An-Nisa' : 58,bukan untuk pemimpin sahaja

1 comments

*Penulisan ini adalah hasil daripada kajian dan telaah yang tak sempat dihabiskan lagi,hanya dapat berkongsi sedikit sahaja,moga bermanfaat


۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦۤ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرً۬ا (٥٨)
Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya) dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat. (58)


Selalu kita dengar ayat ini dibacakan,boleh dikatakan ayat ini merupakan salah satu antara ayat-ayat yang popular yang mahir dihafal oleh para pemuda pejuang dakwah pada hari ini.Bahkan apabila tibanya sesuatu majlis pelantikan pucuk pimpinan yang baru bagi sesuatu organisasi (Annual Grand Meeting ),maka rata-ratanya ayat inilah yang selalu dibangkitkan oleh barisan pemimpin yang bakal bergelar mantan supaya pucuk pimpinan yang akan menggantikan mereka sentiasa peka dengan perkataan "Amanah".


Sahabat-sahabat sekalian,
Seandainya kalimah "amanat" dalam ayat ini kita pandang hanya sekadar untuk pemimpin sahaja,atau ayat ini hanya berkaitan dengan organisasi sahaja,maka kefahaman kita terhadap firman Allah ini kurang tepat kerana :


1. Ayat ini bukan untuk pemimpin sahaja
2.Maksud amanah dalam ayat ini begitu luas


Menurut Kitab Tafsir Fizilalil Quran karangan Imam Syahid Syed Qutb :
Makna amanah yang terkandung dalam ayat ini merujuk kepada amanah manusia kepada Tuhannya yakni Allah SWT.Dalam erti kata,segala apa yang Allah perintahkan untuk dilakukan dan dijauhkan,maka perlu kita lakukan.


Kemudian,daripada amanah manusia kepada Allah,ia berpecah kepada amanah manusia terhadap diri sendiri.Amanah terhadap diri sendiri bermaksud,kita kena laksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala laranganNya melalui diri kita terlebih dahulu.Hal ini lebih kepada membenarkan apa yang terkandung dalam Islam  melalui kehidupan seharian kita.


Seterusnya,berpecah pula kepada amanah manusia terhadap masyarakat.Amanah terhadap masyarakat pula bermaksud kita sebarkan pula Islam yang kita amalkan kepada masyarakat sekeliling sama ada melalui lisan atau menunjukkan contoh yang baik.Proses ini lebih dikenali sebagai dakwah.


Konklusinya,maksud amanah yang ditafsirkan oleh Imam Syahid Syed Qutb ialah amanah manusia dengan Allah SWT yang mana perlu diterjemahkan melalui diri sendiri lalu disampaikan kepada masyarakat sekeliling. 

Berdasarkan pengulasan yang ringkas sebentar tadi,boleh dikatakan amanah tersebut menjadi tanggungjawab kepada semua manusia,tiada pun Imam menyebutkan amanah tersebut hanya berkenaan dengan pemimpin sahaja.Sekalipun ada kajian lain yang mengatakan ayat ini untuk pemimpin,maka taklifat ini masih terletak ke atas semua orang.Hadith ada menyebutkan :

Setiap dari kamu adalah pemimpin....

إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِ

Seterusnya berkaitan dengan ayat ini,tafsir Fizilalil Quran menyebut bahawa kalimah  "نِعِمَّا" dalam ayat ini bermaksud ke'sangat'an Allah dalam memberikan pengajaran.Ayat ini bermakna,sebenarnya bukan Allah sekadar nak memberikan pengajaran tetapi sebaliknya sebagai satu perintah kepada manusia.
Wallahua'lam.


Di Tasik Ini......

