Untungnya jadi dia...aku ni apa ada

1 comments
Bismillahrrahmanirrahim,kalam dimulakan

Suka untuk saya mulakan dengan 2 kisah tersebut :

Kisah Pertama:
Terdapat seorang manusia namanya Ahmad.Ahmad merupakan salah seorang pelajar yang boleh dikatakan 'top' dalam kelasnya.Markah yang diperoleh setiap kali ujian dalam kelasnya membuktikan bahawa dia mampu menjadi pelajar terbaik bagi kelas tersebut.Setiap kali markah ujian keluar sahaja,antara yang dapat markah tinggi pasti dirinya.Memang terbukti,sudah terang lagi bersuluh,Ahmad berjaya mendapat markah tertinggi semasa peperiksaan pertengahan semester.Memang tak dapat disangkal lagi kepandaiannya.Beberapa minggu sebelum peperiksaan akhir semester,Ahmad berasakan dirinya sekali lagi mampu mencetuskan rekod tertinggi kelas itu.Sangat yakin melebihi 100%.Berbekalkan ilmu yang telah diulangkaji olehnya,dia benar-benar yakin.Hatta,dia berasa puas hati setelah peperiksaan akhir semester kerana berasakan dirinya telah menjawab dengan begitu baik sekali.Apabila keputusan peperiksaan keluar,ada pelajar lain berada kedudukan di atasnya.Bukan seorang,malah 2-3 orang.Kesian kat Ahmad...ramalannya telah salah..

Kisah kedua :
Seorang pelajar juga namanya Ahmad.Ahmad pernah mendapat surat diberhentikan daripada institusi pengajiannya kerana gagal dalam peperiksaan semester.Pointernya betul-betul sedikit iaitu 1.69.Tidak seperti rakan-rakannya yang dapat 4.0,3.75 dan sebagainya.Namun,dengan peluang yang diberikan oleh pensyarah di situ,pengajian si Ahmad diteruskan sehingga ke semester seterusnya.Alhamdulillah kali ini,Ahmad mendapat pointer sebanyak 3.81 dan berjaya menewaskan rakan-rakannya yang pernah mendapat pointer tinggi dahulu.Ahmad rasa sangat gembira.

Semasa menghitung hari untuk peperiksaan semester yang berikutnya,Ahmad dapati ramai kawan-kawan dia tak mengulangkaji pelajaran.Dalam hati Ahmad,"habislah korang exam nanti".Lepas sahaja peperiksaan bagi kertas lisan tamat,Ahmad sangat terkejut bila mana dia dapati kawan-kawan yang  belajar sambil lewa sebelum ini mampu dapat menjawab dengan baik,dapat soalan senang,dan pensyarah bertolak ansur kepada mereka.Lalu si Ahmad ini betul-betul tak puas hati.Dia kemudiannya meluahkan perasaannya kepada kawannya yang bernama Abdul.Katanya"aku betul-betul tak puas hati.Aku yang punyelah study gila bagai nak rak.Diorang yang study sambil lewa boleh pula dapat soalan-soalan senang"..Lalu Abdul pun berkata,"  sabar...itulah namanya .. REZEKI ...."

_____________________________________________________________________

Dalam kehidupan manusia,menjadi satu perkara normal bila kita melihat orang lain ada sesuatu yang kita tak ada.Begitu juga dalam situasi sebaliknya,orang lain turut juga rasa cemburu dengan apa yang kita ada dan pusingan ( cycle ) ini akan terus berlaku.

Sama juga halnya apabila ditimpa musibah,kadang-kala mudah benar kita berkata dalam hati kita , " Ya Allah,kenapalah Engkau uji aku sebegini ? apa salah aku ? apa dosa aku ? ".Apabila kita melihat orang lain yang tidak ditimpa musibah , ungkapan dalam hati kita yang sebentar tadi tiba-tiba bertambah , " kan best jadi dia ni,hidup perfect,happy,senang,kaya,pandai dan macam - macam lagi "

Sesungguhnya Allah SWT itu maha adil.Ketahuilah bahawa persepsi seperti di atas merupakan persepsi yang salah.Bahkan berani saya mengatakan bahawa apabila terdetiknya kata-kata tersebut dalam hati kita seakan-akan kita sedang mempertikaikan sifat Allah SWT itu sebagai Tuhan yang maha adil,Tuhan yang menurunkan rezeki,begitu juga dengan ujian.

