Kerana Peribadinya Aku Terpesona,Kerana Budinya Aku Jatuh Cinta

0 comments
Nuzul Quran merupakan salah satu peristiwa yang sangat penting terhadap umat Islam.Peristiwa yang mana menyaksikan Al-Quran diturunkan sekali gus daripada Luh Mahfuz ke Baitul Izzah sepatutnya dijadikan iktibar dan penghayatan kepada semua manusia,bukan sahaja menyambut ketibaan peristiwa ini tetapi juga sebagai muhasabah terhadap penghayatan masing-masing terhadap Al-Quran.

Selama diri kita berpijak di atas muka bumi Allah ini,berapa banyak ayat yang sudah kita amalkan dalam kehidupan seharian kita ? Adakah kita benar-benar menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup kita ? Sedalam mana penghayatan kita terhadap isi kandungan,risalah yang telah diturunkan oleh Allah S.W.T ?
Atau kita hanya menjadikan ia sebagai satu bacaan semata-mata sahaja ?

Peristiwa Nuzul Quran juga sepatutnya tidak membuatkan kita lupa terhadap insan yang mula-mula menerima risalah ini iaitu tidak lain tidak bukan Rasulullah SAW.Al-Quranlah yang menjadi sumber tarbiyah insan yang mulia ini sehinggakan dinyatakan kalau kita ingin melihat akhlak Al-Quran,lihatlah akhlak Rasulullah SAW.Insan inilah yang sewajarnya menjadi idola dan contoh tauladan  kita.Sesungguhnya,Allah S.W.T berfirman dalam Al-Quran,mafhumnya :

"Sesungguhnya pada Rasulullah itu,contoh yang terbaik buat kamu"

Maka tidak hairan Allah S.W.T mengiktiraf baginda S.A.W sebagai contoh yang terbaik,nak menunjukkan betapa hebatnya isi kandungan Al-Quran sehingga mampu membentuk peribadi mulia seorang Nabi.Tidak ada gunanya kalau kita setiap hari membaca Al-Quran,tetapi tidak berusaha untuk mentadabburnya.Tidak ada gunanya juga,kalau kita tidak cuba mengimplementasikan saranan-saranan Al-Quran dalam kehidupan kita.


Peristiwa Maulidurrasul yang seringkali disambut oleh hampir seluruh umat Islam telah menimbulkan persoalan,adakah sambutan tersebut hanya bertujuan untuk melahirkan rasa cinta terhadap sebatang tubuh sahaja ? Kalau itulah tujuan kita menyambut Maulidurrasul,maka perlu dimuhasabah semula tujuannya.Sepatutnya,kita bukan sahaja perlu mencintai batang tubuh insan yang mulia ini sahaja,bahkan juga risalah yang dibawa termasuklah Al-Quran,sifat peribadinya dan seluruh perkara yang diajarkan oleh baginda S.A.W.

Ya,kita manusia yang lemah,sudah tentu tidak mampu mencontohi peribadi baginda 100 % tetapi tidak salah kalau kita cuba untuk terus perbaiki diri dari semasa ke semasa.Allah melihat usaha kita,Allah tidak melihat hasil.Seandainya Allah melihat hasil,maka Nabi Nuh lah insan yang paling rugi kerana berdakwah beratus-ratus tahun tetapi hasilnya,hanya beberapa sahaja yang mengikuti dakwah baginda.Masih ingatkah kita satu cerita tentang seekor burung yang cuba memadamkan api dengan membawa air menggunakan paruhnya ? Ketika itu,dia diketawakan oleh burung-burung yang lain kerana tindakannya itu sia-sia tetapi apabila ditanya kepada burung tersebut tentang perihal tindakannya itu,maka dia menjawab,"sekurang-kurangnya aku ada bukti di hadapan Allah S.W.T nanti bahawa aku telah mencuba sedaya upaya untuk memadamkan api tersebut"


Maka,teruskanlah berusaha.Perbaiki akhlak kita dari semasa ke semasa.Usah dengar kata orang,biarlah mereka mengejek,mencaci,perli kita disebabkan kita ingin berubah.Hanya Allah sahaja yang mampu menilai.mengapa perlu digusarkan pandangan manusia terhadap kita sedangkan pandangan Allah itu yang penting ? Sama-sama bermuhasabah.Wallahua'lam,salam Afala Ta'qilun.