0 comments

Di tasik ini....
Tempat pertama aku pandang ketika hari temuduga
Ku rasakan tempat ini sungguh tenang
Ketenangannya ibarat syurga di dunia ketika itu
Lalu ke berdoa..
"Ya Rabb,seandainya ini tempat terbaik untukku selepas ini,maka Kau tempatkanlah aku di sini"

Di tasik ini....
Pelbagai cerita suka dan duka terpendam di dasarnya
Aku teringat ketika aku hampir dipisahkan dengan tasik ini,
Lalu aku menangis,
Dan aku luahkan segala perasaan aku kepadanya
Di saat teman sedang bersuka ria di sungai
Aku keseorangan bersama tasik ini
Sambil menuturkan kalam-kalam Allah yang telah aku abaikan selama ini
Duduk keseorangan sambil menitiskan air mata
Lalu jatuh bercampur dengan air tasik
Hanya tasik dan Allah sahaja yang tahu berapa titis yang telah bercampur

Di tasik ini.....
Tempat aku mengadu segala masalah aku
Di saat teman-temanku tidak memahami aku
Dialah menjadi tempat untuk aku bermunajat kepadaNya
Sungguh setia mendengar rintihan dan keluhan aku
Di saat aku futur
Ku rasakan seolah-olah segala masalah aku hilang apabila ku tenung tasik itu

Di tasik ini juga...
Menyaksikan kegembiraan aku bersama teman-teman
Memperdengarkan hafazan di hadapan murabbi tercinta
Riang,ketawa,celoteh semuanya disakasikan oleh tasik ini
Tasik ini jugalah menjadi saksi persahabatan antara kami semua

Di tasik ini...
Aku ditarbiyah bersama adik-beradik usrahku
Dipimpin oleh naqib yang sentiasa memberikan komitmen
Dialah juga menjadi tempat untuk menyatukan hati-hati kami semula
Di saat ukhuwah antara kami diuji
Aku berkata dalam hati
"Seandainya tasik ini boleh dibawa ke mana-mana,nescaya akan ku usung sehingga akhir hayat"
Supaya dia menjadi penghubung semula di saat ukhuwah kami diuji

Namun sayangnya...
Aku baru sedar bahawa Dialah Tuhan Yang Agung
Tuhan yang mencipta tasik itu
Tuhan yang memiliki tasik itu
Tuhan yang mencampakkan ketenangan kepadanya
Segala-galanya akan kembali kepadaNya
Masa terus berlalu
Aku terpaksa meninggalkan tasik itu
Walaupun berat dan hiba membasahi hatiku
Tapi tasik itu tetap setia di situ
Supaya dia dapat menjadi saksi terhadap Huffaz yang lahir di situ

Di tasik itu..cerita sedih gembira ku
Di tasik itu...cerita suka dan duka ku
Di tasik itu...segala-galanya buatku
Dan di tasik itu juga,..bukti cintaNya kepadaku.. 


:: Darul Quran Dalam Kenangan , Program Pensijilan Tahfiz DQ-UIAM 11/12 ::

Kepimpinan Lembu : Satu Kajian

0 comments

Bermulanya saya berkecimpung dalam dunia penternakan lembu ialah pada  tahun 2011 iaitu semasa saya masih menuntut di bumi barakah Darul Quran.Apabila tiba waktu cuti,saya akan pulang ke kampung untuk membantu ayah saya dalam menguruskan lembu-lembu tersebut.Alhamdulillah,saya masih ingat lagi bagaimana ayah saya memulakan bidang ini.Ketika itu,ayah saya mulakan dengan bilangan sedikit sahaja iaitu dalam 7 atau 8 ekor sahaja dan dalam masa yang sama sebuah kandang pun tidak dibina lagi dan ayah saya tidak mempunyai nama lagi dalam bidang ini.Beberapa bulan kemudian,hasil bantuan rakan-rakan ayah saya serta dengan izin Allah S.W.T,hari ini ayah saya berjaya mengembangkan lagi bidang sampingannya ini.Bilangan lembu semakin bertambah dalam 50 ekor,dan sebuah kandang sudah dibina.