Sebenarnya setiap manusia itu diuji oleh Allah SWT cuma berlainan bentuk ujiannya.Seperti mana firman Allah SWT dalam Surah Al-Baqarah ayat 155,mafhumnya :

" Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan,kelaparan,kekurangan harta,jiwa,dan buah-buahan.Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar "

Ada di antara kita diuji dengan harta kekayaan,sebaliknya ada juga yang diuji dengan kemiskinan.Ada di antara kita yang diuji dengan penyakit,sebaliknya dengan kesihatan.Lihat ! memang terbukti bahawa setiap manusia itu akan diuji cumanya dalam situasi yang berbeza.Mungkin pada pandangan orang yang sakit,mereka berasakan mereka itu yang sedang diuji manakala yang sihat itu gembira tetapi sebenarnya dalam keadaan sihat juga Allah sedang menguji kita sama ada kita bersyukur atau tidak dengan nikmat kesihatan itu.Untuk apa kita gunakan nikmat kesihatan tersebut,untuk ibadah ? kalau begitu Alhamdulillah tetapi kalau untuk maksiat Naudzubillah..

Dalam soal pembahagian rezeki,yakinlah dan percayalah bahawa Allah telah memberikan rezeki seadil-adilnya kepada hamba-hambaNya.Ada di antara kita pendapatan tidak seberapa tetapi masih mampu untuk terus bernafas di muka bumiNya ini.Sebaliknya,ramai juga yang pendapatan tinggi tetapi di samping itu,tanggungan mereka ramai,hutang keliling pinggang,maka wajarlah kalau pendapatannya tinggi supaya manusia tersebut mampu menyelesaikan urusan atau tanggungjawabnya di dunia.Adil itu bermaksud meletakkan sesuatu pada tempatnya,maka terbuktilah bahawa Allah itu maha adil
kerana Dia memberikan nikmatNya secukup-cukupnya untuk hambanya , tidak berlebihan dan tidak berkurangan.Begitu juga dengan orang kaya,bukan semua harta adalah miliknya,harta yang ada padanya itu juga untuk orang miskin.Menjadi satu kewajipan baginya untuk membantu saudara-saudara yang miskin.

Inilah perkara yang selalu kita salah sangka kepada Allah SWT.Kalau perkara ini tidak dicantas awal-awal,maka jangan hairan aqidah kita boleh tergadai suatu hari nanti.Hamka pernah berkata :

" Lihatlah bagaimana Allah membahagikan nikmatNya "

Cukup adil.Sebab itu perlunya kita sentiasa berada dalam keadaan bersyukur,redha dan bersangka baik dengan ketentuan Allah SWT.Andaikata sesuatu kebaikan itu kita tidak dapat,maka anggaplah itu bukan rezeki kita dan jangan risau tentang soal rezeki kerana Allah SWT telah mengaturkannya untuk kita dengan syarat kita sentiasa berusaha mencarinya.Mungkin hari ini saya menuntut dalam bidang Farmasi di universiti tetapi belum tentu saya ada rezeki untuk menjadi seorang Pharmacist,boleh sahaja Allah telah menjadikan penternak lembu sebagai rezeki tetap saya.Semua itu kerja Allah SWT,maka berserahlah dan berusahalah.WallahuA'lam..saya amat galakkan sahabat-sahabat semua untuk membuka link tersebut :

http://www.youtube.com/watch?v=ei1a203c2mM

Semoga post kali ini bermanfaat buat kalian.....  ^^


















Segumpal Darah

0 comments
Bismillahirrahmanirrahim..

Hati merupakan salah satu organ yang begitu penting kepada manusia.Selain  fungsinya daripada sudut sains,tidak dapat dinafikan bahawa hati juga ada sumbangannya dalam dunia sastera,maka lahirlah beberapa kata-kata yang berteraskan hati seperti,"ada hati","makan hati","hati-hati" dan sebagainya.Hebatkan makhluk yang bernama hati ini ?