:: Bukanlah akhlak itu hasil iman dengan tiba-tiba tetapi iman yang hidup akan menggerakkan tuannya bermuhasabah akhlaknya lalu bermujahadah membaikinya ::

Ramadhan : Ingatkah dia di sana ?

1 comments




Alhamdulillah,Allah telah mengembalikan semula kekuatan untuk menulis setelah futur sekian lama.Begitulah hakikat buat seorang hamba yang memikul taklifat sebagai khalifah dan da'ie atas muka bumi ini,tidak terlepas daripada sebarang ujian.Dan ujian itu,ada yang mampu kita gagahi,dan kadang-kala juga mampu membuatkan kita lemah dan futur.Mudah-mudahan,walau sebanyak mana pun kita futur di jalan ini,Allah tetap memberikan ketetapan dalam hati kita agar terus thabat dengan segala taklifat yang bersifat sementara ini.Semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang dinamakan Al-Musaqitun Fi Tariq Da'wah ( Golongan yang tercicir di jalan dakwah )

Sedar tidak sedar,pada hari ini,telah masuk 10 Ramadhan,maka telah berakhirlah satu fasa yang dinamakan fasa kerahmatan dan tiba pula fasa yang baru iaitu fasa keampunan Allah S.W.T.Sepanjang 10 hari yang berlalu ini juga,alhamdulillah saya masih dicukupkan dengan keperluan yang sememangnya saya perlukan.Makanan,minuman,pakaian dan beberapa keperluan yang lain.Seinfiniti kesyukuran sama-sama kita panjatkan kepada Allah S.W.T

Saya masih teringat akan sebuah hadith yang saya tidak ingat matannya,mahupun martabatnya.Seandainya martabat hadith ini maudhu',harap dapat tuliskan komen pada post ini supaya saya boleh membuat pembetulan.Antara nikmat yang Allah kurniakan kepada orang yang berpuasa seperti mana yang dicatatkan dalam hadith tersebut ialah nikmat ketika berbuka puasa.Saya memang sangat bersetuju dengan hadith ini,kerana ketika waktu berbuka puasalah saya lihat manusia paling semangat termasuk saya sendiri.Ada orang yang dari pukul 8.00 am sampai 4.00 pm lemah tak berdaya,tetapi bila masuk sahaja pukul 6.00 pm tiba-tiba menjadi bertenaga.Ada orang yang semangatnya diekspresikan bila mengunjungi bazar Ramdhan,sangat luar biasa semangatnya.Kalaulah pergi bazar pun dah semangatnya luar biasa,saya tertanya-tanya bagaimana pula semangat ketika hendak berbuka puasa ? Sudah pasti tentu lagi hebat sebab makanan dah masuk ke mulut ketika itu.Memang betullah apa yang dikatakan oleh hadith tersebut,berbuka puasa itu adalah satu nikmat.

Tetapi perlu juga kita ingat,walaupun berada dalam bulan puasa,tidak wajar kita menjadi lembik sedemikian rupa.Sebaliknya,kita perlu menjadi lebih produktif supaya ibadah puasa ini tidak dilihat sebagai suatu perkara yang membebankan oleh masyarakat bukan Islam.Cuba kita hayati semula bagaimana ketabahan yang ditampilkan oleh para sahabat dalam perang Badar yang tercetus ketika bulan Ramadhan.

Post kali ini sebenarnya bukan nak bercerita tentang peperangan Badar tetapi saya ingin berkongsi apa yang saya alami pada satu hari di bulan Ramadhan.Saya masih ingat lagi ketika itu,sahabat saya mengajak saya untuk ke bazar Ramadhan.Memandangkan waktu itu pun saya lapang dan tak tahu nak berbuat apa,saya pun menerima pelawaan sahabat saya itu.Lagipun,sejak belajar di UIA,belum pernah lagi pergi ke bazar Ramadhan.



Sampai sahaja di bazar tersebut,kawan saya berkata,”hari ini,kita cari benda pelik sahaja.Makanan yang dah biasa jangan pandang”.Kami pun berjalan dan berjalan untuk mencari makanan atau minuman yang pelik,dan akhirnya jumpalah air pisang.Tak tahulah pelik ke tidak tapi bagi saya memang pelik,tak pernah minum.Jadi,kami pun pulanglah dengan sebungkus air pisang yang dibeli di bazar tersebut.

