkenaan mahasiswa juga sudah mula bergendang di
telinga masyarakat.Maka,memang wajarlah bahawa mahasiswa hari ini perlu sedar
bahawa mereka menggalas tanggungjawab dan harapan berjuta-juta rakyat di
sana.Platform mahasiswa tidak boleh dipandang sebagai satu kemegahan atau alat
untuk mencapai kemahuan diri tetapi perlu dipandang sebagai amanah Allah SWT
kepada masyarakat.
2.Kaji
Mahasiswa
pada hari ini terdedah dengan pelbagai perkara yang positif mahupun negatif.Budaya-budaya
kuning dan amalan jahiliyah moden telah lama meresap ke dalam jiwa anak muda
semenjak jarum-jarum sekularisme mencucuk sistem pentadbiran negara dahulu kala
lagi.Perisa-perisa ideologi dan pemikiran yang kian bertambah seperti
liberalisme,kapitalisme,sosialisme,pluralism juga menjadikan golongan ini
semakin parah.
Oleh
itu,mahasiswa pada hari ini perlu bertindak dengan bijak apabila terperangkap
dalam situasi sebegini.Tindakan yang bijak diduhului dengan proses mengkaji
terhadap sesuatu perkara dengan lebih mendalam.Oleh itu,seharusnya mahasiswa
hari ini bersyukur kerana mereka pada hari ini sangat terdedah dengan budaya
ilmu yang begitu pesat sekali di kampus-kampus.Program-program yang berbentuk
ilmiah seperti ceramah,forum,wacana,debat,dan diskusi merupakan wahana yang
mampu menyampaikan maklumat kepada mereka.Maka,kesedaran terhadap peluang ini
perlu diketahui oleh golongan mahasiswa.Jika mahasiswa hari ini mudah
terikut-ikut,menerima maklumat tanpa mengkaji perkara tersebut,maka akan
pincanglah gelaran mahasiswa pada dirinya.Mahasiswa hari ini seharusnya lebih takut
dengan kebodohan dan ceteknya ilmu sendiri berbanding takut dilabel sebagai
fikrah bercelaru apabila tidak mengikut
apa yang ramai orang lakukan.Firman Allah SWT :
"Dan janganlah engkau mengikut apa yang engkau tidak mempunyai pengetahuan mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu tetap akan ditanya (dan dipertanggunjgjawabkan ) tentang apa yang dilakukannya." (Al-Israa' 17:36)
3.Intelek
Kerana
bergelar mahasiswa,maka setiap tindakannya perlulah bersifat intelek walaupun
dalam proses untuk menentang perkara tersebut.Elemen intelek tidak dapat
dipisahkan daripada mahasiswa kerana golongan inilah yang telah terdedah dengan
pelbagai pertembungan idea,pendapat dan ilmu.Maka,tidak dapat dinafikan mereka
juga harus menghadapi perkara tersebut dengan cerdik dan bijak.
Inilah yang
menjadi titik perbezaan seseorang yang berilmu ataupun tidak.Ilmu hanya akan
berperanan bila mana ia digunakan dan dimanifestasikan dalam
kehidupan.Masyarakat hari ini mudah menilai seseorang melalui bagaimana dia bercakap,bergaul,membuat
keputusan dan sebagainya.Maka,penilaian tersebut haruslah tertarik kearah
intelek sekiranya diri itu bergelar seorang mahasiswa.Sekiranya ilmu dipandang
pada keputusan peperiksaan,maka ia adalah satu kesilapan yang besar dan satu kerancuan
yang perlu dijernihkan semula.
4.Amal
Amal di sini bermaksud membenarkan apa yang
dikatakan,apa yang dipelajari melalui tindakan.Masyarakat hari ini sudah banyak
melahirkan generasi yang hebat berbicara,gagah berpidato,tangkas berhujah tetapi sangat sedikit di antara mereka yang
bergelar “Amilin”(mereka yang beramal).Kesannya,lahirlah satu generasi yang
menerokai lautan ilmu hanya semata-mata untuk menonjolkan kehebatannya
berbicara di khalyak ramai.Lantas,istilah “ Mahasiswa Retorik” bukan satu istilah
yang begitu asing lagi dalam masyarakat.Perkara ini juga akhirnya merugikan
masyarakat dek kerana keliru mereka yang bagaimana yang layak dan sesuai untuk
mentadbir masyarakat.