Bukan itu sahaja,bahkan hati ini juga ada disebut dalam Al-Quran melalui firman Allah,Surah As-Sajadah ayat 9,mafhumnya :

"Kemudian Dia menyempurnakannya dan meniupkan roh ciptaanNya ke dalam tubuhnya dan Dia menjadikan pendengaran , penglihatan dan HATI bagimu, tetapi sedikit sekali kamu bersyukur"

Juga dalam hadith Rasulullah SAW yang berbunyi :

"Ingatlah bahawa dalam tubuh sesungguhnya ada segumpal daging,apabila ia baik maka baiklah seluruh anggota badan,dan apabila ia buruk maka buruklah seluruh tubuh,ingatlah ia adalah HATI"

Bukan calang-calang benda atau sesuatu sekiranya disebutkan dalam Al-Quran,pasti mengandung seberapa banyak hikmah yang perlu difikirkan  untuk diambil ibrah,pengajaran,kajian dan yang penting untuk taqarrub kepada Allah SWT atas ciptaanNya yang begitu hebat.

Begitu juga dengan lalat,juga disebut dalam Al-Quran.Kalaulah kita fikir dengan mata akal,mesti kita kata "buat apalah ada lalat kat atas muka bumi ni ? menyibuk je..dah lah tak membawa manfaat" Tetapi kalau kita berfikir menggunakan mata hati,kita akan sedar betapa pentingnya lalat kepada manusia.Tanpa lalat,manusia tak dapat nak tahu sama ada sesuatu tempat itu atau benda serta makanan kotor atau tidak,maka lalat lah yang menjadi indikator kepada manusia.Allahurobbi,Subhanallah,sekecil-kecil lalat pun ada hikmahnya.Allah sendiri ada menyebut dalam Surah Ali-Imran,ayat 191 :

"yaitu orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri,duduk atau dalam keadaan berbaring,dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi seraya berkata Ya Tuhan kami,tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia,Mahasuci Engkau,lindungilah kami dari azab neraka"

Oleh itu,marilah sama-sama kita merenung tentang makhluk Allah yang juga disebutkan dalam Al-Quran bernama hati.

Sebelum itu,suka untuk saya memetik kata-kata Yahya Bin Muadz r.a katanya :

"Seandainya hati dapat mengetahui adanya cinta ini kepada khaliqnya,maka terlepaslah semua sendi-sendinya kerana tergila-gila kepadaNya dan nescaya akan terbanglah roh ini dari badannya kerana terkejut ingin menghadap kepadaNya"

Hati ibarat sebuah kerajaan yang mengatur dan mentadbir sesebuah negara dan anggaplah seluruh badan manusia itu sebagai sebuah negara.Andaikata kerajaan yang mentadbir itu ialah kerajaan yang bercorakkan kezaliman,diktator,kuku besi maka pincanglah pentadbiran di negara itu.

Pada hari ini,kita dapat lihat betapa banyaknya kefasadan dan kefasiqan yang telah berlaku atas muka bumi ini gara-gara tangan-tangan manusia yang memang tak ber"hati" perut langsung.Bilangan anak-anak yang lahir tak cukup usia,tak ada ibu,tak ada bapa meningkat dari hari ke hari.Kes-kes jenayah juga meningkat.Itu belum lagi kalau kita nak kira maksiat yang manusia lakukan sendirian,dosa-dosa kecil yang disedari mahupun tak disedari,lagilah banyak.Pokoknya,sebesar-besar dosa sehinggalah sekecil-kecil dosa yang tak ada hukuman daripada kerajaan atau undang-undang sekali pun seperti mengumpat,menipu,mencaci,semuanya berpunca daripada hati.

Apabila hati tidak mengenal Allah SWT sebagai penciptanya,maka segala perintah dan larangan dilanggar begitu sahaja.Tambah pula,apabila hati itu bukan sahaja tidak memerintah dengan baik tetapi juga menjemput kerajaan luar iaitu NAFSU untuk sama-sama membantu pentadbiran negara tersebut.Jawapannya,makin hancurlah pentadbiran negara tersebut.