Ketika berbuka puasa pula,banyak juadah yang saya telan.Rasanya,petang itulah pertama kali saya berbuka puasa dengan penuh bersemangat bersama rakan-rakan saya.Banyak lauk yang dihidangkan dan boleh dikatakan semuanya enak belaka.Tengah sedap-sedap makan,saya sedawa ( tak pasti mana satu betul,sedawa atau sendawa) tanda kekenyangan,tiba-tiba saya teringat kawan-kawan saya yang tak dapat berasa keenakan beruka seperti saya.Dan kemudian,saya teringat pula bagaimana keadaan saudara-saudara kita berbuka puasa di luar sana yang keadaan negara mereka penuh dengan kesengsaraan.Tiba-tiba sahaja,teringat Palestine.Dan tiba-tiba teringat banyak perkara.Mati,amal cukup ke tak,ilmu,amanah dan tanggungjawab,semuanya terlintas di fikiran hanya kerana satu sedawa.Nikmatnya sedawa itu.Kadang-kadang kita tak perasan pun bagaimana Allah turunkan nikmat tu..

Konklusinya...fikir-fikirkanlah sendiri mesej yang cuba saya sampaikan ^_^

Charger Kita ?

0 comments


Fitrah telefon bimbit sememangnya begitu,pasti memerlukan charger.Tak kisahlah jenama apa sekali pun,yang penting bila bateri dah nak habis,telefon bimbit itu kena charge.Kalau tak,banyak benda tak boleh dibuat dengan handphone tersebut seperti membuat panggilan,sms,surf laman web dan sebagainya.Nak kata betapa penting charger ini kepada telefon bimbit,walaupun harganya tidak semahal telefon bimbit.
Saya sendiri memakai Sony Ericsson Xperia X8 yang dibeli dengan harga RM350,tetapi charger saya Cuma berharga RM12 sahaja.Walaubagaimanapun,yang RM12 itulah yang menjadi penggerak kepada RM350 itu.Saya yakin ramai sahabat-sahabat memiliki yang lebih canggih daripada saya.

Tetapi itu bukan persoalan yang cuba saya sampaikan.Kaitan utama ialah iman kita.Iman manusia biasa sudah difitrahkan oleh Allah SWT sentiasa naik dan turun.Ketika mana iman kita sedang berada di puncak,kita semangat melakukan ibadah dan aktiviti seharian tetapi bila Allah twist sahaja hati kita,iman kita mudah jatuh lantas dapat melemahkan semangat dalam beribadah dan sebagainya.Jadi,iman juga memerlukan charger supaya ia dapat berfungsi semula dengan baik.

Cuba bayangkan betapa kasihnya Allah kepada kita,dalam setahun berbagai-bagai dosa kita lakukan,sama ada yang disengajakan mahupun tidak disengajakan.Tetapi perasan tak kita dalam setahun itu,ada satu bulan yang mana dosa-dosa kita dihapuskan.Bukan itu sahaja,bahkan bulan inilah yang menjadi penggerak atau momentum kepada iman kita untuk menempuh bulan-bulan seterusnya.Dengan syarat,kalau kita pandai memanfaatkan bulan tersebut.

Itulah Ramadan,satu bulan yang mampu menghapuskan dosa kita selama ini,bulan yang dipenuhi dengan maghfiratullah,bulan yang dianggap charger kepada bulan-bulan lain.Setelah berbulan-bulan kita membuat dosa bersilih ganti dengan amalan soleh,tiba bulan ini untuk menukarkannya kepada keampunan Allah.Subhanallah,sayangnya Allah kepada kita.

Buat sahabat-sahabat yang saya sayangi,charger itu tidak lama lagi akan tiba.Persiapkanlah diri kita untuk menempuh bulan tersebut.Maksimumkan amalan seperti tadarus Al-Quran,Qiamullail dan sebagainya dalam bulan tersebut.Dalam fatrah sekarang ini,perbanyakkanlah doa supaya Allah memberi kita peluang bertemu dengan bulan tersebut,risau-risau tidak sempat kita menempuh bulan tersebut,kita sudah menemuiNya terlebih dahulu.Mudah-mudahan,kita bertemu dalam charger itu…InsyaAllah..  ^_^
“Maksimumkan Amalan,Minimumkan Kekhilafan,Melestarikan Kehidupan”