Pada mulanya,saya amat membenci untuk menjaga lembu-lembu ini.Masakan tidak,seorang mahasiswa yang selama ini hanya belajar di dalam kelas,tak pernah bergelumang dengan tahi lembu sudah tentu tidak biasa dengan situasi ini.Tambahan pula,seandainya lembu-lembu tersebut buat hal (marah),lagilah parah dibuatnya.Namun,Alhamdulillah setelah sekian lama membantu ayah saya di kandang,banyak perkara yang saya belajar tentang lembu seperti  jenis lembu,cara ikatan tali,cara menjinakkan lembu dan sebagainya.Bagi saya,amat bertuah untuk berkecimpung dalam bidang ini seawal usia yang muda.

Dan antara perkara yang saya belajar ialah bagaimana cara kita nak memindahkan lembu-lembu daripada ladang ke kandang.Untuk pengetahuan pembaca,lembu-lembu kami tidak diberi makan dedak tetapi diberi makan rumput-rumput yang terdapat di tanah terbiar sekitar kampung kami.Dan kebiasaannya,jarak antara tanah terbiar dengan kandang boleh dikatakan jauh.Ladang dijadikan tempat makan dan menambat lembu manakala kandang dijadikan tempat untuk menguruskan lembu seperti memberi rawatan,menukar tali,menjual dan sebagainya.

Bayangkan dalam sebuah tanah terbiar terdapat kesemua ekor lembu.Bagi orang yang tidak membiasakan diri dengan lembu sudah pasti akan melepaskan ikatan lembu daripada tambatan kemudian menariknya seekor demi seekor ke kandang.Tiada masalah pun sekiranya nak berbuat demikian tetapi ada cara yang lebih mudah lagi iaitu dengan melepaskan ikatan kesemua lembu daripada tambatan terlebih dahulu,kemudian kita cuma perlu menarik seekor sahaja ke kandang nescaya lembu-lembu lain akan mengikuti lembu yang ditarik tersebut.Sangat mudah.Usah risau, lembu-lembu yang dilepaskan tadi tidak akan lari daripada ladang tadi.Resmi lembu,mereka hidup berkawan.Mereka hidup dalam kelompok kumpulan.Mereka takkan hidup bersendirian.

Lama-kelamaan,saya terasa yang ada sesuatu Allah ilhamkan kepada saya untuk mengambil ibrah daripada kisah lembu tadi.Subhanallah,tidaklah Allah menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia.Firman Allah S.W.T dalam surah Al-Baqarah,ayat 26,mafhumnya :

“…..Sesungguhnya Allah tidak segan membuat perumpamaan seekor nyamuk atau yang lebih kecil dari itu.Adapun orang-orang yang beriman,mereka tahu bahawa itu kebenaran daripada Tuhan.Tetapi mereka yang kafir berkata,’Apa maksud Allah dengan perumpamaan ini ? ‘Dengan (perumpaan ) itu banyak orang yang dibiarkanNya sesat dan dengan itu banyak pula orang yang diberikan petunjuk.Tetapi tidak ada yang Dia sesatkan dengan perumpamaan itu selain orang-orang fasik…..”

Sudah terang lagi bersuluh Allah mengatakan bahawa Dia tidak segan untuk menjadikan nyamuk yang kecil itu sebagai perumpamaan,apatah lagi sebesar lembu.

Lembu-lembu akan mengikut mana-mana sahaja lembu yang ditarik ke kandang.Tak kisahlah lembu yang ditarik itu warna apa sekalipun,hitam atau putih sekalipun,lembu-lembu lain tetap akan mengikuti dari belakangnya juga.Begitu juga dengan jenis lembu,sama ada lembu tu lembu KK(Kedah-Kelantan) atau Bahman(saya tak pasti sama ada bahman atau brahman namanya),selagi mana lembu itu ditarik,yang lain tetap akan mengikutinya.Walaupun yang di belakang lembu itu,mungkin ada lembu-lembu yang lebih hebat,besar,atau cantik,mereka tetap mengikut dari belakang.Tidak akan cuba memintas lembu yang berada di hadapan.