Tetapi cuba kita lihat andaikata hati ini mengenal penciptaNya.Betapa indahnya sehinggakan Yahya Bin Mua'dz menggambarkan bahawa akan terlepas semua sendi dalam badan kita.Tidak cukup dengan itu,roh kita akan terbang kerana terlalu ingin berjumpa dengan Allah SWT.Ini cuma gambaran,bukanlah Yahya Bin Mua'dz maksudkan bila hati kita kenal Allah,roh kita terus keluar,lepas tu kita semua mati.Beliau cuma nak tunjukkan betapa hebatnya kesan kepada hati bila dia menjadikan Allah SWT sebagai pusat atau tumpuannya.

Sebab itu,orang yang menjaga hatinya daripada mentadbir dengan buruk,mereka akan selalu mendekatkan diri kepada Allah SWT.Tutur mereka sopan,tingkah lakunya dijaga,maksiat juga dihindari sama  ada orang nampak atau pun tidak kerana hati percaya bahawa Allah SWT sentiasa memerhatikannya.

Banyak cara untuk menjaga hati,antaranya seperti yang termaktub dalam lagu Opick yang selalu budak-budak menyanyi.Ibrahim Al-Khawas RA menyebut ada 5 perkara iaitu :

1) Bacalah Al-Quran dengan menghayati kandungannya
2) Mengosongkan perut daripada kenyang atau berpuasa
3) Bangun beribadah pada waktu malam
4) Menghampirkan (beribadah) kepada Allah sepertiga malam
5) Sentiasa bersama dalam majlis orang-orang soleh

Dan antara buku yang saya cadangkan untuk dibaca ialah :

 Menyucikan Qalbu dan  La Tahzan karya Dr 'Aidh Bin Abdullah Al-Qarni





Musafir Maza Yakni : Pastikan Ia Ikatan Rabbani

0 comments
"....Ukhuwah yang terbina persis sekuntum bunga meskipun kini kita terpisah demi kasih-Nya.Namun,cebisan kenangan kita sentiasa bermain di bayangan mata.Detik waktu yang berlalu,menjadi memori kau dan aku...."

Begitulah bunyinya bait-bait lagu yang dialunkan oleh Akh Ammar berjudul  Cebisan Kenangan.Menghayati lirik yang dua tiga baris ini sahaja sudah cukup untuk kita tahu apa yang sedang cuba diperkatakan dan digambarkan kepada pendengar.Ya,jawapannya ialah ukhuwah.

Biasa kan dengar perkataan "ukhuwah" ?

Apabila ditanya kepada orang ramai apa itu ukhuwah,macam-macam jawapan yang keluar dari mulut masing-masing.

Ada orang kata ukhuwah itu ibarat tali yang terikat antara dua batang kayu.Apabila dua kayu itu rapat,ia kendur manakala apabila berjauhan tali itu tegang.Tak kurang juga ada yang menyifatkan ukhuwah itu umpama badan,apabila salah satu anggota mengalami kesakitan,maka seluruh badan akan merasainya.Dan banyak lagi perumpamaan dan kefahaman yang keluar dari mulut masing-masing.



Ada orang apabila disebut sahaja ukhuwah,yang terlintas di fikirannya ialah makan bersuap dalam satu talam,main futsal sama-sama,mandi sungai sama-sama dan macam-macam lagi.

Salah ke kalau ukhuwah digambarkan sedemikian rupa ???

Tak salah...cuma....
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Buku Maza Yakni Intimai Lil Islam karangan Syeikh Fathi Yakan,buku ini sudah dibelek-belek sejak tingkatan 1 lagi semasa menuntut di sekolah menengah tetapi langsung tak tahu apa yang seronoknya tentang buku tersebut.Apabila naik tingkatan 4,dilantik menjadi naqib dan diarahkan menggunakan buku tersebut sebagai silibus usrah.Langsung tak tahu nak guna macam mana dan macam mana nak sampaikan kepada anak usrah.Baca banyak kali,sampai sahaja page ke-3 mesti mata ini mengantuk kerana corak penulisan buku tersebut yang berat.Akhirnya,naqib tak dapat apa-apa,anak usrah lagilah tak dapat apa-apa.Maka,lahirlah usrah yang merapu.