5.Ikhlas
Setiap
mahasiswa mestilah mengharapkan keredhaan Allah daripada semua perkataan ,
perbuatan , dan jihadnya dengan tidak
mengharapkan keuntungan,pandangan,kemegahan atau gelaran.Dengan itu,golongan
mahasiswa akan menjadi golongan yang memberikan manfaat bukan mengambil manfaat.Rasulullah
SAW bersabda :
“Sebaik-baik
manusia ialah mereka yang memberi manfaat kepada manusia yang lain” Hadits
dihasankan oleh al-Albani di dalam Shahihul Jami’ (no. 3289).
6.Jiwa
Berkorban
Menggalas
tanggungjawab sebagai seorang mahasiswa,sudah semestinya menuntut semangat
berkorban yang tidak putus-putus.Bagaimana seseorang itu mampu memberi manfaat
kepada masyarakat tanpa ada jiwa berkorban.Berkorban di sini membawa
maksud,kamu terpaksa melepaskan apa yang kamu sayangi dalam keadaan yang begitu
berat sekali.
Berkorban
tidak sama ertinya dengan sumbangan.Sebagai sebuah analogi,seseorang yang
mempunyai RM10 memberi sedekah kepada pengemis dengan rasa senang hati kerana
masih mempunyai harta yang lain tetapi bagi mereka yang berkorban,pasti akan
bersedekah dalam keadaan yang berat kerana baginya RM10 tersebut merupakan
keperluan baginya untuk hal-hal diri yang lain.
Berkorban
bukan bermaksud kamu mengeluarkan harta sahaja,tetapi pengorbanan juga mendahagakan
masa,tenaga,jiwa,dan nyawa kamu.Maka dengan itu,wajib bagi seorang mahasiswa
mengetahui perkara yang lebih utama dan perlu didahulukan dalam setiap perkara
agar setiap curahan masa dan tenaga tidak disalahgunakan kepada perkara-perkara
yang tidak bermanfaat,apatah lagi yang merugikan diri sendiri.Kerana itu,fiqh
muazzanat dan aulawiyyat sangat diperlukan bagi mereka yang bergelar mahasiswa.
7.Mengubah
Setiap
mahasiswa harus mempunyai kesedaran untuk mengubah dan platform mahasiswa
merupakan salah satu platform yang amat baik untuk laksanakan hal ini.Kita
sedia maklum bahawa keadaan masyarakat hari ini begitu tenat sekali.Kehancuran
ketamadunan bangsa dan agama berlaku sedikit demi sedikit secara
perlahan-lahan.Ketamadunan manusia suatu ketika dahulu pernah mencapai
kemuncaknya di saat Islam memerintah dunia.
Lantaran
daripada peristiwa kejatuhan Turki Uthmaniyah pada tahun 1924,umat Islam
seakan-akan telah menagalami mimpi yang begitu buruk dan ngeri.Umat yang pernah
dijulang suatu ketika dahulu, kini diaib bukan kepalang .Ekoran peristiwa itu
jugalah,sampah-sampah jahiliyah telah dikitar semula dan digunapakai dalam system
kehidupan masyarakat hari ini.
Sebagai
mahasiswa,mereka perlu sedar bahawa merekalah golongan yang perlu mengubah hal
ini memandangkan mereka yang akan mewarisi dan menentukan corak pentadbiran negara
dan masyarakat kelak.Peranan mahasiswa begitu jelas dan penting sekali dalam
hal ini sehinggakan Imam Abul ‘Ala Al-Maududi menyatakan dalam risalahnya yang
berjudul “Peranan Pelajar”, “Hidup kita tidak akan kekal sebagai satu umat
Islam melainkan apabila kekalnya anak-anak muda kita yang sedang melalui
peringkat pembentukan dan persediaan di pusat-pusat pengajian dan pendidikan ”.
8.Aktualisasi
Aktualisasi
diri amat sukar dicapai.Maksud aktualisasi ialah sikap diri yang terbina kukuh
untuk berbuat sesuatu yang diyakini.Mahasiswa yang mencapai tahap ini tidak
akan berundur daripada melakukan apa-apa perkara yang difikirkannya
betul.Dengan adanya sifat ini dalam diri mahasiswa,maka mahasiswa yang akan
lahir bukanlah golongan mahasiswa yang mudah dijentik,diacah,digertak,diugut
dan sebagainya.
Walaubagaimanapun,setap
tindakan yang difikirkan haruslah melalui proses semak dan imbang yang mendalam
sebelum benar-benar ingin lakukannya.Mahasiswa yang memiliki sifat inilah
merupakan mereka yang sentiasa bersiap sedia menanti cabaran dan dugaan sama
ada dalam bentuk kesenangan mahupun kepayahan.
:: Kuasa Mahasiswa Memimpin Arus Perubahan ::