Alangkah malunya manusia pada hari ini jika nak dibandingkan dengan lembu.Kegagalan dalam memahami konsep wala’ dalam kepimpinan menjadikan sesuatu organisasi atau persatuan pincang.Berapa ramai kita lihat pada hari ini,orang-orang yang selalu mengingkari arahan ketua mereka.Terlalu ramai.Bahkan ada juga yang melebihkan diri atau menunjuk pandainya daripada ketua sehinggakan membuat keputusan tanpa persetujuan ketua mereka.

Sahabat-sahabat sekalian,
Sehebat mana pun kita,kita kena faham bahawa apa-apa sekali pun kita perlu merujuk atau memberitahu segala perkara kepada ketua kita.Tidak kisahlah ketua kita tersebut macam mana rupanya,saiz badannya,kepintarannya,selagi mana dia seorang ketua,maka wajib kita memberi ketaatan kepada dia.Hal ini kerana ketaatan itu bukan kelebihan atau keistimewaan seorang pemimpin tetapi merupakan hak yang sepatutnya pemimpin itu dapat daripada ahli organisasi.

Hari ini saya lihat kita asyik berbicara mengenai pemimpin sahaja,ciri-ciri pemimpin berkesan,macam mana nak memimpin,hak dan tanggungjawab pemimpin,segalanya tentang pemimpin.Sehinggakan kalau pemimpin itu membuat sesuatu kesalahan,terus dikecam dan dicemuh seolah-olah tiada ruang kemaafan untuk golongan pemimpin ini.Lihat sahaja bahan-bahan bacaan pada hari ini,boleh dikatakan semuanya hanya menyentuh tentang pemimpin sahaja.Tetapi saya mahu bertanya,berapa banyak buku-buku yang menyentuh tentang tanggungjawab orang yang dipimpin kepada pemimpin.Berapa ramai antara kita hari ini yang berbicara tentang kesedaran terhadap tanggungjawab yang wajib ditunaikan oleh orang yang dipimpin kepada pemimpin mereka.Terlalu sedikit.Kita sering memandang kesalahan pemimpin tetapi jarang sekali memandang kesalahan pengikut.

Inilah antara penyumbang kepada kepincangan yang berlaku dalam kepimpinan pada hari ini.Kegagalan dalam memahami konsep wala’,tanggungjawab,hak dan adab kepada pemimpin menjadikan pengikut merasakan mereka sahaja betul dan baik.Suci tanpa sebarang dosa pada mereka.

Kesimpulannya,saya mengharapkan sama-sama kita bermuhasabah kembali dalam diri kita.Sekiranya kita antara orang yang melupakan perkara ini,maka eloklah kita mengubah semula persepsi kita dalam dunia kepimpinan.Lembu yang tiada akal fikiran mampu membuatnya,mengapa manusia pada hari ini perlu mengikut kesombongan dan ego dalam diri dengan cara menafikan hak seorang pemimpin ? Kita ada akal tetapi tidak mahu menggunakannya.Allah berfirman dalam surah Al’A’raf pada ayat 179 mafhumnya :

“…Dan sungguh,akan kami isi neraka jahanam dari kalangan jin dan manusia.Mereka memiliki hati tetapi tidak mahu menggunakannya untuk memahami ( ayat-ayat Allah ) dan mereka memiliki mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah),dan mereka mempunyai telinga tetapi tidak dipergunakannya untuk mendengarkan (Ayat-ayat Allah).MEREKA SEPERTI HAIWAN TERNAK,BAHKAN MEREKA LEBIH SESAT LAGI.Mereka itulah orang – orang yang lengah….”

Benarlah firman Allah S.W.T bahawa golongan seperti ini lebih teruk daripada haiwan.Lihat sahaja dalam kes tadi,lembu mampu membuatnya tetapi kita tak mampu nak membuatnya.Sangat memalukan.Sekadar muhasabah,sekian…Wallahua’lam…..