Semasa tingkatan 5 pula,sekali lagi dilantik menjadi naqib.Bukan sekadar naqib sahaja,bahkan ketua nuqaba sekolah.Pening kepala nak buat apa ketika itu.Waktu itu,otak ligat mencari penyelesaian bagaimana buku Maza Yakni Intimai Lil Islam itu mampu dijadikan silibus usrah sedangkan diri sendiri pun langsung tak dapat nak hadam buku tersebut.Akhirnya,pertemuan saya dengan Akh Marwan Bukhari pada tahun 2010 menyelesaikan segala kekusutan yang bersarang di kotak pemikiran.Satu silibus yang ringan,mudah,ringkas dan padat berjudul "Al-Qiadah Islamiyyah "disusun berdasarkan kesesuaian pelajar sekolah menengah dan akhirnya digunapakai oleh usrah saya pada waktu itu.

Seminggu selepas mengambil peperiksaan SPM,terus memasuki kehidupan baru di bumi barakah Darul Quran.Di sini,saya mula memahami buku Maza Yakni sedikit demi sedikit dan mengetahui apa signifikannya buku ini kepada individu bernama muslim.Melalui usrah,pencerahan diberikan sedikit demi sedikit oleh naqib saya tentang buku ini.Walaubagaimanapun,ketika itu,saya benar-benar mengharapkan 100 % kandungan buku tersebut disuap oleh naqib saya.Alangkah sedihnya,silibus buku tersebut tak dapat nak dihabiskan.

Tamat pengajian di Darul Quran,kehidupan baru di Centre Foundation for Studies IIUM menjelma.Perkara pertama yang saya fikirkan ketika menjejakkan kaki di bumi CFS ini ialah saya ingin bertemu dengan naqib lama saya dan menyambung semula perbincangan terhadap buku tersebut.Ketika permulaan usrah saya di CFS,antara perkara yang saya cadangkan kepada naqib saya ialah meneruskan semula perbincangan buku Maza Yakni tersebut.Tetapi cadangan saya itu diketepikan,naqib saya berkata :

" Ana bukan tak nak bincangkan buku tu,tapi tajuk buku tu betul-betul berat.Bahagian pertama tu tak ada masalah untuk anta faham cuma bahagian kedua tu ambil masa lama sedikit sebab bahagian tu bukan calang-calang tajuk. "

Agak sedih juga bila dengar jawapan sebegitu.Tetapi ada betul juga katanya,sebab antara usrah kami ada yang masih baru nak mengenal usrah,jadi tajuk yang dibincangkan perlulah bersifat ringan supaya mudah dihadam.Akhirnya,saya membuat keputusan untuk menghabiskan buku tersebut sendiri.

Alhamdulillah,khatam juga buku tersebut setelah beberapa minggu membacanya.Kadang-kadang rasa sangat malu dan segan dengan kawan-kawan yang sudah lama habis membacanya.Tapi itu bukan masalah,"better late than never".Memang betul kata naqib saya,bahagian kedua buku tersebut sangat berat dan jujurnya saya terpaksa membaca berulang kali helaian demi helaian untuk memahami mesej yang cuba disampaikan oleh Syeikh Fathi Yakan.Namun,pembacaan saya menemui kebuntuan.Hakikatnya,tak cukup sekadar membaca,perlu juga mendapatkan rujukan daripada orang lain supaya kita tidak salah memahami sesuatu penulisan itu.Barangkali syaitan menjadi guru kita bila mana kita belajar tanpa berguru.

Sepanjang melalui penulisan syeikh ini,saya suka dengan corak penyusunan yang terkandung dalam buku ini.Pada hujung penulisan beliau,beliau sangat menekankan aspek persaudaraan dalam Islam sehinggakan penulisan tersebut ditamatkan dengan Doa Rabitah.Dan antara yang menarik perhatian saya semasa detik-detik menghabiskan buku ini ialah syeikh ada menyentuh tentang aspek ukhuwah.

Dalam aspek ukhuwah,syeikh ada menyebut bahawa ikatan yang mengikat antara dua hati ialah ikatan Rabbani yakni ikatan bersifat ketuhanan.Maka,tidak lengkap sesuatu ukhuwah itu seandainya ia tidak ada unsur ketuhanan di situ.Ikatan yang bersifat ketuhanan di sini bermaksud,sesuatu ikatan itu mampu membawa diri masing-masing lebih dekat kepada Tuhan.Bersahabat,berkasih sayang,bersuka-duka semuanya kerana Tuhan,bukan sebab saja-saja atau sebab lain.Andaikata tiada aspek Rabbani ini,maka pincanglah ikatan itu.Rasululullah SAW bersabda :

"Ikatan iman yang paling kuat ialah kasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah"( Hadis riwayat Ahmad daripada al-Bara' Ibn Azib )

Hari ini,kita sendiri mampu melihat,kita sendiri mampu menilai bagaimana ukhuwah kita dengan sahabat-sahabat kita.Kita sendiri boleh kaji dan muhasabah semula adakah ikatan kita dengan sahabat-sahabat kita merupakan sebuah ikatan yang diikat dengan ikatan Rabbani atau ikatan yang lain ? Sedih juga apabila kita melihat betapa ramai antara kita berani menadabik dada mengatakan,"inilah ukhuwah","alangkah manisnya ukhuwah ini","indahnya ukhuwah" tetapi hakikatnya ukhuwah tersebut lompang tanpa Rabbaniah mengisinya di situ.Buktinya,lihat sahaja,apabila waktu bermain futsal,mandi sungai dan sebagainya yang menghiburkan,boleh dikatakan hampir semua boleh ikutinya.Tetapi apabila tiba waktu kita mengajak kepada ibadah seperti membuat qiamullail bersama-sama,solat berjemaah di masjid bersama-sama,mendengar ceramah,mengikuti usrah,betapa payahnya untuk semua turun.

Sebab apa payah ? Ya,sebab ikatan sesama kita tidak diikat dengan ikatan Rabbani.Bahkan amat malang sekali kita diikat dengan ikatan hiburan dan perkara yang melalaikan.Naudzubillah,sama-sama bermuhasabah.

------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Dalam Islam,persaudaraan merupakan satu sendi yang menjadi tunjang dalam usaha untuk memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan antara pengganutnya.

Gerakan Islam amat memerlukan supaya ikatan persaudaraan dapat diperdalamkan semoga dengan ikatan persaudaraan yang mendalam ini gerakan Islam dapat menjadi satu bangunan yang kuat yang saling taut menaut antara satu sama lain atau menjadi satu jasad yang akan mengadu kesakitan apabila salah satu anggotanya diserang penyakit.

Untuk menjamin persaudaraan ini dapat memainkan peranannya yang diharap-harapkan dalam jamaah,Islam telah menjelaskan hak-hak dan kewajipan persaudaraan yang praktik seperti berikut,sehingga hak dan kewajipan-kewajipan ini dapat dilihat sebagai satu tanggungjawab yang sebenarnya bukan hanya setakat kata-kata di bibir atau teorinya sahaja.

1.Persaudaraan mestilah dapat menolong usaha-usaha melakukan taat kepada Allah SWT.
2.Persaudaraan merupakan kerjasama di sudut kejiwaan,merasakan keperluan-keperluan saudaranya dan berusaha untuk menunaikan keperluan tersebut.
3.Persaudaraan yang kerjasama di bidang kebendaan.
4.Persaudaraan merupakan tanggungjawab kemasyarakatan yang merangkumi beberapa kewajipan ringkas.Yang terpenting daripada tanggungjawab itu ialah seperti mana yang telah dinyatakan dalam hadis Nabi SAW,memeberi salam ketika bertemu,menunaikan jemputan ketika dijemput,memberi nasihat apabila diminta,mengucapkan "yarhamkaAllah" ketika dia mengucapkan "Alhamdulillah sesudah bersin,menziarahi ketika sakit dan mengiringi jenazah ketika dia meninggal dunia.
5.Persaudaraan dalam Islam merupakan satu kemesraan,kasih sayang dan saling membantu.
6.Persaudaraan dalam Islam merupakan keghairahan dan kesetiaan.

Petikan daripada Buku Maza Yakni Intimai Lil Islam,WallahuA'lam